Halaman

15 February 2011

Jom Heboh di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Karnival Jom Heboh TV3 di Dataran Syahbandar yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini dijangka mampu menarik lebih 500 ribu pengunjung ke bandar Kuala Terengganu dalam tempoh tiga hari penganjuran itu.

Program yang bermula 24 Februari ini bakal menjadi antara wadah pelancongan yang mampu menarik tumpuan pengunjung tempatan dan luar negeri ke Terengganu bagi menyaksikan pelbagai program hiburan, interaktif dan kebudayaan yang disediakan saluran Media Prima dengan Kerajaan Terengganu .

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata Terengganu memutuskan untuk pertama kali menganjurkan acara yang sudah sebati dengan jiwa masyarakat dan menjadi program penjelajahan seluruh negeri itu sebagai usaha menarik pelancong ke Terengganu.

“Kita kena ikut peredaran semasa, jika Jom Heboh ada di nengeri lain, barulah ada rangkaian pelancong domestik akan bergerak ke negeri yang tidak meninggalkan program induk dan sudah sinonim dengan masyarakat itu ( Jom Heboh).

“Jika tahun lalu tapak program Sua Rasa di Pulau Warisan, Kuala Terengganu dilimpahi ribuan pengunjung, saya jangkakan sambutan di Karnival Jom Heboh mungkin tiga kali ganda akan meningkat,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, penganjuran program itu sudah mengambil kira pelbagai aspek khususnya sambutan dan penerimaan masyarakat, selain pendekatan pelancongan sendiri yang perlu mengadakan program yang boleh menarik pelancong selagi ianya tidak melanggar etika dan adat yang membawa kepada masalah sosial masyarakat.

Katanya, Terengganu tidak mahu menjadi negeri yang ketinggalan danperlu bersikap terbuka untuk menaikkan kadar kemasukan pelancong domestik dan luar negara ke Terengganu menerusi penganjuran program yang sudah diakui mampu menarik pengunjung seperti Jom Heboh itu.

“Kita sasar 3 juta pelancong (setahun) , tetapi perkara itu agak sukar jika kita tidak melakukan transformasi dan pembaharuan dalam sektor pelancongan. Kita tidak mahu seakan-akan terpinggir daripada aktiviti yang mampu menarik jumlah pelancong yang ramai ke negeri kita,” katanya.

Malah, katanya usaha mengadakan karnival Jom Heboh itu juga antara langkah mengatasi masalah kekurangan pelawat dan penginap hotel antara bulan Disember hingga Mac disebabkan musim tengkujuh melanda Pantai Timur.

Katanya, pengusaha hotel merasakan dalam tempoh itu, perniagaan mereka sedikit terjejas disebabkan tiada program dan acara besar diadakan di Terengganu. Kebanyakan hotel hanya dipenuhi 40 peratus pengunjung sahaja.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada TV3 kerana memilih Terengganu sebagai lokasi baru mereka untuk berinteraksi dengan penonton setianya dengan cara yang lebih dekat dan terbuka sambil turut serta dalam permainan dan pertandingan yang dianjurkan setiap gerai dan ruang pameran.