Halaman

22 March 2010

RM13.2 juta Untuk Tingkatkan Imej Pengangkutan Awam

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pereka injin untuk beca roda tiga, Zulkifli Haron, mengatakan sesuatu kepada Dato' Ahmad Said ketika menaikki beca hybrib ketika melancarkan Program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memperuntukan RM13.2 juta dalam usaha meningkat imej pengangkutan awam di negeri ini yang membabitkan bas henti-henti, kereta sewa dan beca roda tiga.

Peruntukan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sebagai pelaksana bagi merialisasikan hasrat kerajaan yang berpaksikan kepada prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta tidak membiarkan masalah berlanjutan.


Menteri Besar ketika gimik pelancaran.

“”Kecekapan pengangkutan awam mesti selari dengan pertumbuhan bandaraya Kuala Terengganu kerana ia merupakan teras kepada kemeriahan dan rangsangan pembangunan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika melancarkan program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (18 Mac).

Hadir sama, Dato’ Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji Azmi Razik serta lebih 200 orang pengusaha bas, kereta sewa dan beca roda tiga.


Penerima bantuan bersama Dato' Ahmad.

RM11.2 juta daripada jumlah tersebut adalah untuk mempertingkat imej kereta sewa di mana menerusi skim bantuan ini setiap pengusaha diberi geran RM10,000 seorang untuk membeli kereta baru atau mengecat kereta sedia ada.

Sehingga ini terdapat 454 orang pengusaha kereta sewa seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut hanya 189 orang sahaja lagi yang belum mendapat kemudahan yang disediakan kerajaan.

Manakala RM2 juta lagi berupa bantuan kepada pegusaha bas henti-henti dan setiap syarikat bas layak menerima bantuan maksima RM150,000.

“Konsep bantuan ialah RM50,000 berupa geran yang tidak perlu dibayar dan RM100,000 lagi dalam bentuk pinjaman mudah,” katanya.

Sehingga ini enam buah syarikat iaitu SPBT Trevel Sdn Bhd, Syarikat Himda, Pengangkutan Bumi Pantai, Pengangkutan Hamid Yaakob, Pengangkutan Intan Unggul dan Syarikat Pengangkutan Mohd. Nor dan Hisham yang sedang beroperasi dan akan menerima bantuan berkenaan.

Dato’ Ahmad kemudiannya menegaskan bahawa kerajaan sekali-kali tidak akan meminggirkan pengusaha beca roda tiga yang menjadi ikon pelancongan sejak sekian lama.

“Kerajaan bersetuju menambah RM500,000 lagi untuk meningkatkan perkhidmatan kenderaan tersebut dan sebagai permulaan empat orang daripada 30 pengusaha telah menukar beca mereka menggunakan enjin hybrid,” katanya.


Kini kenderaan pengangkutan awam di negeri Terengganu berslogankan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan'

Katanya, segala bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dapat dipergunakan sebaik mungkin dan bukan sebaliknya menghentam kerajaan.

“Berilah perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tempatan dan pelancong serta bersama-sama menjaga imej negeri dan jauhi sikap riak dan besar hati dengan perolehan ini,” katanya.

TEGANUKITA