Halaman

23 March 2010

TADC Pembekal Benih Kerapu Utama Negara

Oleh: Suriati Ali

Projek pembenihan dan ternakan ikan kerapu berteknologi tinggi yang diusahakan Terengganu Agrotech Development Corp.Sdn Bhd (TADC) bakal mengubah sosio ekonomi penduduk apabila mengeluarkan hasil kelak.

Buat permulaan, 5,000 benih kerapu oren dan harimau diternak secara berasingan di dalam 2,000 sangkar khas di kawasan Tanjung Demong, Besut.
Untuk mendapat kuantiti dan kualiti ikan yang diingini, TADC mendapat kerjasama Seraya Akuatik (M) Sdn Bhd, Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Eksekutif TADC, Encik Razali Idris, berkata penglibatan secara langsung 250 penduduk Program Pembangunan Rakyat Termiskin yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil laut dan tanaman sekurang-kurangnya dapat mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

“Mereka yang sudah mempunyai asas berkaitan ternakan ikan bakal memperoleh pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ke kawasan Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi di Tanjung Demong, Besut.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Encik Rozi Mamat, Ahli Parlimen Besut, Dato’ Dr Abdullah Muhammad Zin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Selain memberi fokus untuk membasmi kemiskinan, TADC berhasrat menjadikan Terengganu sebagai pembekal benih dan ikan kerapu utama negara.

Dato’ Ahmad berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju menjadikan hasil projek di Tanjung Demong sebagai pembekal utama pembenihan dan pengeluaran ikan kerapu bagi keperluan pasaran tempatan dan luar negara.

“Keputusan itu mampu menjadikan TADC mendapat pengiktirafan selain mempunyai daya saing kerana menjadi pembekal utama pembenihan dan ikan kerapu utama negara.

“Projek yang diusahakan ini adalah inisiatif kerajaan untuk menjana ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama nelayan serta petani,” katanya.

TEGANUKITA

Jelapang Padi Kedua Di Setiu

Oleh: Esah Abdullah

Peruntukan RM46 juta disediakan kerajaan negeri bagi mewujudkan jelapang padi kedua di daerah Setiu, untuk menambah pengeluaran hasil beras dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Kerja-kerja membajak sawah di kawasan seluas 140 hektar di Kampung Jelapang, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, akan dimulakan April ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengumumkan langkah terbaru kerajaan negeri itu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek jelapang padi serta cadangan pembinaan jalan dan longkang di daerah Setiu, semalam (22 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, YB Ashaari Idris; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri merangkap ADUN Jabi, YB Ramlan Ali serta ketua-ketua jabatan.

Menteri Besar berkata, tahun lalu kawasan seluas 73 hektar diusahakan 78 petani di Kampung Mak Jintan, Setiu dengan purata perolehan 3.5 – 4 metrik tan bagi sehektar.
Sementara itu, kerajaan juga bersetuju meluluskan peruntukan RM4 juta bagi membina dan melebar jalan dalam DUN Langkap dan Permaisuri di mana RM2.5 juta disalurkan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan RM1.5 juta melalui pejabat daerah.

“Sementara RM1.2 juta diperuntukan bagi pembinaan longkang-longkang dalam dua DUN berkenaan dan kita bercadang melebarkan jalan di beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan di daerah itu,” katanya.

Menteri Besar turut melahirkan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah muara sungai Merang yang cetek dan menyukarkan bot membawa pelancong ke Pulau Redang serta nelayan keluar masuk membawa hasil tangkapan.

“Kerja-kerja mendalamkan sungai akan dilakukan dalam masa tiga empat hari ini oleh pihak swasta dan untuk jangka panjang, peruntukan membeli kapal korek akan dimasukkan dalam bajet tahun depan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan satu muara sungai baru di Penarik bagi keperluan dan kepentingan nelayan tempatan.

