Halaman

04 March 2011

Lawatan Serampang Dua Mata

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Abdul Razif Abdul Rahman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Langkah Kerajaan Terengganu menghantar guru-guru melawat ke luar negara sebagai insentif kejayaan sekolah masing-masing mengukir kejayaan dalam pelbagai peperiksaan awam, bukan setakat lawatan untuk tujuan berseronok sahaja.

Sebaliknya, guru-guru tersebut akan dibawa melawat ke sekolah-sekolah yang telah menempa kejayaan di negara yang dilawati, bagi menimba pengetahuan dan pengalaman untuk kebaikan pelajar masing-masing, selepas pulang ke tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Abdul Razif Abdul Rahman, berkata lawatan sambil belajar yang dianjurkan kerajaan neegri itu merupakan langkah ‘serampang dua mata’ yang bertujuan membawa mereka melancong dan menuntut ilmu.

“Kita bawa guru-guru melawat ke luar negara sebagai insentif atas kejayaan mereka mendidik para pelajar dan pada masa yang sama mereka berpeluang mempelajari teknik mengajar yang diamalkan pendidik di negara-negara maju,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengumumkan memandangkan Terengganu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan STPM, kerajaan negeri akan menghantar 30 guru besar atau penolong kanan dari sekolah yang ada pelajar mengambil peperiksaan itu ke luar negara, sebagai hadiah galakan.

Beliau berkata, 50 guru besar dan penolong kanan dari sekolah yang mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) tahun lepas juga akan dihantar ke luar negara.



Setakat ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghantar 110 guru besar atau penolong kanan ke luar negara kerana kecemerlangan pelajaran.

Kerajaan negeri menghantar guru besar dan pengetua dari sekolah yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM dua tahun lalu, bagi menghargai jasa-jasa mereka membantu meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.

Menteri Besar berkata, jika Terengganu mengekalkan tempat pertama bagi keputusan SPM yang akan diumumkan dua hari lagi, 30 guru lagi akan dihantar ke luar negara, menjadikan jumlahnya 140 orang.

YB Haji Abdul Razif berkata, setakat ini negara yang bakal dilawati masih belum diputuskan dan ia mungkin diumumkan Menteri Besar tidak lama lagi.



Warga SKPB berterima kasih kepada kerajaan Terengganu

Oleh: Suriati Ali


GEMBIRA...YAB Menteri Besar melihat pelajar mendapat manfaat e-book.

Warga Sekolah Kebangasaan Paya Bunga (SKPB), Kuala Terengganu menyatakan rasa bertuah dan beruntung kerana kerajaan Terengganu memperkasakan sekolah itu sebagai Elit Bandaraya dengan melaksanakan pelbagai pembaharuan dari segi pengisian dan fasiliti pembelajaran.

Terbaru, SKPB menjadi sekolah pertama diberi kemudahan kelas maya membabitkan kos RM90,000 sebagai menambah nilai e-Book milik pelajar.

Guru Besar SKPB, Puan Rohaya Ibrahim berkata, warga sekolah terutama pelajar bersyukur dan berterima kasih terhadap keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa cakna dan peka dalam semua aspek pendidikan.

Katanya, apabila SKPB dipilih untuk diperkasakan sebagai Sekolah Elit Bandaraya dengan memiliki kemudahan pembelajaran moden iaitu skrin sesentuh, secara tidak langsung membuka mata pelbagai terutama ibu bapa.

“Sebelum ini, mereka hanya memandang sepi terhadap SKPB walaupun terletak di tengah-tengah bandar raya di mana hanya segelintir ibu bapa saja yang berminat menghantar anak-anak masing-masing.

“Saya percaya, dengan adanya kelas maya ini, peratusan bilangan pelajar akan bertambah di tahun seterusnya dan kecemerlangan pelajar juga akan meningkat,” katanya kepada pemberita Teganukita.

