Halaman

17 February 2011

Top IT ikat janji dengan Akram

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar menyaksikan MoU antara Top IT Sdn Bhd dengan Akram.

Perjanjian antara Top IT Sdn Bhd dengan Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) membuka satu laluan baru dalam dunia pendidikan negeri yang sedang mara menuju kemuncak Negeri Anjung Ilmu.

Kerjasama dua hala itu dilihat akan meledakkan satu dimensi baru dalam dunia pendidikan negeri di mana Top IT menyediakan sistem teknologi maklumat iaitu komputer riba untuk guru Akram dan e-Book untuk pelajar.

Guru-guru Akram yang terbahagi kepada 12 bidang termasuk Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, ICT dan Perkomputeran, Pendidikan Islam, Kajian Kemasyarakatan, Teknik dan Vokasional, Penyelidikan, e- Pantau dan Korikulum Rendah/Akram Rendah.

Kumpulan guru Akram akan menyediakan 1,000 soalan sebulan mengikut bahagian masing-masing untuk ujian pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negeri.

Majlis menandatangani perjanjian antara Top IT Sdn Bhd dan Akram di saksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara Top IT diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Isa Nik dan Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri manakala Haji Che Abd Rani Mohd menjadi saksi. Akram pula diwakili Pengerusinya Encik Mustaffa Mohd dan Pengarah Pelajaran, Encik Razali Daud sebagai saksi.

TEGANUKITA

Pemimpin Umno Marang ‘masuk kampung’

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Encik Zaidi bertanya khabar kepada warga emas di Marang.

Pemimpin Umno bahagian Marang memulakan program ‘masuk kampung’ bagi meninjau sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk kampung, khususnya di kalangan mereka berpendapatan rendah.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, melawat tujuh warga emas dan mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik, semalam, bagi menyampaikan bantuan.

Dengan diringi kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) DUN Bukit Payong, beliau memulakan kunjungan pertama ke rumah Ngah Said, 65, di Kampung Surau Panjang yang menghidap penyakit lelah dan mengalami masalah kesihatan.


Program masuk kampung menjadi amalan pemimpin UMNO.

Ngah sudah 17 tahun tidak dapat meneruskan pekerjaannya sebagai buruh dan mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan.

Pesakit dijaga isterinya, Lijah Embong, 63, yang sudah tidak larat untuk melakukan kerja berat bagi menyediakan keperluan keluarganya.

Zaidi menghulurkan bantuan makanan seperti beras, milo, susu dan biskut kepada Ngah dan berjanji akan menghulurkan bantuan lain di masa depan.


CAKNA...Zaidi menemui pesakit kronik untuk menghulurkan bantuan yang perlu.

Selepas itu, beliau mengunjungi Abudin Ismail, 75, di rumahnya di Kampung Surau Panjang yang menghidap penyakit ghout, usus dan kencing manis.

Pesakit terlantar sejak lebih lima tahun lalu dan tidak dapat meneruskan kerjanya sebagai peraih ikan.

Zaidi menghulurkan bantuan makanan kepada pesakit sambil meminta mereka sabar menghadapi dugaan.

Beliau berkata, program tersebut akan diteruskan bagi memastikan tidak ada rakyat yang menghadapi kesusahan tercicir daripada menerima bantuan.

“Inilah amalan mulia yang menjadi pegangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional di mana kita memberi sumbangan kepada rakyat tanpa memilih bulu,” ujarnya.

TEGANUKITA

MBDM Anjur Kejohanan Bowling

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman


Encik Zaidi sampaikan hamper kepada pemenang.

Majlis Belia Daerah Marang (MBDM) menganjurkan kejohanan bowling di Pusat Bowling Astaka, malam tadi, bagi mengeratkan silaturahim di kalangan para belia di daerah tersebut.

Peserta kejohanan tersebut terdiri daripada jawatankuasa Majlis Belia Daerah Marang dan badan gabungan serta pengerusi-pengerusi persatuan belia di seluruh kawasan Parlimen Marang.

Pengerusi Persatuan Belia 4B (M) Kampung Kijing, Sazali Razali, muncul johan manakala naib johan disandang oleh Pengerusi Persatuan Belia MAYC Gelugor Kedai, Omar Mat Ali.


Antara pemenang yang menerima hamper.

Tempat ketiga pula dimenangi Pengerusi Persatuan Belia 4B (M) Kampung Laut Che Johari Abu Bakar.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir di majlis penyampaian hadiah ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Mohd Shamsir Mohamad.


Hebat...belia Marang yang menyertai pertandingan bowling.

Kira-kira 50 orang peserta menyertai kejohanan tersebut yang bakal dijadikan acara tahunan.


