Halaman

14 February 2011

Pameran 1 Asean, 1 Jalinan

Oleh: Aida Abd Rahman

Keunikan, keindahan dalam kepelbagaian tekstil hasil masyarakat Melayu sedikit masa lalu terserlah menerusi tenunan songket, limar, sutera telepuk, batik dan pelangi yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Melalui teknik penghasilan yang berbagai seperti tenunan, ikat celup, lukis dan terap yang bersesuaian dengan peredaran zaman mengandungi pelbagai maksud dan falsafah yang tersirat dalam penghasilannya.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah, berkata nilai estetika pada tekstil tempatan sememangnya diakui oleh negara jiran yang turut sama berkongsi pengalaman dan proses penciptaan yang mempunyai pertalian secara langsung.

“Oleh kerana jalinan ini begitu jelas terpancar menerusi karya tekstil yang dihasilkan di negara Asean, maka Pameran 1 Asean, 1 Jalinan merangkumi gabungan koleksi tempatan dan negara Asean lain dipamerkan dalam satu galeri.

“Terdapat sekurang-kurangnya 100 koleksi dipamerkan bagi tatapan umum bagi menjelaskan keunikan, keindahan dan kepelbagaiannya,” katanya dalam satu hebahan media kepada Teganukita, hari ini (14 Februari).

Pameran ini menjadi wadah dalam penyaluran maklumat pada masyarakat menyelami pemikiran dan kreativiti serta menghargai keunikan dan keindahan warisan dari pelbagai negara.

Pameran 1 Asean, 1 Jalinan dijadualkan bermula dari 15 Mac hingga 30 Jun 2011 bertempat di Galeri Teksil & Foyer Muzium Negeri Terengganu. Ia diadakan dengan kerjasama Terengganu Institute Of Design Exxellence (TIDE).

Haji Mohd Yusof berkata, objektif pameran adalah memperlihatkan keunikan tekstil warisan tempatan dan negara Asean kepada masyarakat, mendidik generasi muda agar menghargai warisan tempatan dan luar selain memberi peluang kepada generasi menghayati dan membaca pemikiran masyarakat dahulu kala.

Acara sampingan yang bakal diadakan ialah pertunjukan fesyen, demonstrasi tenunan songket, ikat pelangi, ikat limar dan celuk benang , bergerus, mencating batik, batik blok, cara memakai kain serta membuat cop batik.

Katanya, pameran yang menyasarkan pengunjung di kalangan penyelidik tempatan dan antarabngsa, pelajar institut pengajian tinggi, peminat dan pencinta seni budaya, pelajar sekolah, orang awam serta jabatan kerajaan dan bukan kerajan (NGO) turut diadakan bengkel serta jualan produk seperti songket, batik, sutera dan kraf.