Puan Rohaya berkata, walaupun SKPB kini mempunyai 102 pelajar dengan enam buah kelas dan 15 guru, pihak kami berusaha mencapai kecemerlangan seperti yang diharapkan pemimpin dan kerajaan Terengganu.

“Lebih membanggakan dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 2010, SKBP turut mencatatkan kecemerlangan apabila seramai dua pelajar berjaya memperoleh 5A daripada jumlah 15 orang pelajar,” katanya.



Fama bakal buka tiga pasar tani baru

Oleh : Suriati Ali


Fama merancang membuka waktu perniagaan di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu selama tiga kali seminggu berbanding dua kali seminggu sebelum ini.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bakal membuka tiga cawangan pasar Tani Baru di daerah berasingan di Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh, berkata pasar tani itu akan ditubuhkan di Pulau Serai Dungun; Ajil Hulu Terengganu dan Bandar Chukai, Kemaman.

“Pasar Tani di Pulau Serai akan dibuka pertengahan bulan (Mac) ini, Ajil pada Mei manakala Bandar Chukai pula dijangkan beroperasi hujung April ini.

“Penambahan pasar tani bukan saja dapat membantu usahawan meningkatkan hasil jualan malah membantu petani menambah pendapatan masing-masing,” katanya.

Katanya, seramai 240 usahawan berdaftar di negeri ini aktif menjalankan perniagaan di setiap cawangan yang ditetapkan dan tidak ketinggalan menyertai ekspo anjuran pihak kami di pelbagai lokasi.

“Langkah ini mampu memperkenalkan produk usahawan kecil dan petani secara terus kepada masayarakat setempat.

“Sekiranya, pihak kami mendapati terdapat produk bermutu dan berpotensi tinggi yang mampu mendapat pemintaan pelanggan luar negara, produk itu akan dibuat penjenamaan semula dengan melabelkan sebagai Agro Mas,” katanya.

Fama turut merancang membuka waktu perniagaan di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu selama tiga kali seminggu berbanding dua kali seminggu sebelum ini.



Masjid Sultan tarikan terbaru TTI

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Masjid Sultan Singapura

Taman Tamadun Islam (TTI) yang merupakan salah satu daripada daya penarik utama pelancong ke Terengganu, bakal menonjolkan monumennya ke-22 kepada para pelawat, pertengahan tahun ini.

Monumen Masjid Sultan di Singapura yang kini sedang dalam pembinaan, dijangka siap sepenuhnya Jun depan dan dijangka mula dibuka kepada pengunjung tidak berapa lama selepas itu.

Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman, berkata pembinaan monumen berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa kedua pembangunan yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6 juta.

Beliau berkata, langkah pembinaan monumen masjid itu sebagai menghargai permintaan pelawat dari Singapura yang mencadangkan agar replika masjid dari negara itu turut ditempatkan di TTI yang menempatkan replika pelbagai bangunan bercirikan seni bina Islam yang tersohor di seluruh dunia.


TTI turut menaiktaraf monumen Masjidil Haram di mana dewan teaternya dilengkapi dengan kecanggihan tiga dimensi (3D) yang dikenali sebagai Virtual Haji. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Dalam perkembangan lain, TTI turut menaiktaraf monumen Masjidil Haram di mana dewan teaternya dilengkapi dengan kecanggihan tiga dimensi (3D) yang dikenali sebagai Virtual Haji.

Apabila projek itu siap kelak, pengunjung yang memasuki monumen Masjidil Haram berpeluang merasai suasana dan pengalaman seperti dirasai jemaah haji di Tanah Suci.
Kini TTI menempatkan 21 replika monumen termasuk Masjid Negara, Dome of The Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), al-Hambra Citadel (Sepanyol), Taj Mahal (India), Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Sammara dan Masjid Mohd Ali (Kaherah).

Monumen lain ialah Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Rusia) dan Mimbar Xian (China).