Dato’ Ahmad kemudiannya turut meluangkan masa meninjau pembinaan masjid baru di Kampung Alor Lek yang berharga RM1.86 juta serta memuatkan 350 jemaah pada satu-satu masa.

“Kerajaan akan menaik taraf semua masjid di seluruh daerah di negeri ini untuk memberi keselesaan kepada masyarakat mengunjungi rumah Allah,” katanya.

TEGANUKITA

22 March 2010

RM13.2 juta Untuk Tingkatkan Imej Pengangkutan Awam

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pereka injin untuk beca roda tiga, Zulkifli Haron, mengatakan sesuatu kepada Dato' Ahmad Said ketika menaikki beca hybrib ketika melancarkan Program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memperuntukan RM13.2 juta dalam usaha meningkat imej pengangkutan awam di negeri ini yang membabitkan bas henti-henti, kereta sewa dan beca roda tiga.

Peruntukan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sebagai pelaksana bagi merialisasikan hasrat kerajaan yang berpaksikan kepada prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta tidak membiarkan masalah berlanjutan.


Menteri Besar ketika gimik pelancaran.

“”Kecekapan pengangkutan awam mesti selari dengan pertumbuhan bandaraya Kuala Terengganu kerana ia merupakan teras kepada kemeriahan dan rangsangan pembangunan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika melancarkan program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (18 Mac).

Hadir sama, Dato’ Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji Azmi Razik serta lebih 200 orang pengusaha bas, kereta sewa dan beca roda tiga.


Penerima bantuan bersama Dato' Ahmad.

RM11.2 juta daripada jumlah tersebut adalah untuk mempertingkat imej kereta sewa di mana menerusi skim bantuan ini setiap pengusaha diberi geran RM10,000 seorang untuk membeli kereta baru atau mengecat kereta sedia ada.

Sehingga ini terdapat 454 orang pengusaha kereta sewa seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut hanya 189 orang sahaja lagi yang belum mendapat kemudahan yang disediakan kerajaan.

Manakala RM2 juta lagi berupa bantuan kepada pegusaha bas henti-henti dan setiap syarikat bas layak menerima bantuan maksima RM150,000.

“Konsep bantuan ialah RM50,000 berupa geran yang tidak perlu dibayar dan RM100,000 lagi dalam bentuk pinjaman mudah,” katanya.

Sehingga ini enam buah syarikat iaitu SPBT Trevel Sdn Bhd, Syarikat Himda, Pengangkutan Bumi Pantai, Pengangkutan Hamid Yaakob, Pengangkutan Intan Unggul dan Syarikat Pengangkutan Mohd. Nor dan Hisham yang sedang beroperasi dan akan menerima bantuan berkenaan.

Dato’ Ahmad kemudiannya menegaskan bahawa kerajaan sekali-kali tidak akan meminggirkan pengusaha beca roda tiga yang menjadi ikon pelancongan sejak sekian lama.

“Kerajaan bersetuju menambah RM500,000 lagi untuk meningkatkan perkhidmatan kenderaan tersebut dan sebagai permulaan empat orang daripada 30 pengusaha telah menukar beca mereka menggunakan enjin hybrid,” katanya.


Kini kenderaan pengangkutan awam di negeri Terengganu berslogankan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan'

Katanya, segala bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dapat dipergunakan sebaik mungkin dan bukan sebaliknya menghentam kerajaan.

“Berilah perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tempatan dan pelancong serta bersama-sama menjaga imej negeri dan jauhi sikap riak dan besar hati dengan perolehan ini,” katanya.

TEGANUKITA

20 March 2010

Golongan Miskin Diberi Bantuan Bulanan

Oleh : Kamarudin Mat Akib

KEMAMAN, 19 Mac – Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM700,000 sebulan untuk membayar elaun bulanan kepada 2,590 orang penerima bantuan am di daerah Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, elaun tersebut dijelaskan pada setiap bulan agar golongan miskin dapat membeli keperluan keluarga masing-masing.

