Halaman

05 March 2011

Dua Pegawai Kumpulan A Antara Kakitangan Diisytihar Muflis

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua kakitangan Kumpulan A dikesan antara tujuh kakitangan awam di negeri ini yang diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia akibat menjadi penjamin kepada peminjam yang gagal melunaskan hutang sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata kesemua kakitangan yang didapati muflis itu masih dibenarkan berkhidmat di sektor awam, bagaimanapun mereka tidak ditempatkan di bahagian berkaitan kewangan.
“Semua kakitangan termasuk dua pegawai berkenaan masih bekerja seperti biasa. Cuma mereka tidak ditugaskan berada di bahagian yang berkaitan dengan kewangan. Kalau tidak bekerja, mereka pasti sukar menjelaskan hutang berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini (5 Mac) .

Dato’ Mazlan menasihatkan kakitangan awam di negeri ini lebih bijak dan mengenali pihak yang mahu dijamin itu , supaya tidak timbul masalah terpaksa menanggung bebanan hutang dan disenaraihitamkan pihak kewangan kelak.

Katanya, mereka perlu betul-betul mengenali rapat dengan pihak peminjam dan tidak membuat keputusan sembarangan.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan supaya ketua jabatan di negeri ini lebih peka dan tidak meluluskan permohonan pinjaman kakitangan mereka dengan sewenang-wenangnya sahaja tanpa mengambil kira status pendapatan dan keupayaan kakitangan membayar balik pinjaman.

“Biasanya kita tidak benarkan kakitangan membuat pinjaman tidak lebih daripada 60 peratus pendapatan yang dibawa balik itu atau `take home pay’. Bagaimanapun, kita tidak menolak kebanyakan mereka menggunakan `kaedah lain’ bagi membolehkan mereka memperolehi pinjaman tertentu,” katanya lagi.

Katanya, kes kegagalan membayar pinjaman atau hutang di kalangan kakitangan awam di negeri ini tidak terlalu serius. Bagaimanapun, beliau tidak menolak banyak kes hutang menerusi kad kredit kerana kaedah itu tidak terikat dengan pelbagai syarat dan perjanjian, sebaliknya boleh memohon dengan mudah.








Cabutan MB Beri Tuah Kepada Azam

Oleh: Aida Abd Rahman


Ahmad Azam (kiri) ternyata bertuah apabila mendapat hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha LC 135 bernilai kira-kira RM6.300 pada Hari Keluarga Kelab WDI yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Tuah memihak kepada Ketua Pembantu Tadbir Kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) apabila mendapat hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha LC 135 bernilai kira-kira RM6,300 dalam acara cabutan bertuah sempena Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman 2010, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini (5 Mac).

Peserta bertuah itu, Ahmad Azam Hitam, 45, dari Kampung Hiliran Masjid, Kuala Terengganu yang pertama kali mendapat hadiah dalam acara cabutan bertuah sejak berkhidmat 21 tahun lalu di Pejabat SUK Negeri, tidak menduga dua nama terakhir yang dicabut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memihak kepadanya sebagai pemenang hadiah utama.
“Syukur Alhamdulillah. Pertama kali sejak lebih 20 tahun berkhidmat di Pejabat SUK rezeki memihak kepada saya pada tahun ini.

“Saya bercadang menggunakan motosikal pertama milik saya ini sebagai kenderaan untuk berulang alik ke tempat kerja,” katanya.

Menteri Besar meluangkan masa hampir sejam di majlis itu, berkesempatan mencabut dua nama terakhir yang bertuah serta menyampaikan hadiah berupa sofa dan motosikal sebelum bergegas bagi menyelesaikan urusan rasmi lain di pusat Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kerdau.

Menteri Besar dalam ucapan ringkasnya sebelum itu, berharap supaya majlis seumpama itu menjadi medan bagi mengeratkan hubungan di kalangan kakitangan serta pegawai kerajaan.

Hubungan yang baik itu katanya, diteruskan pula apabila berurusan dengan masyarakat luar dan memberi perkhidmatan terbaik supaya imej sektor awam sentiasa baik dan dihormati semua pihak.

“Ia juga selaras dengan konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , di mana rakyat diutamakan dan mereka akan berasa lebih selesa dalam apa jua aspek,” katanya.

