Halaman

14 February 2011

LKIM Pulau Kambing bakal dinaiktaraf

Oleh: Suriati Ali

Kompleks pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pulau Kambing, Kuala Terengganu akan dinaiktaraf sejajar dengan kemajuan Bandaraya Kuala Terengganu yang kini semakin pesat membangun dan menjadi tumpuan pelancong.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Asha’ari Idris, berkata kerajaan negeri bersetuju menaiktaraf kompleks itu dengan menyusun kembali sistem pendaratan dan kaedah pengagihan ikan supaya lebih kemas dan teratur.



Katanya, berdasarkan tinjauan yang dijalankan sebelum ini, kaedah asal yang dilaksanakan pihak berkaitan di kawasan itu kurang sesuai dan tidak sistematik manakala kebersihannya pula terutama berkaitan pengaliran air cukup menyedihkan.

“Oleh itu, imej LKIM Pulau Kambing perlu diperbaiki segera, sesuai dengan pembangunan di sekitarnya iaitu Pulau Warisan serta Taman Rekreasi dan Waterfront Pulau Kambing.

“Tambahan pula, pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) kini giat memperkenalkan pakej menyelusuri sungai Terengganu dengan menaiki perkhidmatan `river cruise’. Melalui pakej itu, kawasan perairan LKIM Pulau Kambing turut diselusuri,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Menurutnya, kos penyelenggaraan dan kaedah yang bakal dilaksanakan di kompleks itu masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Dia akan mengenakan syarat dan peraturan baru apabila komplek itu siap kelak, di mana orang ramai dan peruncit tidak dibenarkan membeli ikan di LKIM itu lagi seperti sebelum ini.

“Hanya pemborong dan ahli persatuan berdaftar sahaja dibenarkan masuk ke kawasan itu sama ada untuk membeli atau pelbagai urusan lain,” katanya.

Haji Asha’ari, berkata peraturan itu terpaksa diperketatkan bagi mengelak kecurian dan kesesakan terutama ketika nelayan ingin mendaratkan ikan.


TEGANUKITA