Halaman

17 February 2011

Umno Sasar KPI 60 Peratus Daftar Pemilih Menjelang PRU 13

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Terengganu menetapkan sasaran Kunci Penunjuk Prestasi (KPI) sebanyak 60 peratus ahlinya di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Sehubungan itu, semua wakil rakyat dan Pegawai Penyelaras DUN di 32 DUN seluruh Terengganu digesa berkerja keras untuk mencari ahli parti itu dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih sekaligus mencapai KPI yang ditetapkan pucuk pimpinan negeri.

Bagaimanapun, DUN Chukai, Sura dan Jertih KPI yang ditetapkan adalah 50 peratus memandangkan tiga DUN berkenaan ramai di kalangan penduduknya di kalangan masyarakat Tiong Hua.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sasaran itu relevan dan mampu dicapai berdasarkan pencapaian semasa dan pengalaman yang pernah dilalui beliau sendiri yang mengetuai DUN Kijal.

“Semasa di Kijal dulu sebelum buat pemutihan 58 peratus (mendaftar pemilih) , selepas pemutihan tinggal 52 peratus dan hanya berbaki lapan peratus lagi untuk mencapai (KPI), yang mana usaha ke arah itu perlu dibuat sepanjang masa.

“Usaha itu boleh dicapai dengan kesungguhan dan gerakan melalui program seperti Seribu Mawar yang dianjurkan Puteri UMNO serta (program) remaja bermotosikal dan pada masa yang sama mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO dan pengundi kita,” katanya pada sidang media selepas program Mesra Veteran Bersama pemimpin, Jasamu Dikenang, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Menteri Besar juga menggesa supaya semakan dijalankan terhadap setiap ahli UMNO termasuk ahli yang aktif berjuang untuk UMNO sama ada keluarga, terutama isteri dan anak-anak mereka sudah mendaftar sebagai pemilih dan jika belum mereka perlu didaftarkan segera.

Katanya, jika ketua keluarga aktif dalam parti tetapi tidak mendaftarkan ahli keluarga sebagai pemilih, ia merugikan parti dan kerajaan, terutama apabila setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau sudah mengarahkan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu supaya mengemaskini semula rekod pendaftar pemilih di setiap DUN untuk peringkat kedua.

Katanya, pada peringkat pertama, hasil yang diperolehi amat baik apabila APMT berjaya mengemaskini keahlian UMNO dan terdapat pertambahan pemilih sehingga 14,000 orang.


TEGANUKITA