Beliau berharap penerima bantuan am bersyukur dengan pemberian tersebut dan mengenang budi yang telah dicurahkan kerajaan untuk kesenangan mereka.

“Sebenarnya UMNO tidak pernah putus-putus menjadi juara dan mencurahkan jasa kepada rakyat, sejak negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Kemaman di Kampung Pengkalan Ranggon, hari ini.

Hadir sama di majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, YB Ir. Rosli Othman dan Adun Air Puteh, YB Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

TEGANUKITA

17 March 2010

Hadiah Berganda Kekal Juara MSSM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri bersedia melipatgandakan hadiah kepada atlet yang berjaya membawa kontinjen Terengganu kekal juara buat kali kedua Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata walaupun untuk mempertahankan kejuaraan amat sukar berbanding meningkatkan kejayaan, kerajaan negeri berkeyakinan atlet Majlis Sukan-Sukan Terengganu (MSST) mampu melakar kejayaan dan mengharumkan nama negeri untuk kali kedua.

Katanya, kerajaan bersedia memberi apa sahaja pengiktirafan kepada atlet yang berjaya dalam bidang sukan yang dikuasai mereka asalkan mereka mampu menempa nama dan menghasilkan kejayaan yang terbaik.

Menurut Dato’ Ahmad, bagi mencapai kejayaan yang disasarkan atlet perlu mengekalkan disiplin, kesungguhan dan momentum stamina yang tinggi.

“Sebagaimana kejayaan yang dibuat oleh pelumba basikal negara yang berasal dari Terengganu, Anuar Manan memenangi Raja Pecut yang pertama sejak 15 tahun penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Kerajaan mengiktiraf kejayaan beliau dan menganugerahkan sebidang tanah dan RM10,000 atas pencapaian luar biasa anak Terengganu itu sekaligus membuktikan kerajaan bersedia memberi apa sahaja berdasarkan pencapaian atlet dalam bidang mereka,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan MSST 2009, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (15 Mac).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Menteri Besar turut mengharapkan atlet yang masih di bangku sekolah seperti atlet MSST bukan hanya jaguh dalam sukan sebaliknya turut mengutamakan pelajaran.

Katanya, gesaan itu bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melihat Terengganu sebagai negeri anjung ilmu yang terbukti berjaya dihasilkan dengan pencapaian terbaik peringkat nasional bagi keputusan tiga peperiksaan utama sepanjang tahun lalu.

Malah, pada masa yang sama, kejayaan dalam bidang sukan di peringkat negeri, negara serta dunia membuktikan Terengganu berupaya menjadi kuasa baru dalam sukan negara.

Dalam majlis itu, Muhammad Zulkifli Razak, 17, atlet sepak takraw dari Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN), Setiu dianugerahkan Olahragawan Tahun 2009, manakala Olahragawati Tahun 2009 menjadi milik Fazila Umirah Mazlan, 16, atlet olahraga juga dari SSTBN.

Manakala kategori Tunas Harapan (lelaki) 2009, Nur Shahira Muliadi, 13, (olahraga) dari SSTBN dan Tunas Harapan (perempuan) 2009, Zulbahrin Mat Asri, 13 (gimnastik) kebangsaan Bukit Payong, Marang.


Untuk rekod, dalam edisi kejohanan ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor tahun lalu, Terengganu merangkul kejuaraan keseluruhan Kejohanan Olahraga MSSM selepas menamatkan saingan.

Kontinjen negeri itu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan dengan 11 emas, tujuh perak satu gangsa dan Kedah di tempat ketiga dengan pungutan 11 emas, lima perak dan lapan gangsa.

Selain johan keseluruhan kejohanan Olahraga MSSM kali pertama dalam tempoh 51 tahun itu, Terengganu juga muncul johan MSSM 2009 dalam bola baling, sepak takraw, sofbol dan hoki.

