Pemandu teksi, pengusaha restoran dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung dengan pelancong perlu menghentikan tabiat gemar mengenakan bayaran melampau kepada golongan itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, tabiat buruk ini bukan hanya boleh merugikan dan mencemar pemilik teksi atau pengusaha makanan itu sendiri malah membawa kerugikan besar terhadap industri pelancongan Terengganu.
“Selain itu, ia akan membawa tanggapan negatif dan persepsi buruk pelawat kepada negeri, akhirnya pelawat tidak lagi suka berkunjung ke Terengganu walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri.
“Maka, timbullan sikap salah menyalah dan tuding menuding yang akhirnya pihak kerajaan juga akan dipersalahkan, kononnya tidak menjalankan usaha untuk menarik pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Kalendar Aktiviti, di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, petang ini.
Kira-kira 12 aktiviti bakal pihak pengurusan muzium sepanjang 2011, iaitu Pameran Picture + Word = Book; Pertandingan Mewarna Warisan Kita; Rampai Budaya Pameran 1 Asean 1 Jalinan serta Pertandingan Keris dan Pasar Antik.
Manakala enam lagi adalah Pameran 1 Malaysia Contemporary Art Tourism; Lumba Jelajah Muzium; Program Aidilfitri; Pameran dan Seminar Arkeologi Terengganu; Pertandingan Permainan Tradisional dan Pertandingan Gamelan Kebangsaan.
Dato’ Haji Mazlan, berkata aktiviti yang dirangka pada tahun ini, dirancang dengan lebih teliti, ia mengambil kira aspek pembelajaran, hiburan dan ilmiah.
“Pendekatan ini mampu menambat hati pelbagai golongan termasuk kanak-kanak, pelajar, remaja, dewasa dan warga emas.
“Saya percaya dan yakin, bahawa pelawat yang berkunjung ke muzium akan terhibur menikmati segala program yang dirancang,” katanya.
TEGANUKITA