Halaman

08 March 2010

Penduduk MBKT Gagal Bayar Cukai Pintu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kegagalan penduduk menunaikan tanggungjawab membayar cukai pintu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan RM50 juta setahun bagi menampung kos operasi dan pembangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Kadar cukai pintu MBKT (sebelum ini Majlis Perbandaran Kuala Terengganu) tidak pernah dinaikkan sejak 29 tahun lalu walaupun sudah dua kali kajian mengenainya dijalankan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata MBKT berdepan dengan kekangan hasil pendapatan berbanding majlis bandar raya yang lain disebabkan penduduk di Kuala Terengganu yang liat membayar dan melunaskan tunggakan cukai pintu.

“Kerajaan negeri terpaksa memberikan RM50 juta setahun dalam tempoh lima tahun kepada MBKT untuk membantu dan menyokong majlis bandar raya. Kalau pendapatan RM30 juta, jadi kesemua RM80 juta pendapatannya (yang diperlukan) untuk buat semua sekali.

“Sebab itu saya kata, 29 tahun cukai pintu tidak pernah dinaikkan…Bayangkan. Orang kita bayar cukai pintu. Kita tidak naikkan pun, tapi kita minta dengan kadar yang sama juga tidak bayar,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Pemantapan Hala Tuju MBKT di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (7 Mac)

Hadir sama, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Setiausahanya, Haji Sameun Salleh. .

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri kesal dan kecewa dengan sikap penduduk Kuala Terengganu dan juga pengundi dalam MBKT yang gagal membayar cukai kerana mereka sepatutnya memainkan peranan besar menyumbang ke arah pembangunan bandar raya.

Katanya, menerusi hasil yang terkumpul melalui pembayaran cukai, MBKT dapat melakukan pelbagai pembangunan kawasan Bandar Kuala Terengganu termasuk mempertingkatkan kemudahan jalan raya, perparitan dan longkang.

“Bayar RM15 hingga RM20 seorang apa salahnya kerana kita hendak suasana yang selesa tetapi kita tidak sanggup mengeluarkan sedikit bayaran menunaikan tanggungjawab kita..jadi payahlah.

“Kalau nak ikutkan sudah dua kali kita buat kajian (menaikkan cukai pintu). Tetapi kerajaan diugut balik jika cukai dinaikkan. Itu sikap orang kita kalau menaikkan bayaran memang sensitif. Tetapi tidak tahu sampai bila kita mampu bertahan,” kata beliau lagi.

TEGANUKITA