“Saya bekerja dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), gaji bulanan dan segala berkaitan dengan tugas saya BN yang bayar, jadi saya ingin sampaikan pesanan penaja, iaitu bila datang pilihanraya undilah BN,”.
Gurauan terselit ketegasan - itulah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, setiap kali beliau ucapkan kata-kata sedemikian sering disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin dalam sesuatu majlis menunjukkan kepimpinan Dato’ Seri Ahmad diterima rakyat.
Tegasnya, setiap pelaburan tentu ada keuntungan atau pulangan yang diharapkan dan begitu juga dengan kerajaan negeri yang mengeluarkan belanja besar dalam bidang pendidikan supaya anak bangsa menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara.
“Kita tidak minta mereka buat kerja berat, apatah lagi pikul balak atau pikul senjata pergi berperang, tetapi minta tolong satu iaitu ‘undi’ saja untuk mengekalkan kerajaan yang ada pada hari ini agar dapat meneruskan perjuangan membela rakyat,” katanya di majlis Penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun 5, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, Kuala Nerus, petang semalam.
“Saya ingin melihat anak Terengganu mendahului negeri lain dalam pencapaian pendidikan dan IT sebab itu kerajaan sanggup berbelanja besar menyediakan e-Book agar anak nelayan, petani dan penternak dapat guna IT dalam pelajaran mereka,” katanya.
Katanya, kalau kerajaan tidak berbuat demikian mungkin anak-anak golongan ini sampai bila pun tidak akan merasa untuk menggunakan e-Book kerana tidak mampu.
Dalam majlis berkenaan 343 orang pelajar Tahun 5, menerima e-Book daripada Menteri Besar termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong (71), SK Bukit Tumboh (87) dan SK Bukit Tunggal (185).
Sehingga tahun lepas 46,000 telah berjaya diagihkan kepada pelajar Tahun 5 dan 6 dan tahun ini dijangka 45,000 e-Book lagi akan diagihkan kepada pelajar Tahun 4 dan 5.
TEGANUKITA