03 March 2011

MBNT puji sikap prihatin kerajaan negeri

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) memuji sikap prihatin Kerajaan Negeri untuk menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik pelajar ke Mesir, termasuk mereka yang menuntut di negara itu secara persendirian.

Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata langkah itu jelas menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap pelajar di mana bidang pendidikan sentiasa diberi keutamaan dalam apa jua keadaan.

“Para pelajar dan keluarga perlu bersyukur dengan keputusan kerajaan itu dan berterima kasih kepada pemimpin kerajaan yang sentiasa memberi bantuan sejak mereka mula memasuki pusat pengajian hingga tamat belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan untuk membiayai kos penerbangan balik pelajar ke Mesir di mana Kerajaan Negeri turut berurusan dengan MAS untuk menyediakan penerbangan terus dari Terengganu ke Kaherah, bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di universiti masing-masing, secepat mungkin.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said mengumumkan bahawa mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) semalam memutuskan untuk membiayai kos penerbangan balik semua pelajar dari Terengganu yang pulang ke negeri ini bulan lalu, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

Seramai 621 pelajar yang balik dari Mesir mendaftar dengan kerajaan negeri, termasuk 308 orang yang menuntut di negara berkenaan secara persendirian.

Encik Mat Yusof berkata, pihaknya turut berharap para pelajar yang akan meneruskan pelajaran mereka di negara berkenaan menumpukan perhatian kepada pembelajaran mereka dan mengelak daripada terjebak dalam kegiatan anti-kerajaan.

“Kita mendapat maklumat ada pelajar yang terlibat secara langsung dalam kegiatan anti-kerajaan ketika menuntut di luar negara kerana terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba merosakkan imej pemimpin negara.

“MBNT bimbang jika para pelajar terlibat dengan kegiatan politik yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab ini, mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran dan akhirnya gagal menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata, jika itu berlaku bukan saja keluarga pelajar yang kecewa, tetapi pemimpin kerajaan turut kecewa kerana hasrat mereka mewujudkan golongan pemimpin pelapis tidak tercapai.



UMT Mantapkan Jaringan Antarabangsa

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berusaha memantapkan jaringan antarabangsanya dengan mensasarkan pertambahan pelajar asing ke institusi pengajian itu sebanyak lima peratus pada 2015 berbanding hanya dua peratus kini.

Naib Canselornya, Prof Dr Aziz Deraman, berkata sasaran itu selaras dengan apa yang diamanatkan Kementerian Pengajian Tinggi yang mahu supaya lebih ramai pelajar asing menyambung pengajian di pusat pengajian awam di negara ini.
Katanya, sehingga kini, UMT memiliki 123 pelajar daripada 17 negara yang mengikuti pelbagai peringkat pengajian dan pengkhususan termasuk China, Kanada, United Kingdom, India dan Indonesia.

Prof Dr Aziz berkata, sebahagian daripada mereka mula memasuki UMT pada 2009 dan bakal menamatkan pengajian pada tahun depan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Malam Gala Antarabngsa (MGA) di Ri-Yaz Heritage Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu baru-baru ini.

“UMT sudah bekerjasama dengan lebih 20 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran di institusi pengajian kami.

“Ini termasuklah Universiti Bergen, Norway, Universiti carolina and East Carolina (USA), Universiti James Cook (Australia), Institut Alfred Wagener (Jerman) dan Universiti Selatan Brittany, Perancis,” katanya.

Selain lain termasuk Universiti Newcaste (United Kingdom), Universiti Air Langga dan Universiti Bung Hatta (indonesia) serta Universiti Kagoshima (Jepun).

Prof Dr Aziz pada majlis itu turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyumbang RM10,000 bagi menjayakan program yang julung kali diadakan oleh pihak UMT itu.

Beliau turut berbangga kerana program itu mampu menghimpunkan pelajar daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya, di mana mereka tetap boleh bergaul dan belajar dalam persekitaran pembelajaran yang baik dan selesa.




