Halaman

06 December 2009

Terengganu Sasar 64 Emas Sukma Melaka

Oleh: Esah Abdullah

Kuala Terengganu - 3 Disember 2009

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said melahirkan rasa yakin dengan kemampuan barisan atlet Terengganu untuk mengekalkan gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung di Melaka Jun depan.

Katanya, atlet Terengganu dijangka mampu mengatasi pencapaian pada Sukma Terengganu yang lalu dengan sasaran 64 pingat emas.

“Saya turut merasa gembira kerana beberapa acara akan diterima untuk pertandingan nanti walaupun pada awalnya terdapat desas-desus ianya ditolak,” katanya kepada pemberita di majlis suaimesra dengan persatuan berpotensi memenangi pingat dan tambahan sembilan sukan baru temasya Sukma X111, Melaka 2010 di Wisma Darul Iman, kelmarin (3 Disember).

Turut hadir, Dato’ Bandaraya Kuala Terengganu, merangkap Ketua Kontijen Sukma Melaka 2010, Dato’ Mat Razali Kassim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Rosdi Awang serta pengerusi persatuan, pengurus dan jurulatih sukan yang mengambil bahagian.

Katanya, sembilan tambahan sukan baru yang dimasukkan dalam senarai pertandingan Sukma di Melaka itu nanti antaranya ialah Kanu di mana pasukan Terengganu berjaya memungut 14 pingat emas dalam acara itu pada Sukma yang lalu.

“Kita turut menaruh harapan terhadap sukan Formula Future yang baru pertama kali diperkenalkan di Sukma nanti kerana pasukan kita sudah berpengalaman mewakili negara ke pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selebihnya adalah acara Lawan Pedang, Judo, Tenis, Ragbi, Kabaddi dan Bola Tampar di mana acara sukan ini menjadi taruhan untuk mengutip pingat.

Bagaimanapun, ianya bergantung kepada keadaan semasa serta kesediaan para atlet kita untuk berjuang habis-habisan bagi mengutip pingat untuk negeri dan ganjaran akan menanti atlit yang berjaya menyumbang pingat.

“Setakat ini ganjaran kepada penyumbang pingat masih kekal seperti tahun lalu iaitu RM3,000 (emas) RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Datuk Abdul Rahin kemudiannya turut menyampaikan insentif kepada pengerusi-pengerusi, setiausaha dan pengurus pasukan yang banyak menyumbang bakti untuk membangunkan sukan di negeri ini.

UKOM


Perebutan Piala Monsun 2009 Bermula

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pasukan Dato' Peter Gilmour mempamerkan kehebatan mengendalikan kapal layar mereka pada Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung. -Foto Jab.Penerangan Negeri Terengganu

Pembukaan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 berlangsung penuh simbolik dengan paluan gendang dan persembahan seni mempertahankan diri dari pelbagai etnik kaum di negara ini mengiringi 12 pasukan yang berentap merebut piala berprestij dunia itu, dalam kejohanan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, bermula semalam hingga 6 Disember ini.

Perasmian kejohanan disempurnakan Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Ismail. Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.


Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman merasmikan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung sambil diperhatikan oleh Datuk Zaabar.

Juragan utama yang berentap bagi kejohanan itu adalah Dato’ Peter Gilmour (Austarlia) dari YANMAR Racing; Mathieu Richard (Perancis) dari French Match Racing; Adam Miniprio (New Zealand) ETNZ/BlackMatch; Ian Williams (Jerman) dari Pindar dan Torvar Mirsky (Australia) dari Mirsky Racing.

Pelayar lain, Ben Ainslie (Jerman) dari Origin; Damien Lehl (Perancis) dari French; Sebastian Co (Perancis) dari ALL4 One; Magnus Holmberg (Sweden) dari Victoria Challenge; Francesco Bruni (Itali) dari pasukan Azzura dan Phil Robetson (New Zealand) dari pasukan New Zealand WAKA Racing.


