Halaman

15 November 2009

Haji Wahab Terima Anugerah Keluarga Terbilang

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said (tengah) dan Mohd Shafaruddin Mustaffa (Pengarah YPKT) bersama penerima Anugerah Keluarga Mithali DUN KIjal. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penerima Anugerah Keluarga Terbilang peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman, Haji Wan Abdul Wahab Idris, 68, sanggup mengenepikan keperluan sendiri demi memastikan keenam-enam anaknya dapat belajar dengan selesa dan menguasai pendidikan agama.

Beliau yang lahir pada 24 Januari 1941 di Kampung Che Wan, Kijal mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Tuan Kamariah Syed Abdullah, 64 serta dikurniakan tiga pasang putera dan puteri yang menjawat pelbagai jawatan penting di bidang profesional dalam dan luar negara.

Anak sulung, Che Wan Norzihan,44, berkhidmat sebagai guru agama kanan di Batu Pahat, Johor; anak kedua, Che Wan Khairul Anuar, 42, jurutera di Kanada; anak ketiga, Che Wan Saiful Baharin, 39, usahawan; anak keempat Che Wan Rosdan, 37, guru di Kuantan, Pahang.

Manakala anak kelima, Che Wan Intan Mazura, 35, akauntan di Kuala Lumpur dan anak bongsu, 33, pensyarah teknologi maklumat di Kuala Lumpur.

Kesemua anak-anak beliau melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas tamat sekolah menengah dan kebanyakannya dihantar belajar serta tinggal di asrama sekolah agama sekitar Terengganu.



Haji Wan Abdul Wahab (gambar atas) bukan sahaja berjaya mendidik anak-anak dengan acuan sendiri yang melangkaui adat dan agama, malah beliau juga aktif menjalankan kerja kebajikan sejak muda lagi.

Sikap beliau yang tidak pernah duduk diam menyebabkan masa lapangnya tidak pernah bersisa tanpa mengisi dengan perkara berfaedah dan memberi manfaat kepada orang lain.

Beliau merupakan bekas pendidik sejak 1957 hingga 1987 sebelum diserapkan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan daerah (1988-1996). Dalam pada itu, beliau juga individu yang bertanggungjawab menyuburkan pergerakan belia di Kemaman dan menjadi ahli jawatankuasa belia 4B Kemaman sehingga 1970-an.

Haji Wan Abdul Wahab juga bekas Pesuruhjaya Pengakap daerah, selain menjadi Pengerusi Persatuan Anak Yatim daerah. Ketika menyertai pengakap, beliau terpilih mengikuti Persidangan Pengakap Sedunia selama 37 hari di Kaherah dan Iskandariah, Mesir.

Dalam politik, beliau yang menjadi ahli Umno sejak 1964 memegang jawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Titian Berayun dan menjadi ahli Majlis Perbandaran Kemaman selama dua tahun bermula 2004.

Menurut datuk kepada 18 cucu, beliau tidak pernah menduga akan menerima Anugerah Keluarga Mithali Terbilang itu dan menganggap perkhidmatan yang dicurahkan tidak seberapa kerana beliau ikhlas dan tidak mengharapkan balasan dalam setiap penglibatannya selama ini.

Beliau yang kini menjadi Pengerusi Masjid Kampung Titian Berayun, Ketua Umno cawangan dan Setiausaha cawangan Titian Berayun berharap generasi muda hari ini mampu menyumbang sesuatu untuk kepentingan umat dan masyarakat sekeliling.

Kejayaan dan jasa beliau dalam pelbagai bidang untuk kepentingan belia dan masyarakat di kemaman, selain memiliki keluarga bahagia yang dikelilingi anak-anak yang cemerlang membolehkan beliau dijadikan ikon dan layak Anugerah Keluarga Terbilang yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, kelmarin (12 November).

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa.

UKOM