Halaman

15 February 2011

Kerajaan Mahu Jumpa Pengusaha Limau Madu Lembah Sitrus

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Ashaari melihat mesin mengred buah limau yang tidak digunakan lagi ketika melawat Lembah Sitrus Durian Mentangau. - Gambar Syed Abdul Rahman.

Kerajaan negeri akan menentukan kedudukan Lembah Sitrus di Durian Mentangau, Dungun, selepas mendengar pandangan pengusaha tanaman tersebut mengenai masalah yang mereka hadapi, bagi memastikan keputusan yang terbaik dapat diambil dan memuaskan hati semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris, berkata pihaknya prihatin terhadap nasib yang dialami lapan pengusaha limau madu di kawasan itu yang dikatakan mengalami kerugian besar disebabkan serangan penyakit.



“Kebanyakan pengusaha tidak mahu meneruskan tanaman limau dan mereka lebih berminat untuk menanam kelapas sawit kerana harga komoditi ini tinggi di pasaran dan kurang risiko berbanding limau madu.

“Bagaimanapun, cadangan ini bertentangan dengan dasar kerajaan negeri yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai Lembah Sitrus. Manakala syarat tanah kawasan ini hanya boleh ditanam dengan limau madu kerana ia diwartakan sebagai kawasan limau madu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan berkenaan kelmarin.

Sebelum ini kerajaan negeri memutuskan kawasan seluas 1,500 hektar di Durian Mentangau ini dijadikan kawasan tanaman limau madu secara besar-besaran di mana lapan syarikat masing-masing diserahkan 50 hektar untuk memajukannya dengan tanaman tersebut.

Selepas serangan penyakit beberapa tahun lalu, pengusaha berkenaan dikatakan keberatan untuk meneruskan tanaman tersebut kerana bimbang risiko penyakit dan mereka lebih cenderung menggantikan tanaman itu dengan kelapa sawit.



Bagaimanapun, ia bertentangan dengan syarat penggunaan tanah yang ditetapkan kerajaan negeri dan mereka merayu kerajaan supaya membuat keputusan segera bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

“Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha-pengusaha tanaman ini dalam masa terdekat ini bagi meninjau pandangan mereka. Selepas itu, kita akan membuat keputusan sama ada meneruskan tanaman ini dengan kaedah lain atau membenarkan mereka menanam kelapa sawit,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan pandangan pelbagai agensi seperti Mardi, Jabatan Pertanian dan Fama, sebelum membuat keputusan berhubung masa depan Lembah Sitrus itu.

TEGANUKITA