Halaman

15 November 2009

Kanak-Kanak Jantung Berlubang Bakal Dibedah

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama kanak-kanak berusia tiga tahun, Mohd Khaidil Sharifudin, yang menghidap penyakit jantung berlubang bakal dibedah di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur, di mana kos rawatannya akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penderitaan kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang, bakal berakhir tidak lama lagi, apabila kerajaan negeri bersetuju membiayai pembedahannya di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Jaminan untuk rawatan tersebut disampaikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, yang melawat Adik Mohd Khaidill Sharifudin, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, pagi semalam (14 November).


Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza Mahmud turut melawat kanak-kanak jantung berlubang di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersetuju membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill di hospital itu di mana sebelum ini seorang kanak-kanak yang mengalami nasib sama, Mohd Ayub Mansor, turut dirawat di situ.

“Urusan berkenaan akan dilakukan segera dan pesakit akan dibedah oleh doktor pakar yang sama iaitu Dr David Khoo Sin Keat,” katanya yang turut diiring isteri, To’ Puan Norliza Mahmud.

Bapa pesakit, Sharifudin Yaacob, 36, berkata anak keempatnya itu menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan sering berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.

“Saya dan keluarga bersyukur di atas kesudian kerajaan negeri menanggung kos pembedahan Mohd Khaidill. Kami harap dia akan menjalani kehidupan seperti rakan-rakan sebaya selepas menjalani pembedahan,” katanya dengan nada yang terharu.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya sedia menimbangkan bantuan perubatan yang sama kepada kanak-kanak lain yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Menteri Besar turut menziarahi beberapa penduduk kampung berkenaan yang uzur, termasuk bekas ketua kampung, Muda Sulaiman, 70, yang diserang penyakit angin ahmar kira-kira tiga bulan lalu.


Dato' Ahmad Said turut meluangkan masa selama satu jam melawat tiga warga emas yang uzur di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

UKOM