Selain dua hadiah utama itu, lapan hadiah lain bagi `grand finale’ termasuk I-Pad, TV LCD, `set home theater’, kamera video, mesin basuh, peti sejuk dan Samsung Galaxy.
Kira-kira 3,000 kakitangan termasuk ahli keluarga masing-masing hadir ke majlis yang menyediakan lebih 300 hadiah cabutan bertuah itu.

Antara acara yang disediakan termasuk penyampaian hadiah kepada anak-anak kakitangan yang cemerlang dalam peperiksaan awam 2010, kakitangan yang akan pencen dan sukaneka untuk kanak-kanak mahupun dewasa seperti meniup belon hingga pecah dan mengupas bawang.

Pada malam sebelumnya diadakan pertandingan karaoke yang disertai lebih 30 kakitangan KWDI yang mewakili kelab masing-masing dan berjaya tampil dengan bakat serta gaya tersendiri.






Pekerti tinjau tempat menarik di Terengganu

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) membuat lawatan rasmi ke negeri ini selama tiga hari ( 4 hingga 6 Mac).

Rombongan seramai 40 orang terdiri ahli-ahli Pekerti diketuai Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin iaitu isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, merangkap Yang Dipertua Pekerti,

Semalam (Jumaat), Raja Datin Seri Salbiah dan rombongan diraikan dalam satu majlis makan malam bersama –sama To’ Puan Seri Norliza Mahmud, isteri Menteri Besar Terengganu merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) , di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.

Hari ini (Sabtu) ahli-ahli Pekerti dan Serikandi bertemu di gelanggang badminton dan bowling, mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Rombongan Pekerti turut dibawa ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan dibawa masuk ke Taman Monumen, Masjid Kristal serta menaiki River Cruise sambil menikmati keindahan Bandar Kuala Terengganu melalui jalan air.

Sesiapa saja yang berkunjung ke negeri ini tidak lengkap jika tidak singgah ke Pasar Payang untuk membeli batik, barangan kraf, barangan tembaga dan juga makanan tradisional seperti keropok lekor, semang, coklat nisan dan sebagainya.

Rombongan Pekerti akan berlegar di Pasar Payang sepanjang hari Ahad sebelum bertolak balik ke Negeri Sembilan pada sebelah petangnya.



Terengganu komited majukan sukan

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Azizulhasni dan Anuar dua mana yang menjulang nama negeri Terengganu dipersada dunia dalam lumba basikal. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kejayaan beberapa atlet kelahiran Terengganu seperti Azizulhasni Awang dan Anuar Manan mencipta nama di pentas antarabangsa, membuka mata banyak pihak, termasuk kerajaan negeri untuk membuat perancangan lebih besar bagi melahirkan lebih ramai atlet di masa depan.

Atlet berkenaan kini gah melonjakkan nama Terengganu di peringkat dunia dan mengharumkan nama negeri dan rakyat Terengganu dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai di bidang lumba basikal.

Kerajaan negeri sedar betapa sukan sudah menjadi penunjuk atau indeks kemajuan pembangunan sesebuah negara, selari dengan sektor lain. Bahkan, sebahagian besar negara Asia mengutamakan bidang sukan berbanding sektor lain, bagi menaikkan nama negara masing-masing di mata dunia.

Bidang sukan yang selama ini kurang diberi perhatian, amat wajar diberi keutamaan dengan penyediaan pelbagai program bagi melahirkan lebih ramai atlet dalam pelbagai bidang sukan.

Kerajaan negeri sedar pengiktirafan kejayaan dalam sukan mampu menjulang nama sesebuah negeri dan negara di mana atlet berkenaan berada.

Malah, mereka yang berjaya di bidang sukan bukan saja menjadi inspirasi kepada golongan remaja untuk mencebur diri dalam arena sukan dan menjauhi diri mereka daripada pelbagai gejala tidak sihat.

Mereka yang berjaya di bidang sukan akan menjadi ikon kepada golongan belia dan kerajaan negeri mengharapkan mereka akan menjadi perangsang kepada generasi muda untuk mencontohinya dan berusaha lebih gigih bagi menggapai kejayaan yang sama.

Sejajar dengan matlamat kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan yang tinggi, kerajaan negeri akan meningkatkan pembangunan sukan dengan menyediakan lebih banyak prasarana di bidang tersebut.