Dua pasukan beraksi pada hari pertama Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung.

Buat julung kalinya, Malaysia mempertaruhkan pasukan Taring Pelangi yang diketuai pelayar muda, Hazwan Hazim Dermawan bersama empat krew iaitu Mohd Rezaki Shuib, Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Hilmi, Shahrizal Hashim dan Mohd Saifullah Mohd Esa.

Pertandingan bermula kira-kira jam 4 petang dan berakhir dua jam kemudian, menyaksikan semua pasukan berdepan dengan cabaran getir mengawal kapal layar masing-masing berikutan angin yang pada awalnya sederhana bertukar kencang dengan kelajuan 15 knot, selain berdepan arus yang kuat.

Persaingan pada hari pertama semalam menyaksikan enam pasukan yang diketuai Adam Minorpio, Torvar Mirsky, Dato’ Peter Gilmour, Ben Ainsten, Mathieu Richard dan Ian Williams mempamerkan kehebatan dengan masing-masing mengumpul tiga mata dan kini hanya memerlukan tiga kemenangan lagi untuk ke suku akhir petang ini.


Ahli Kapal Perahu Layar Terengganu turut mengadakan demonstrasi mengendalikan kapal layar pada Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung.

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun merupakan siri kesembilan pelayaran profesional utama dalam World Match Racing Tour (WMRT) yang dijalankan di serata dunia.

Sehingga kini sembilan negara terlibat adalah Perancis, Jerman, Korea, Portugal, Sweden, Switzerland, Denmark, Bermuda dan terakhir, Malaysia (Pulau Duyong, Kuala Terengganu) mengambil tempat penganjuran siri terakhir WMRT.

UKOM

02 December 2009

Pesakit Jantung Berlubang Jalani Pemeriksaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


Mohd Khaidill Sharifudin, Gambar oleh Zulkipli CW Putra

Mohd Khaidill Sharifudin, kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, semalam (1 Disember).



Pesakit bergambar bersama ibu bapa dan Dr. David Khoo Sin Keat selepas menjalani pemeriksaan.

Pesakit dari Kampung Lubuk Lesung itu dibawa ke hospital berkenaan Isnin lalu bagi pemeriksaan awal penyakitnya, sebelum menjalani pembedahan.


Dr. David Khoo Sin Keat bertanya sesuatu kepada ibu bapa Mohd Khaidill mengenai penyakit yang dihidapinya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberi jaminan kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill.


Jururawat di Pusat Perubatan Prince Court mengambil ukuran tinggi Mohd Khaidill.

Beliau yang melawat pesakit di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, pada 14 November 2009 lalu, menyampaikan hasrat kerajaan negeri untuk membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill di hospital itu di mana sebelum ini seorang kanak-kanak yang mengalami nasib sama, Mohd Ayub Mansor, turut dirawat di situ.


UKOM

24 November 2009

PELUANG KEUSAHAWANAN INDUSTRI PETROKIMIA

Taklimat Peluang Keusahawanan Industri Petrokimia akan diadakan di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Terengganu, Padang Hiliran, Kuala Terengganu pada hari Rabu, 25 November 2009. Pendaftaran bermula jam 8.30 - 9.15 pagi. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Dato' Mohamed bin Awang Tera, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Terengganu pada jam 10.30 pagi.

22 November 2009

Air mata gembira iringi MB ke tanah suci

Oleh: Suriati Ali


Orang ramai sempat berjumpa dengan Dato' Ahmad sebelum Menteri Besar Terengganu itu berangkat ke Tanah Suci mengerjakan Haji. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Keberangkatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ke tanah suci Makkah diiringi linangan air mata kegembiraan selepas mengetahui Terengganu dapat mengekalkan kejuaraan selama sembilan tahun berturut-turut dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Berita gembira itu disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Encik Ariffin Embong ketika mengiringi Dato’ Ahmad bersama beberapa rombongan lain di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini (19 November).