Seramai 42 atlet MSST mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sepanjang 2009 termasuklah sukan paragames (seorang atlet); badminton (seorang); footvolley (dua); basikal (dua); ragbi (dua); judo (dua); hoki (tiga); sepak takraw (enam); olahraga (sepuluh) dan bola sepak 13 atlet.

TEGANUKITA

15 March 2010

Jalan Empat Lorong Atasi Kesesakan Kuala Terengganu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar turun padang meninjau kawasan bagi tujuan menaiktaraf jalan dan pembinaan longkang besar di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Masalah kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kuala Terengganu dijangka dapat diselesaikan menjelang 2012 apabila kerajaan negeri bercadang menaiktaraf jalan, longkang dan perparitan di sepanjang laluan Jalan Budiman hingga kawasan Bukit Besar menjadi jalan empat lorong dengan peruntukan kira-kira RM60 juta.

Projek menaiktaraf jalan empat lorong dengan pembinaan longkang besar sepanjang lima kilometer di bawah jalan itu dijangka bermula pertengahan tahun ini.


Berbincang dengan penduduk sekitar bagi memberitahu perlaksanaan projek menaiktaraf jalan dan longkang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata keluasan jalan dan perparitan di kawasan itu mencukupi untuk dibangunkan sebagai jalan empat lorong tanpa melibatkan sebarang proses pengambilan tanah penduduk setempat.

“Saya hari ini mengadakan lawatan ke semua kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam daerah Kuala Terengganu untuk melihat sendiri permasalahan, untuk baiki jalan-jalan yang rosak di kampung-kampung dan menaiktaraf longkang-longkang dalam bandar dan sebagainya.


Mengenalpasti beberapa longkang yang akan dinaiktaraf.

“Kita telah mengenalpasti beberapa longkang utama yang akan dinaiktaraf sebagaimana kita tengok tadi berdekatan Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Jalan Budiman sampai ke Bukit Besar, iaitu asalnya parit tali air untuk menanam pada suatu masa dulu, kita akan naik taraf menjadi jalan empat lorong di bawahnya dijadikan longkang yang besar,” kata beliau ketika melawat beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan daerah Kuala Terengganu, di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar berkata, projek menaiktaraf longkang dan sistem perparitan itu bukan hanya dapat mengatasi masalah banjir di kawasan itu, malah menjadi kawasan takungan tadahan air serta menguraikan masalah trafik yang memasuki Bandar Raya Kuala Terengganu.


Projek serampang tiga mata dijangka siap dalam tempoh 18 bulan selepas ditender.

Katanya, projek `serampang tiga mata’ melibatkan kerja menaik taraf jalan, longkang dan sistem perparitan dijangka mula ditender pada pertengahan tahun ini serta siap dalam tempoh masa 18 bulan berikutnya.

Dato’ Ahmad berkata, MBKT bertindak sebagai pihak pelaksana dan mengeluarkan tender bagi kerja menaiktaraf dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu bagi merangkan pelan secara bersepadu.

Dalam pada itu, Kerajaan negeri juga akan menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Banggol Tok Jiring menjadi sungai buatan yang berkeluasan kira-kira 40 meter lebar dan 3.3 meter dalam.


Dato' Ahmad juga sempat meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Jeram, Manir ke Kampung Jeram Tokong.

“Kita juga akan kita naik taraf dan melihat supaya kita akan beri keutamaan kepada sistem perparitan utama iaitu saliran banjir sebab itu saya katakan yang kita perlu buat secara `over size’ macam di Banggol Tok Jiring, saya sudah mengarahkan JPS mengenalpasti tanah-tanah yang perlu diambil balik.

“Kita akan buat sungai baru, sungai buatan kira-kira 40 meter lebar mungkin sampai 3.3 meter dalam.Sekurang-kurangnya kalau banjir di situ kawasan sungai berkenaan akan dijadikan sebagai kawasan takungan,”katanya.