TEGANUKITA

16 February 2011

Kerajaan Tunggu Gambaran Terkini Dari Mesir

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Kerajaan Terengganu sedang berurusan dengan kedutaan Malaysia di Mesir untuk mendapat gambaran terkini serta menunggu berita dari Wisma Putera sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kepulangan semula pelajar dari negeri ini ke Mesir.

“Apa-apa pun kita kena tunggu dan selaras dengan Kerajaan Pusat bila dan masa sesuai mereka boleh kembali ke Mesir,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita sebaik selesai Majlis Temu Mesra Menteri Besar Bersama Pelajar Terengganu Yang Menuntut di Mesir, di Dewan Besar Wisma Darul Iman petang ini (16 Februari).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Abdul Aziz Mamat.

Menurut Menteri Besar, setakat ini hampir semua pelajar negeri ini sama ada di bawah tajaan YT, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta orang persaorangan telah selamat pulang i dan penerbangan terakhirnya malam semalam.



“Namun begitu terdapat 13 orang rakyat negeri ini enggan balik dan mengambil keputusan untuk terus tinggal di asrama kerajaan negeri di Mesir,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan mengambil berat dan amat memahami situasi pelajar-pelajar yang sebahagiannya belum sempat ambil peperiksaan dan sedaya upaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Jika keadaan mengizinkan, kerajaan sanggup menerbangkan pensyarah dari Mesir ke negeri ini serta menyediakan tempat sesuai, agar pelajar kita dapat menduduki peperiksaan mereka kerana kalau krisis ini berpanjang akan merugikan pelajar kita,” katanya.



Kerajaan juga turut memberi penghargaan kepada 21 orang Jawatankuasa Khas Perpindahan Pelajar terdiri dari pegawai YT dan pelajar yang terbabit secara terus dalam operasi perpindahan pelajar dari Mesir ke Jeddah, Jeddah ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Terengganu.

Jawatankuasa berkenaan di ketuai Penolong Setiausaha Kerajaan bahagian Agama dan Penerangan negeri Haji Lukema Meri Salleh yang menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM500 setiap seorang dan disampai oleh Menteri Besar.

TEGANUKITA

Agihan pakaian sekolah ditangguh

oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menangguh cadangan untuk mengagihkan pakaian sekolah menengah dan rendah kepada pelajar di negeri ini disebabkan masalah pertindihan nama mereka yang layak menerima bantuan berkenaan.

Proses pengagihan bantuan berkenaan dijangka dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi selepas kira-kira 2,654 nama pelajar yang bertindih dalam permohonan bagi tujuan itu selesai disemak semula.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri tidak menolak terdapat pihak atau penjaga yang ingin mengambil kesempatan terhadap sumbangan yang hanya diperuntukkan untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

Katanya, daripada peruntukan itu, RM100 untuk pelajar sekolah menengah manakala RM100 lagi untuk sekolah rendah.

“Mereka tidak boleh menipu kerana kerajaan negeri boleh mengesan nombor pengenalan setiap pemohon menggunakan sistem khas.

“Selain itu, terdapat juga salah faham antara ibu bapa yang sudah bercerai di mana mereka mengemukakan dua permohonan berlainan. Sebilangan kecil lagi, permohonan dibuat oleh datuk atau penjaga pelajar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (16 Februari).

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu, agihan atau peruntukan ini mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi selepas siap mengemaskini nama dan data yang sepatutnya.

“Pihaknya menerima sebanyak 106,000 permohonan daripada pelajar di seluruh negeri ini. Selepas mengemaskini data, hanya 102,000 pelajar sekolah rendah dan menengah sahaja yang layak kerana mengikut syarat yang ditetapkan.

“Pelajar yang mempunyai pendapatan keluarga yang kurang RM1,200 sebulan sahaja layak untuk menerima sumbangan ini,” katanya.

TEGANUKITA

Sikap Anwar Hina Batik Dikesali

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menghina batik Malaysia dalam satu syarahan umum di Indonesia, baru-baru ini.

Beliau berkata, Ketua Pembangkang itu mempunyai agenda tersendiri apabila dia tidak mahu mengakui batik Malaysia khususnya batik Terengganu, mempunyai pelbagai keunikan termasuk corak dan rekaan.

“Batik Malaysia bukan hanya digemari masyarakat tempatan malah pelancong luar negara termasuk Itali dan Perancis.

“ Apabila datang ke Terengganu mereka tidak akan melepaskan peluang membelinya untuk dijadikan kenang-kenangan dan cederahati kepada rakan senegara,” katanya.

Teganukita difahamkan Sultan Brunei Darulsalam dan kerabat negara itu sering menempah batik dan songket Terengganu bagi pelbagai tujuan, termasuk hiasan di istana.

