Halaman

15 February 2011

MB minta rakyat kukuh perpaduan

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Dato' Seri Ahmad bersama exco dan pegawai kanan kerajaan negeri mengetuai perarakan Maulidur Rasul dari Dataran Shahbandar ke Stadium Negeri. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk negeri ini mengambil kesempatan sambutan Maulidul Rasul tahun ini dengan mengukuhkan perpaduan dan mengembeleng tenaga bagi membantu kerajaan membangunkan negeri ini dalam pelbagai aspek, terutama pendidikan.

Beliau berkata, tidak ada gunanya rakyat berselisih faham dan bercakaran sesama sendiri sedangkan pentadbiran negeri menjadi lemah dan tidak berupaya melaksanakan pelbagai program dan projek yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.



“Saya mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua rakyat Terengganu. Marilah kita sama-sama menyambut hari kebesaran yang bertemakan 1Malaysia 1Ummah ini dengan penuh tawadhu’ dan kesyukuran dengan merapatkan hubungan silaturahim sesama kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul Tahun 1432 Hijrah peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu pagi ini.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar mengetuai perarakan yang turut disertai penjawat awam, wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Turut sama menyertai perarakan itu ialah Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Seri Laksamana Raja.



Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Penasihat Undang-Undang Negeri, Encik Noorbahri Baharudin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan turut menyertai perarakan yang bermula dari dataran Shah Bandar hingga ke Stadium Negeri.

Orang ramai turut membanjiri jalan raya sekitar Jalan Sultan Zainal Abidin menuju ke Bulatan Ladang, bagi menyaksikan perarakan tersebut.

TEGANUKITA