Halaman

17 February 2011

Ukom edar 1,000 VCD wacana ilmu

Oleh: Suriati Ali

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) dengan kerjasama Biro Penerangan Badan Perhubungan UMNO akan mengedarkan kira-kira 1,000 cakera padat video (VCD) Wacana Ilmu secara percuma kepada rakyat Terengganu, mulai awal Mac ini.

VCD berkenaa mampu menangkis segala tohmahan dan dakwaan pihak pembangkang yang gemar menyatakan segala perubahan dan pembangunan dilaksanakan kerajaan membazir dan merugikan wang rakyat.

Ukom mengharapkan usaha yang dilaksanakan ini mencapai hasrat yang sepatutnya dan rakyat tidak lagi berpihak kepada pembangkang yang sememangnya gemar menidakkan apa yang dilakukan kerajaan walaupun menyedari semua itu adalah untuk kebaikan bersama.

Kandungan VCD hampir 1 jam itu menampilkan dua ahli panel berpengalaman iaitu YB Haji Muhammad Ramli Nuh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tepoh.

Manakala seorang lagi ahli panel, Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong yang mempunyai pengalaman luas di bidang politik dan pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.

Antara isi kandungan wacana itu, YB Haji Muhammad Ramli berkata, perjuangan Umno cukup mulia kerana apa yang dilaksanakan kerajaan semata-mata untuk rakyat, bangsa dan negara dan bukannya untuk kepentingan diri.

“Umno tidak pernah mengkhianati apatah lagi menganiaya rakyat, dakwaan yang dilemparkan Pas hanya untuk kepentingan parti mereka sahaja, tiada motif lain.

“Sebagai rakyat yang dianugerahkan Allah akal fikiran yang waras, kita perlu bijak berfikir dan jangan mudah terperdaya cakap-cakap kosong pihak pembangkang,” ujarnya.

Sementara itu, Haji Shamsudin berkata, Pas tetap Pas kerana parti itu tidak boleh menerima sebarang hakikat mengenai kebaikan dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan.

“Apa yang kita kesalkan walaupun mereka sedar, setiap perubahan sama ada berkaitan pendidikan, pembangunan dan infrastuktur yang diusahakan, adalah untuk kepentingan bersama.

“Sebagai contoh, dari dulu lagi mereka tidak boleh menerima hakikat setiap apa yang dilaksanakan. jika kerajaan membina jalan raya, jambatan, sekolah, masjid dan mewujudkan pelbagai program keagamaan sekalipun, mereka tetap akan kritik dan meracuni fikiran rakyat,” katanya.

TEGANUKITA