Menteri Besar berkata, sekiranya benar batik Malaysia jelik atau buruk, sudah lama ia tidak boleh bertahan di pasaran, namun dakwaan itu sememangnya meleset ekoran tekstil itu semakin hebat di mata dunia.

“Anwar bukannya seorang yang pakar mengenai batik dan tidak wajar beliau mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan industri batik di negara ini termasuk Terengganu,” katanya.

TEGANUKITA

Derita Si Cilik Dapat Perhatian Menteri Besar

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad melihat perut adik Tengku Muhammad Haikal yang menghidap saluran buah pinggang bocor yang menyebabkan perut dan muka bengkak di HSNZ.

Derita si cilik yang menghidap saluran buah pinggang bocor sehingga menyebabkan perut dan muka membengkak mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang melawat pesakit itu, di Wad Kanak-Kanak, Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini (16 Februari).

Pesakit berkenaan, Tengku Muhammad Haikal Afify Tengku Mohamad, 6, dari Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu menghidap penyakit yang dikenali sebagai `Relapse Nephrotic Syndrome’ sejak berusia dua tahun menyebabkan kehidupannya tidak seperti kanak-kanak normal lain, selain tidak mampu mengikuti pra persekolahan seperti biasa.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memastikan pesakit itu mendapat bantuan yang sewajarnya termasuk merujuk ke Unit Nefrologi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan atau Hospital Kuala Lumpur.

“Doktor memberitahu bahawa pesakit ini perlu berulang-alik dan tidak perlu pembedahan buat masa sekarang. Oleh kerana kita tidak mempunyai pakar nefrologi (buah pinggang), kita akan rujuk ke Hospital Besar Kuantan atau Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan pakar di sana,” katanya sejurus melawat kanak-kanak itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, dari segi kos perubatan dan perjalanan berulang-alik ke hospital berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi Tabung Penyakit Kronik.

Selain itu, bapa pesakit berkenaan, Tengku Mohamad Tengku Sulong, 49, merupakan penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mengalami masalah penglihatan, selain mendapat rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin.

Sementara ibu kanak-kanak itu, Mek Salmah Abd Rahman, 41, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu, berkata kehadiran Menteri Besar dan rombongan yang melawat anaknya yang ditempatkan di wad itu sejak tiga hari lalu amat menyentuh hati dan berterima kasih dengan keprihatinan pemimpin negeri itu.

Katanya, sebagai ibu, dia hanya menyerahkan kepada kepakaran doktor untuk merawat anak bongsu daripada lima beradik itu supaya derita yang ditanggung akan berakhir satu masa nanti.

“Saya setuju apa sahaja yang terbaik dan sepatutnya dilakukan kepada anak saya. Mahu hantar ke mana-mana (hospital) pun saya ikut sahaja sebab doktor lebih tahu apa yang perlu dibuat untuk memulihkan anak saya,” katanya.



Mek Salmah berkata mereka sekeluarga terpaksa berulang-alik sebanyak 14 kali sejak anaknya menghidap penyakit itu empat tahun lalu.

Katanya, dia terpaksa melakukan pemerikaan air kencing anaknya sendiri di rumah bagi memastikan anaknya itu bebas dari jangkitan atau normal.

Bagaimanapun, jika air kencing Tengku Muhammad Haikal tidak normal seperti kebiasaan kesan masalah buah pinggangnya itu dan berlarutan sehingga dua minggu, anaknya itu akan dibawa menjalani rawatan susulan di HSNZ.

TEGANUKITA

Hotel Maidam Siap Oktober

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Hotel tujuh tingkat milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang bernilai RM37.4 juta, dijangka siap pada bulan Oktober ini.

Hotel tujuh tingkat milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang bernilai RM37.4 juta, dijangka siap pada bulan Oktober ini dan mula digunakan seawal tahun depan.

Apabila beroperasi kelak, hotel tersebut mampu menampung masalah kekurangan bilik hotel di negeri ini, terutama ketika musim cuti sekolah dan cuti panjang pelbagai perayaan, termasuk Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas.

Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata hotel yang belum diberi nama itu mula dibina pada bulan Mei 2010 bagi menampung masalah kekurangan bilik hotel di bandar Kuala Terengganu.

Pada waktu tertentu, khususnya cuti sekolah di mana Kuala Terengganu dibanjiri pelancong, bilik hotel penuh sesak dan kebanyakan mereka sukar mendapatkan tempat penginapan sekitar bandar Kuala Terengganu.



Hotel yang mengandungi 180 bilik itu terletak di pusat bandar, berhampiran dengan Masjid Abidin yang juga dikenali sebagai “Masjid Putih”. Masjid Putih juga merupakam salah satu bangunan lama yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Wan Harujan berkata, pihaknya yakin hotel tersebut bakal mendapat sambutan kerana ia terletak di kawasan strategik dan dikelilingi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat makan, Pasar Besar Kedai Payang dan tempat ibadat.