TEGANUKITA

Melindungi Anak Yatim Satu Ibadah

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said menyambut kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom di pejabatnya di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Peranan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (Peyatim) melindungi anak-anak yatim adalah satu ibadah dan amal soleh yang dituntut agama kita, kata Menteri di Jabatan Pedsana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

“Langkah Peyatim mengadakan program jangka pendek dan jangka panjang amat bertepatan dimana melalui penubuhan Kolej Teknologi Bestari (KTB) dan Institut Kemahiran Bestari (IKB) dapat memenuhi perkembangan intelek mereka,” katanya di majlis perasmian Temasya Sukan Anak-anak Yatim (Sukya) Ke-V11 Peringkat Kebangsaan, di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak petang ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Presiden Peyatim, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor dan Rektor Univisitas Islam As-Syafi’iyah, Jakarta, Indonesia, Dr Tutty Alawiah A.S.

Dato’ Seri Jamil Khir berkata, penganjuran sukan seperti ini dapat memenuhi keperluan pembangunan jasmani anak-anak kerana dengan bersukan dapat memupuk kerjasama, toleransi dan kesabaran, mereka yang cergas dalam bidang sukan akan cemerlang dalam kokurikulum.

“Saya difahamkan terdapat hampir 300,000 anak-anak yatim seluruh negara manakala yang berada di bawah asrama gabungan Peyatim hanya 4,000 sahaja dan mereka ini adalah aset negara yang sangat bernilai,” katanya.

Beliau yakin melalui program Sukya akan lahir jaguh-jaguh yang dapat mengharumkan nama negeri dan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Dato’ Dr. Tengku Mahmud berkata terdapat 13 buah negeri termasuk Sabah telah menghantar kontijen masing-masing untuk menyertai Sukya yang berlangsung selama lima hari bermula 14 Mac dan berakhir 18 Mac depan.

“Terdapat 3,000 peserta dan pegawai sukan berkampung di negeri ini yang akan menyertai 21 acara sukan antaranya ialah bola sepak, badminton, bola tampar, congkak, bola jaring, ping pong, dam serta olahraga,” katanya.

TEGANUKITA

13 March 2010

Hishammuddin dan MB Sertai Perarakan Maulidur Rasul

Laporan: Kamarudin Mat Akib, Mohd Hazwan Rosli dan Harun Hassan


Dato' Ahmad Said, Datuk Hishammuddin dan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat daerah Kemaman.
Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


KEMAMAN, 13 Mac -Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengetuai perarakan Mulidur Rasul peringkat daerah Kemaman, hari ini.

Lebih 28,000 peserta menyertai perarakan mengelilingi bandar Cukai sejauh tujuh kilometer, melibatkan 405 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).


Antara kontijen yang menyertai perarakan Maulidur Rasul.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut menyertai perarakan tersebut.

Datuk Seri Hishammuddin dalam sidang media selepas itu menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mengatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah hantar surat peletakan jawatan.

Beliau yang menyifatkan laporan tersebut sebagai pembohongan, mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam untuk memanggil editor akhbar terbabit bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Katanya, tidak mungkin pegawai tinggi polis berkenaan mereka akan letak jawatan tanpa pengetahuan beliau dan beliau tahu laporan akhbar itu adalah satu pembohongan.

Menurutnya, setakat ini Musa masih menjalankan tugas seperti biasa dan kontraknya dijangka tamat September ini.


Kontijen daripada Kampung Che Wan, Kijal turut menyertai perbarisan.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok muncul johan perbarisan peringkat sekolah rendah dan menggondol wang tunai RM5,000 manakala Tadika Kampung Tengah, Kijal johan peringkat pra-sekolah.

JKR Kemaman pula muncul johan kategori sepanduk terbaik antara jabatan kerajaan dan menerima wang tunai RM3,000 manakala kategori terbuka dimenangi Taman Perumahan Gong Pauh.