Sedia Bajet Besar Ganjaran Kejayaan Atlet

Oleh: Aida Abd Rahman


Ibu kepada Azizulhasni Awang menerima cek Insentif Skim Kemenangan (SHAKE) dan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) daripada YB Rozi Mamat diperhatikan Dato' Wan Ahamad. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu satu-satunya negeri yang menyediakan peruntukan paling besar setiap tahun sebagai ganjaran kepada atlet kelahiran negeri ini yang berjaya dalam pelbagai acara sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Terbaru, hampir RM100,000 diperuntukkan untuk Insentif Skim Kemenangan (SHAKE) dan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) kepada 18 atlet dalam acara lumba basikal, skuasy, hoki lelaki, hoki wanita, sepak takraw, ragbi dan angkat berat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pelbagai peruntukan dan ganjaran disediakan kepada atlet yang cemerlang dan berjaya memahat nama Terengganu di peringkat Asia serta dunia.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghargai jasa dan pengorbanan atlet dengan menyediakan insentif yang setimpal dengan kejayaan yang sudah dihasilkan. Malah, ia terbukti melalui pelbagai skim dan pengiktirafan yang disediakan kepada atlet sebaik sahaja mereka melakarkan kejayaan.

Dalam penyampaian insentif SHAKE dan SWARA itu, ikon sukan negara dalam acara berbasikal, Mohd Azizulhasni Awang penerima ganjaran tertinggi yang berjumlah RM15,000 masing-masing RM5,000 untuk pingat gangsa di sukan komanwel dan RM10,000 untuk emas yang dimenangi di peringkat Asia.

Sementara Mohd Nafiizwan Adnan, atlet skuasy memperolehi RM6,500 bagi insentif mewakili negara dalam sukan Komanwel (RM1,500) dan RM5,000 lagi kerana memenangi perak dalam sukan Asia.

Dua atlet hoki lelaki yang mewakili Malaysia dalam sukan Asia dan Komanwel, Faizal Saari dan Mohd Shahrun Nabil Abdullah pula masing-masing mendapat RM6,000, diikuti insentif RM5,000 masing-masing kepada tiga atlet sepak takraw yang mewakili Asia iaitu Mohamad Fadzli Muhammad Roslan, Muhamad Syazwan Husin dan Mohd Nasiruddin Manjur Ahmad yang memenangi perak.

Sementara atlet Hoki Wanita, Norhasikin Halim dan Rabiatul Adawiyah Mohamed pula masing-masing mendapat RM2,000.

Manakala Mohd Hariff Salleh serta Muhammad Adiq Husainie Othman (lumba basikal) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) masing-masing mendapat RM1,500.

Atlet angkat berat negara, Mohd Hafizh Zainal dan Mohd Hafeez Faesal A Aziz yang mewakili negara peringkat Asia pula masing-masing memperolehi RM 1,000.


Akram sedia 12,000 soalan sebulan

Oleh: Esah Abdullah

Guru-Guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) menyediakan 12,000 soalan sebulan bermula Januari lalu untuk semua pelajar yang menghadapi peperiksaan awam pada pertengahan dan hujung tahun ini.

“Fokus soalan tertumpu kepada subjek penting yang terdapat pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” kata Setiausaha Akram, Encik Nordin Ambak.

Guru Akram terbahagi kepada 12 bidang termasuk Matematik, Sains, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, ICT dan Perkomputeran, Pendidikan Islam, Kajian Kemasyarakatan, Teknik dan Vokasional, Penyelidikan, e- pantau dan Korikulum Rendah/Akram Rendah.

Ketika dihubungi Encik Nordin menjelaskan setiap soalan akan disemak oleh satu panel khas terdiri daripada Jawatankuasa Penilaian dianggotai 14 guru-guru pakar dan cemerlang yang dilantik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

“Melalui kerjasama dengan Top IT Sdn Bhd, soalan-soalan berkenaan akan diakses terus dengan menggunakan nombor identiti pelajar terbabit bagi tujuan latih tubi,” katanya.

