Halaman

16 February 2011

Kerajaan Cari Alternatif Ganti Limau Madu

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Kawasan tanaman limau madu di Lembah Sitrus di Durian Mentangau, Dungun.

Kerajaan negeri akan mencari alternatif lain bagi menggantikan tanaman limau madu di Lembah Sitrus di Durian Mentangau, Dungun, bagi memastikan kawasan tersebut tetap digunakan untuk tujuan pertanian.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, buat masa ini kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengubah syarat tanah di kawasan tersebut bagi tujuan lain selain daripada pertanian.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut dengan pelbagai pihak akan diadakan bagi menentukan tanaman paling sesuai di kawasan itu, termasuk mengurangkan risiko yang dihadapi pengusaha.

Mengulas rungutan pengusaha tanaman limau di kawasan tersebut, Menteri Besar berkata, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggantikan tanaman madu dengan komoditi lain, termasuk kelapa sawit kerana ia bertentangan dengan syarat tanah di situ.

Mengikut laporan Teganukita sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris, berkata pihaknya prihatin terhadap nasib yang dialami lapan pengusaha limau madu di kawasan itu yang dikatakan mengalami kerugian besar disebabkan serangan penyakit.



“Kebanyakan pengusaha tidak mahu meneruskan tanaman limau dan mereka lebih berminat untuk menanam kelapas sawit kerana harga komoditi ini tinggi di pasaran dan kurang risiko berbanding limau madu.

“Bagaimanapun, cadangan ini bertentangan dengan dasar kerajaan negeri yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai Lembah Sitrus. Manakala syarat tanah kawasan ini hanya boleh ditanam dengan limau madu kerana ia diwartakan sebagai kawasan limau madu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan berkenaan kelmarin.

Sebelum ini kerajaan negeri memutuskan kawasan seluas 1,500 hektar di Durian Mentangau ini dijadikan kawasan tanaman limau madu secara besar-besaran di mana lapan syarikat masing-masing diserahkan 50 hektar untuk memajukannya dengan tanaman tersebut.

Selepas serangan penyakit beberapa tahun lalu, pengusaha berkenaan dikatakan keberatan untuk meneruskan tanaman tersebut kerana bimbang risiko penyakit dan mereka lebih cenderung menggantikan tanaman itu dengan kelapa sawit.

Menteri Besar berkata, pihaknya menyedari masalah yang dihadapi pengusaha tanaman limau madu di kawasan tersebut dan kajian mengenainya akan dilakukan segera oleh pihak berkenaan.

TEGANUKITA