Halaman

14 February 2011

Pameran Khurafat

Oleh: Shahrir Hamid


Antara bahan mistik yang akan dipamerkan A - Anak kerak dari Thailand, B - Batu bergerak, dan; C - Keris Terapung Di Udara

Rakyat Terengganu boleh mengenali serta mendekati alam mistik lebih dekat apabila Dynasty Event Sdn Bhd akan mengadakan pameran umum buat julung kali berasaskan unsur-unsur mistik bertemakan 'Masyarakat Berakidah' di Dataran Syahbandar di sini pada bulan April hingga Jun 2011.

Pameran pertama seumpamanya di Terengganu dan Malaysia dalam konteks status sebuah pameran barangan mistik yang paling besar dan ajaib mampu meletakkan Terengganu pada satu tahap baru dalam penganjuran pameran gergasi serantau dan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Pengarah Eksekutif Dynasty Event, Ahmad Ikhwan Mohamad, berkata pameran itu; bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan secara literatur kepada masyarakat terutama generasi muda supaya mereka tidak terkeliru dengan unsur-unsur mistik dan khurafat, di samping meletakkan Terengganu sebagai destinasi tumpuan Pantai Timur.

"Walaupun dunia semakin moden, masyarakat pada hari ini masih lagi mengamalkan amalan tidak sihat seperti upacara pemujaan, tarik duit dan pelbagai lagi. Amalan sebegini mengundang perantaraan antara manusia dengan makhluk halus seterusnya menghalalkan syirik,"katanya kepada wartawan unit komunikasi negeri.

Beliau berkata,berbekalkan pengalaman luas dalam pengurusan acara, Dynasty Event mengambil langkah proaktif dalam usaha mengisi pengetahuan masyarakat Islam terutamanya berkaitan alam mistik bagi mengelakkan akidah mereka terpesong kerana terlalu percaya serta taksub dengan perkara mistik yang berleluasa dewasa ini.

Katanya, barang-barang atau komponen pameran adalah benda-benda yang berkait dengan unsur mistik ,khurafat dan khayal sesuai dengan tajuk dan rasional pameran itu.

" Komponen material pameran adalah dalam bentuk yang benar serta asli dalam rangka usia kita mengisi minda pengunjung berkait tajuk pameran itu," katanya.

Ahmad Ikhwan berkata, pengunjung berpeluang melihat secara dekat lebih 130 barangan mistik dari serata pelusuk dunia seperti anak kerak, Jenglot, keris terapung, batu bergerak, jin dalam botol, toyol dan banyak lagi pada pameran yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, fenomena baru akan terletus pada pameran yang mendapat usahasama daripada syarikat minyak gergasi Malaysia, Petronas serta beberapa anak syarikat kerajaan negeri sebagai medan informasi intelektual berkesan dalam rangka usaha mendidik masyarakat agar peka dengan persekitaran.

Katanya,pameran tiga bulan itu mampu dijadikan penanda aras bagi penganjur serta syarikat luar agar lebih berkeyakinan menganjurkan majlis seumpamanya selaras dengan usaha kerajaan negeri merealisasikan Terengganu negeri anjung ilmu.

TEGANUKITA