Halaman

16 February 2011

Pengisian Kebudayaan di Pulau Warisan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai persembahan dan pertandingan kebudayaan setiap daerah dengan tema program `Budaya Warisanku’ disajikan kepada pelawat sebagai mengisi masa sementara mereka menunggu giliran menggunakan perkhidmatan bot `River Cruise’ di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

Acara yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu dalam kalendar pelancongan negeri pada setiap hujung minggu sebagai platform memperkenalkan adat dan warisan turun-temurun yang terdapat di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata permainan tradisional seperti wau, gasing, congkak selain persembahan dikir barat, mak yong dan rodat antara persembahan yang diketengahkan di destinasi pelancongan baru Terengganu itu sejak 11 Februari lalu.

“Kita dapati River Cruise mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelawat tempatan dan asing. Malah, mereka sanggup menuggu giliran untuk menaiki bot berkenaan walaupun waktu sudah melewati jam 1 pagi.

“Oleh yang demikian, kita memikirkan perlu ada program atau aktiviti yang dapat mengisi waktu sementara mereka menunggu giliran menaiki bot dan menyusuri sungai, “ katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, Pulau Warisan kini menjadi alternatif pelancongan yang baru, selepas Pulau Duyong, setiap kali Karnival Piala Monsun dijalankan setiap hujung tahun.

Datuk Abdul Rahin berkata, lanskap dan pemandangan yang menarik di pulau buatan itu menjadi daya tarikan utama yang menggamit kunjungan pelawat terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Katanya, usaha untuk memperindahkan Pulau Warisan terus dipertingkatkan termasuk menyediakan sejumlah peruntukan bagi membeli dan menanam pokok ru yang sudang matang di sekitar pusat pelancongan itu.

Sehingga kini, terdapat lapan bot yang beroperasi untuk perkhidmatan River Cruise termasuk empat bot Katamara dan empat lagi bot tradisional. Pengurusan bot tradsional diserahkan kepada Koperasi Bot penambang Seberang Takir.

TEGANUKITA