Halaman

14 February 2011

TADC hasil tisu kultur berkualiti tinggi

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) melalui anak syarikatnya, Terengganu Agrobio Research Sdn Bhd mengorak langkah lebih awal dengan menghasilkan tisu kultur yang dapat menghasilkan anak pokok berkualiti tinggi dan seragam.

Pengerusi Eksekutif TADC, Encik Razali Idris, berkata program itu menggunakan pendekatan bioteknologi untuk meningkatkan pengeluaran benih tumbuhan yang diharap menjadi pemangkin pembangunan perusahaan pertanian.

Katanya, projek berimpak tinggi itu ditempatkan di Ajil, Hulu Terengganu, amat sesuai digunakan secara komersial dan boleh dipasarkan secara lebih meluas.

“Pelbagai kebaikan tisu kultur ini termasuk dapat menghasilkan bahan tanaman sama seperti induk, mampu memulihara germplasma tumbuhan yang sukar didapati, boleh dihasilkan sepanjang tahun dan menghasilkan anak pokok yang bebas virus serta penyakit setelah ketulenannya disahihkan,” katanya.

Menurutnya, istimewanya, sumber anak benih boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan tidak memerlukan kaedah pensenyawaan atau kacukan serta mudah dieksport ke luar negara.

“Kajian ini sedang dibuat terhadap beberapa anak benih seperti kelapa sawit, pisang dan nenas. Memandangkan permintaan terhadap anak pisang Jelai Berangan lebih tinggi, TADC memberi tumpuan terhadap tumbuhan itu terlebih dahulu.

“Sasaran kita bagi tahun ini sahaja dapat mengeluarkan 200,000 anak pisang jenis itu dan bakal ditanam di kawasan seluas 100 hektar di Pelong, Setiu. Manakala tahun 2012 pula, TADC menjangkakan dapat menghasilkan 60,000 anak pokok dalam tempoh sebulan,” katanya.

TEGANUKITA