Terdapat 800 guru Akram terpilih antara guru-guru cemerlang seluruh negeri dan bertanggungjawab menyediakan soalan untuk Program T-Skor dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadikan Negeri Anjung Ilmu.

Perjanjian usahasama antara Top It dan Akram sudah diikat pada 14 Februari lalu yang disaksikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Kerjasama dua hala itu akan meledakkan satu dimensi baru dalam dunia pendidikan negeri kerana Top IT mempunyai kepakaran dalam sistem maklumat dan kumpulan Akram menyumbang pengisiannya.






JPNT akan lupus MyKad tidak dituntut

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Terengganu akan melupuskan 2,000 MyKad yang tidak dituntut oleh orang ramai setelah diberi tempoh 18 bulan untuk berbuat demikian.

“Pemilik juga akan dikenakan denda RM40 sebagai penalti bagi kad pengenalan yang tidak dituntut mengikut Akta Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007,” kata Pengarahnya, Encik Ghazali @ Suhaimi Muhammad.

Katanya, perkara itu membabitkan MyKad yang tidak dituntut selepas dikeluarkan Oktober tahun lalu dan setelah diberi masa setahun setengah tetapi masihtidak dituntut, akan dilupuskan.

Menurutnya, selain MyKad, Mykid yang dikeluarkan secara percuma kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun atau sebaik mendaftar kelahiran bayi juga masih ada yang tidak dituntut ibu bapa masing-masing.

“Orang ramai yang hilang MyKad secara sengaja atau tidak sengaja juga akan dikenakan denda RM100 bagi kes pertama dan jika berulang sehingga tiga kali, pemiliknya bukan saja didenda malah akan disoal siasat JPNT,” katanya.




3,600 guru bakal terima komputer riba

Oleh: Suriati Ali


Seramai 4,400 guru di seluruh negeri akan menerima komputer riba selaras dengan hasrat kerajaan memperluaskan penggunaan peralatan teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah rendah seluruh negeri. - Gambar oleh Zulkipli Putra

Seramai 3,600 guru Tahun Enam sekolah rendah di negeri ini bakal menerima komputer riba secara berperingkat-peringkat, dalam tempoh terdekat ini.

Pengagihan itu adalah kesinambungan pemberian kemudahan itu di mana pada 14 Februari lalu 800 guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram), menerima kemudahan tersebut.

Pada tahun ini, seramai 4,400 guru di seluruh negeri akan menerima komputer riba selaras dengan hasrat kerajaan memperluaskan penggunaan peralatan teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah rendah seluruh negeri.

Komputer riba tersebut yang mengadungi pengisian sama dengan e-Book kini sedang dalam proses terakhir sebelum diserahkan kepada pemilik masing-masing.

Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Zubir Embong berkata, pemberian komputer riba kepada guru-guru terlibat adalah sumbangan cukup berharga daripada kerajaan negeri dan belum pernah dilakukan di negeri lain.

Katanya, JPNT dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengadakan majlis khas untuk pengagihan peralatan itu yang bakal diterima secara peringkat mengikut mata pelajaran.

“Guru mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Arab mungkin menjadi penerima pertama sebelum diikuti guru mata pelajaran lain termasuk Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Saya mengharapkan guru menerima komputer riba memanfaatkannya sebaik mungkin untuk kecemerlangan pelajar, sekolah dan nama baik Terengganu ,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, pemberian komputer ini juga sebagai hadiah kerana mampu mengekalkan kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut.

“Saya percaya, setiap guru yang menerima peralatan ini lebih bersemangat mencurahkan ilmu kepada anak didik masing-masing dalam usaha mengekalkan kedudukan dan lebih cemerlang pada tahun seterusnya,” katanya.