Turut mengerjakan rukun Islam ke lima itu adalah isterinya To’ Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Razif Abd Rahman serta isteri Puan Halina Zakaria.



Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri bersyukur kepada Allah S.W.T kerana usaha dan doa pelbagai pihak termasuk kakitangan JPNT, guru dan ibu bapa dimakbulkan jua.


Orang ramai mengucapkan selamat jalan kepada Menteri Besar dan isteri sebelum berangkat mengerjakan haji.

Katanya, kejayaan yang dicipta murid UPSR 2008 ini membakar semangat pihak berkaitan untuk terus merancang pelbagai program dan aktiviti bermanfaat di setiap sekolah.

“Tahniah di atas kejayaan ini dan kepada murid kurang cemerlang, teruskan usaha anda kerana masa untuk menuntut ilmu masih panjang,” katanya.


Menadah doa agar Allah swt memberkati urusan mengerjakan haji dan balik dengan haji mabrur.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan penduduk supaya memilih makanan di gerai bersih dan amalkan kehidupan sihat bagi mengelak menularan wabak taun.


YB Razif dan isteri turut serta dalam rombongan mengerjakan haji.

UKOM


19 November 2009

Terengganu Juara Sembilan Tahun Berturut-turut

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


CATAT SEJARAH LAGI...calon UPSR dari SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu gembira dengan keputusan masing-masing. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU - 19 November 2009 : Terengganu sekali lagi mencatat sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul negeri terbaik buat kali kesembilan berturut-turut dalam keputusan Ujian pencapaian Sekolah Rendah 2009 yang diumumkan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), hari ini.

Daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008.


Seorang pelajar SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu diberi ucapan tahniah oleh nenek dan datuknya.

Pengarah JPNT, Haji Ariffin Embong, berkata keputusan UPSR kali ini juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.

Katanya, nilai gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.22, nilai ini mengatasi pencapaian tahun lalu (2.24), selain mengatasi GPN peringkat nasional yang mencatat 2.33.

Beliau berkata, daripada keseluruhan mata pelajaran, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan baik apabila pada tahun ini, sebanyak 34.6 peratus mendapat A subjek Matematik berbanding 30.6 peratus pada 2008. Manakala Sains meningkat 7.8 peratus berbanding 21.8 peratus pada tahun lalu.

“Walaupun sasaran kita 20 peratus A tidak tercapai, keputusan 15.3 peratus mendapat semua A merupakan yang terbaik berbanding pencapaian negeri lain setakat yang dimaklumkan

“Kejayaan ini adalah hasil usaha, kerjasama dan perancangan rapi semua pihak terutama guru, murid, pentadbir sekolah, ibu bapa, komuniti masyarakat dan juga pegawai-pegawai jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Pejabat Pelajaran Daerah,” katanya ketika sidang akhbar Pengumuman Keputusan UPSR 2009, di JPNT, hari ini.

Sementara sekolah yang berprestasi tinggi berdasarkan GPN sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud apabila 47.02 peratus daripada 168 calonnya memperolehi semua A.

Manakala 39.6 peratus daripada 101 calon dari SK Tengku Mahmud II memperolehi semua A.

Dalam pada itu, SK Sultan Sulaiman II muncul sekolah terbaik di Kuala Terengganu apabila 51 calonnya memperolehi semua A berbanding 42 calon pada tahun lalu.

Menurut Guru Besar SKSS II, Haji Ahmad Muda, jumlah calon yang mendapat A meningkat 5 peratus pada tahun ini berbanding 2008 lalu , selain melebihi sasaran 50 murid mendapat 5A .

Katanya, kejayaan cemerlang itu terhasil menerusi pelan strategik bermula awal tahun, selain penekanan akademik murid sejak tahap satu melalui kelas tambahan yang bersistem.