TEGANUKITA

Kerajaan Cari Alternatif Ganti Limau Madu

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Kawasan tanaman limau madu di Lembah Sitrus di Durian Mentangau, Dungun.

Kerajaan negeri akan mencari alternatif lain bagi menggantikan tanaman limau madu di Lembah Sitrus di Durian Mentangau, Dungun, bagi memastikan kawasan tersebut tetap digunakan untuk tujuan pertanian.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, buat masa ini kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengubah syarat tanah di kawasan tersebut bagi tujuan lain selain daripada pertanian.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut dengan pelbagai pihak akan diadakan bagi menentukan tanaman paling sesuai di kawasan itu, termasuk mengurangkan risiko yang dihadapi pengusaha.

Mengulas rungutan pengusaha tanaman limau di kawasan tersebut, Menteri Besar berkata, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggantikan tanaman madu dengan komoditi lain, termasuk kelapa sawit kerana ia bertentangan dengan syarat tanah di situ.

Mengikut laporan Teganukita sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris, berkata pihaknya prihatin terhadap nasib yang dialami lapan pengusaha limau madu di kawasan itu yang dikatakan mengalami kerugian besar disebabkan serangan penyakit.



“Kebanyakan pengusaha tidak mahu meneruskan tanaman limau dan mereka lebih berminat untuk menanam kelapas sawit kerana harga komoditi ini tinggi di pasaran dan kurang risiko berbanding limau madu.

“Bagaimanapun, cadangan ini bertentangan dengan dasar kerajaan negeri yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai Lembah Sitrus. Manakala syarat tanah kawasan ini hanya boleh ditanam dengan limau madu kerana ia diwartakan sebagai kawasan limau madu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan berkenaan kelmarin.

Sebelum ini kerajaan negeri memutuskan kawasan seluas 1,500 hektar di Durian Mentangau ini dijadikan kawasan tanaman limau madu secara besar-besaran di mana lapan syarikat masing-masing diserahkan 50 hektar untuk memajukannya dengan tanaman tersebut.

Selepas serangan penyakit beberapa tahun lalu, pengusaha berkenaan dikatakan keberatan untuk meneruskan tanaman tersebut kerana bimbang risiko penyakit dan mereka lebih cenderung menggantikan tanaman itu dengan kelapa sawit.

Menteri Besar berkata, pihaknya menyedari masalah yang dihadapi pengusaha tanaman limau madu di kawasan tersebut dan kajian mengenainya akan dilakukan segera oleh pihak berkenaan.

TEGANUKITA

Pengisian Kebudayaan di Pulau Warisan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai persembahan dan pertandingan kebudayaan setiap daerah dengan tema program `Budaya Warisanku’ disajikan kepada pelawat sebagai mengisi masa sementara mereka menunggu giliran menggunakan perkhidmatan bot `River Cruise’ di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

Acara yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu dalam kalendar pelancongan negeri pada setiap hujung minggu sebagai platform memperkenalkan adat dan warisan turun-temurun yang terdapat di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata permainan tradisional seperti wau, gasing, congkak selain persembahan dikir barat, mak yong dan rodat antara persembahan yang diketengahkan di destinasi pelancongan baru Terengganu itu sejak 11 Februari lalu.

“Kita dapati River Cruise mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelawat tempatan dan asing. Malah, mereka sanggup menuggu giliran untuk menaiki bot berkenaan walaupun waktu sudah melewati jam 1 pagi.

“Oleh yang demikian, kita memikirkan perlu ada program atau aktiviti yang dapat mengisi waktu sementara mereka menunggu giliran menaiki bot dan menyusuri sungai, “ katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, Pulau Warisan kini menjadi alternatif pelancongan yang baru, selepas Pulau Duyong, setiap kali Karnival Piala Monsun dijalankan setiap hujung tahun.

Datuk Abdul Rahin berkata, lanskap dan pemandangan yang menarik di pulau buatan itu menjadi daya tarikan utama yang menggamit kunjungan pelawat terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Katanya, usaha untuk memperindahkan Pulau Warisan terus dipertingkatkan termasuk menyediakan sejumlah peruntukan bagi membeli dan menanam pokok ru yang sudang matang di sekitar pusat pelancongan itu.

Sehingga kini, terdapat lapan bot yang beroperasi untuk perkhidmatan River Cruise termasuk empat bot Katamara dan empat lagi bot tradisional. Pengurusan bot tradsional diserahkan kepada Koperasi Bot penambang Seberang Takir.

TEGANUKITA