TEGANUKITA

12 March 2010

SPM Terengganu Atasi Pencapaian Nasional

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan umum apabila Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan serentak di seluruh negeri hari ini turut merekodkan peningkatan gred purata daripada 5.27 (2008) kepada 5.08 yang mengatasi pencapaian peringkat nasional (5.34).

Untuk rekod, semakin kecil nilai gred purata menunjukkan prestasi semakin meningkat.

Selain gred purata yang meningkat, Terengganu juga menunjukkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperolehi semua A, peratus lulus semua subjek, peratus minimum C dan peningkatan calon layak mendapat sijil SPM.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ariffin Embong, berkata peratusan calon yang mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil meningkat daripada 1.35 peratus (295 calon) pada 2008 kepada 1.59 peratus (355 calon) tahun ini.

Manakala peratusan lulus semua subjek meningkat 3.97 peratus daripada 51.03 peratus atau 11,166 calon (2008) kepada 55 peratus atau 12,285 calon tahun ini.

Katanya, peratus minimum C dalam semua subjek juga meningkat sebanyak 1.45 peratus daripada 15.94 peratus (3,883 calon) pada 2008 kepada 17.38 peratus (3,487 calon) pada 2009.

“Alhamadulillah, keputusan SPM 2009 bagi sekolah seluruh Terengganu sekali lagi menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam semua aspek berbanding tahun lalu.

“Ini semua terhasil daripada kerja kuat dan sokongan kerajaan negeri, calon SPM, pengetua dan pentadbir sekolah, guru-guru, warga kerja Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan semua warga Pejabat Pelajaran Daerah,” kata beliau sejurus mengumumkan keputusan SPM 2009, di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, hari ini (11 Mac).

SM Sains Kuala Terengganu muncul antara lapan sekolah cemerlang seluruh Terengganu dengan pencapaian gred purata sekolah (gps) 1.841. Manakala sekolah lain adalah Sekolah Berintegrasi Penuh Integrasi Batu Rakit yang memperolehi gps 1.878, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong (2.048), Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu (2.053).

Sekolah lain, SM Sains Sultan Mahmud (2.097); MRSM Kuala Berang (2.115); SM Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik (2.140 dan SM Imtiaz Kuala Terengganu mencapai 2.188.

TEGANUKITA

Kerajaan Hulur Bantuan Kepada Dua Pesakit

Oleh Kamaruddin Mat Akib


Dato' Ahmad memakaikan kaki palsu kepada Nik Shamsiah sambil dibantu YB Yahya Khatib di Kampung Binjai Rendah, Marang. (Gambar oleh : Zulkipli bin CW. Putera)

Dua pesakit, seorang pemuda yang lumpuh dan wanita yang mempunyai sebelah kaki sahaja, diberi bantuan oleh kerajaan negeri petang semalam (10 Mac), bagi meringankan beban yang dihadapi mereka.

Sebagai tanda prihatin terhadap nasib rakyat, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, ‘turun padang’ bagi menyampaikan bantuan tilam udara dan pelbagai peralatan perubatan bernilai hampir RM10,000 kepada Mohd Nainuddin Kassim, 33, di rumah pesakit tersebut di Kampung Gong Nangka, Marang.


Menteri Besar berbual dengan Mohd Nainuddin selepas menyampaikan bantuan tilam dan peralatan perubatan di Kampung Gong Nangka, Marang.

Mohd Nainuddin yang bekerja sebagai buruh lumpuh selepas terjatuh dari bangunan tangki air di Balai Polis Jerangau Sungai, November tahun lalu.

Selepas itu, Dato’ Ahmad menyampaikan bantuan kaki palsu berharga RM3,800 kepada Nik Shamsiah Omar, 48, yang tinggal bersama-sama adiknya di Kampung Binjai Rendah.

Sewaktu menziarahi Nik Shamsiah, Menteri Besar turut meluluskan serta-merta permohonan pesakit yang memerlukan sebuah rumah, di bawah projek Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

TEGANUKITA