Guru Besar SK Sultan Sulaiman II dan juga guru-guru meraikan kejayaan pelajarnya yang mendapat 5A.

UKOM

18 November 2009

Adun dan kakitangan kerajaan perlu berganding bahu

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad melihat pameran Jubli Emas Dewan Undangan Negeri Terengganu di Muzium Negeri sambil ditemani Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; YB Ramli Nuh dan Pengarah Muzium Negeri, Encik Yusof Abdullah. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan kakitangan kerajaan diminta berganding bahu dan memberi komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah rakyat yang inginkan keselesaan hidup.

Mereka tidak sewajarnya menunding jari kepada mana-mana pihak sekiranya berlaku kejadian diingini sebaliknya selesaikan masalah itu secara bijaksana.


Pengunjung veteran mengimbau kembali kisah silam ketika penubuhan DUN Terengganu.

Menteri Besar, Dato; Ahmad Said berkata, sikap negatif yang ditunjukkan pihak berkaitan hanya memburukkan keadaan dan bukannya boleh menyelesaikan aduan.

“Perkara seperti ini secara tidak langsung mengambarkan imej kurang baik selain timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.


Basikal yang digunakan ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.

“Imej positif perlu dipamerkan kerana sebagai pihak bertanggungjawab, kita perlu menghidupkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, semalam (16 November).

Pameran anjuran muzium dibuka kepada orang ramai selama 45 hari dan berakhir 31 Disember, mempersembahkan pelbagai aktiviti dan sejarah.

Program penuh bermanfaat itu, mampu menjadi sumber rujukan kepada pengunjung terutama pelajar selain memberi kesedaran betapa pentingnya peranan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri.


Bekas Speaker DUN (kiri) dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkongsi pengalaman menceritakan sejarah penubuhan DUN Terengganu.

Dato’ Ahmad berkata, orang ramai perlu merebut peluang berkunjung ke pameran yang dianjurkan ini kerana mampu mengenali pemimpin terdahulu dan mengetahui sejarahnya.

UKOM

17 November 2009

15 November 2009

Kanak-Kanak Jantung Berlubang Bakal Dibedah

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama kanak-kanak berusia tiga tahun, Mohd Khaidil Sharifudin, yang menghidap penyakit jantung berlubang bakal dibedah di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur, di mana kos rawatannya akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penderitaan kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang, bakal berakhir tidak lama lagi, apabila kerajaan negeri bersetuju membiayai pembedahannya di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Jaminan untuk rawatan tersebut disampaikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, yang melawat Adik Mohd Khaidill Sharifudin, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, pagi semalam (14 November).


Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza Mahmud turut melawat kanak-kanak jantung berlubang di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersetuju membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill di hospital itu di mana sebelum ini seorang kanak-kanak yang mengalami nasib sama, Mohd Ayub Mansor, turut dirawat di situ.

“Urusan berkenaan akan dilakukan segera dan pesakit akan dibedah oleh doktor pakar yang sama iaitu Dr David Khoo Sin Keat,” katanya yang turut diiring isteri, To’ Puan Norliza Mahmud.

Bapa pesakit, Sharifudin Yaacob, 36, berkata anak keempatnya itu menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan sering berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.

“Saya dan keluarga bersyukur di atas kesudian kerajaan negeri menanggung kos pembedahan Mohd Khaidill. Kami harap dia akan menjalani kehidupan seperti rakan-rakan sebaya selepas menjalani pembedahan,” katanya dengan nada yang terharu.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya sedia menimbangkan bantuan perubatan yang sama kepada kanak-kanak lain yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Menteri Besar turut menziarahi beberapa penduduk kampung berkenaan yang uzur, termasuk bekas ketua kampung, Muda Sulaiman, 70, yang diserang penyakit angin ahmar kira-kira tiga bulan lalu.


Dato' Ahmad Said turut meluangkan masa selama satu jam melawat tiga warga emas yang uzur di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

UKOM