Usaha mempertingkatkan kecemerlangan pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dapat diterjemahkan sepenuhnya tidak lama lagi apabila Pihak Berkuasa Tempatan itu bakal membina bangunan sendiri setinggi 23 tingkat bernilai RM80 juta, di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, akhir tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata bangunan yang akan dibina di kawasan seluas dua hektar sebagai mercu tanda bandar Kuala Terengganu dijangka siap dua tahun lagi.
“Apabila siap kelak, semua unit MBKT yang sesetengahnya pada masa ini menyewa di bangunan lain, akan ditempatkan di bawah satu bumbung,” katanya selepas menghadiri majlis hari bertemu pelanggan bersama pemimpin masyarakat Tiong Hua, semalam (12 Februari).
Selain itu, Dato’ Adzlan berkata, pada tahun ini MBKT menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM60 juta dan berharap sasaran itu akan tercapai berikutan MBKT akan mengekalkan taksiran cukai pintu dan taksiran cukai harga tanah yang semakin meningkat di bandar ini.
Pada masa yang sama, sebuah perhentian bas juga akan dibina di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu memandangkan perhentian bas MBKT di Jalan Jail sudah tidak sesuai dan tempat itu akan dijadikan medan letak kereta.