Halaman

12 March 2010

SPM Terengganu Atasi Pencapaian Nasional

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan umum apabila Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan serentak di seluruh negeri hari ini turut merekodkan peningkatan gred purata daripada 5.27 (2008) kepada 5.08 yang mengatasi pencapaian peringkat nasional (5.34).

Untuk rekod, semakin kecil nilai gred purata menunjukkan prestasi semakin meningkat.

Selain gred purata yang meningkat, Terengganu juga menunjukkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperolehi semua A, peratus lulus semua subjek, peratus minimum C dan peningkatan calon layak mendapat sijil SPM.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ariffin Embong, berkata peratusan calon yang mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil meningkat daripada 1.35 peratus (295 calon) pada 2008 kepada 1.59 peratus (355 calon) tahun ini.

Manakala peratusan lulus semua subjek meningkat 3.97 peratus daripada 51.03 peratus atau 11,166 calon (2008) kepada 55 peratus atau 12,285 calon tahun ini.

Katanya, peratus minimum C dalam semua subjek juga meningkat sebanyak 1.45 peratus daripada 15.94 peratus (3,883 calon) pada 2008 kepada 17.38 peratus (3,487 calon) pada 2009.

“Alhamadulillah, keputusan SPM 2009 bagi sekolah seluruh Terengganu sekali lagi menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam semua aspek berbanding tahun lalu.

“Ini semua terhasil daripada kerja kuat dan sokongan kerajaan negeri, calon SPM, pengetua dan pentadbir sekolah, guru-guru, warga kerja Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan semua warga Pejabat Pelajaran Daerah,” kata beliau sejurus mengumumkan keputusan SPM 2009, di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, hari ini (11 Mac).

SM Sains Kuala Terengganu muncul antara lapan sekolah cemerlang seluruh Terengganu dengan pencapaian gred purata sekolah (gps) 1.841. Manakala sekolah lain adalah Sekolah Berintegrasi Penuh Integrasi Batu Rakit yang memperolehi gps 1.878, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong (2.048), Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu (2.053).

Sekolah lain, SM Sains Sultan Mahmud (2.097); MRSM Kuala Berang (2.115); SM Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik (2.140 dan SM Imtiaz Kuala Terengganu mencapai 2.188.

TEGANUKITA