Selaras dengan dasar “Satu DUN Satu gelanggang Futsal”, pembinaan gelanggang futsal akan diteruskan pada tahun ini.

Kos pembinaan bagi setiap gelanggang adalah RM350,000 dan kerajaan berhasrat mahu menyediakan sekurang-kurangnya satu gelanggang bagi setiap DUN di negeri ini.

Pada tahun 2007 kerajaan negeri melaksanakan dasar “Satu Parlimen Satu Futsal” di mana RM1.2 juta sudah dibelan jakan bagi tujuan berkenaan.

Program “Terengganu City Night Games” pula diteruskan lagi bagi mewujudkan gaya hidup sihat golongan belia golongan belia serta mengoptimumkan penggunaan prasarana dan kemudahan yang terdapat di Kompleks Sukan Negeri.

Terengganu telah muncul juara SUKMA Terengganu 2008 apabila mengutip 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa. Kejayaan tersebut bukan saja diraikan dengan tangisan kegembiraan para atlet yang bertanding dalam kejohanan yang terulung di negara ini, tetapi disambut dengan kegembiraan seluruh rakyat Terengganu.

Kejayaan yang tidak diduga itu terus membakar semangat pemimpin kerajaan negeri untuk mempertahankan kejuaraan pada SUKMA Melaka 2010 dan ia berjaya dilakukan.

SYABAS TERENGGANU!



e-Book mampu tingkat kemampuan pelajar dalam ICT

Oleh: Suriati Ali



Dakwaan segelintir individu terutama pembangkang bahawa penggunaan e-Book di kalangan pelajar di Terengganu sebagai membazir dan merugikan wang rakyat adalah tidak berasas kerana program itu telah terbukti berjaya meningkat mutu dan pencapaian pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologin dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata e-Book merupakan usaha murni kerajaan negeri untuk meningkat taraf pendidikan pelajar di negeri ini.

“Mereka sewajarnya berterima kasih kerana kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit setahun semata-mata mahu melihat kecemerlangan pelajar dan bukannya menuduh tanpa usul periksa.

“Sudah terbukti usaha yang dilaksanakan selama ini dalam pelbagai program pendidikan membuahkan hasil terutama dalam peperiksaan umum di mana mencatatkan pencapaian tertinggi berbanding negeri lain,” katanya.

e-Book adalah komputer mini yang dilengkapi perisian sama seperti buku teks. Lebih istimewa lagi, turut dilengkapi 30 juzuk al-Quran, cara solat jenazah dan kaedah solat limat waktu.

Haji Ahmad Razif berkata, penggunaan e-Book juga dikesan berjaya mempecepatkan penguasaan pelajar dalam bidang Teklonogi Maklumat dan Komunikasi (ICT).



Tiga pangkalan nelayan baru dibina

Oleh: Suriati Ali


Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Sebanyak tiga pangkalan nelayan di kawasan Kuala Nerus akan dibangunkan bagi kemudahan golongan nelayan untuk melabuhkan bot .

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata sebanyak tiga tempat yang dicadangkan iaitu Pangkalan Muda dan Pangkalan Pak Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan Pangkalan Kampung Tok Ris di DUN Bukit Tunggal.

Katanya, pangkalan berkenaan di bina bertujuan memberi kemudahan kepada bot besar dan nelayan pantai yang berlabuh di kawasan tersebut.

“Buat masa kini, kita mempunyai lebih 10 pangkalan di kawasan Kuala Nerus dan akan ditambah secara berperingkat-peringkat berikutan kira-kira 1,500 penduduk di kawasan itu masih menyara hidup hasil tangkapan ikan di laut.

“Pihak kami turut membuat keputusan untuk menaiktaraf pangkalan sedia ada semata-mata untuk keselesaan nelayan dan menikmati kemudahan yang sepatutnya.

Menurutnya, peruntukan berkenaan akan disalurkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan dalam tempoh terdekat.



Pertandingan Mewarna Warisan Kita

5 Mac 2011

Pertandingan Mewarna Warisan Kita

`Our Heritage’ Colouring Contest

Venue: Muzium Daerah Dungun, (Dungun District Museum.)


Mengasah bakat dan minat pelajar mengenai warisan dan budaya melalui pertandingan mewarna kanak-kanak.



Sharpening the students’ skill and enhance their interest to know their culture and heritage through children colouring competition.


04 March 2011

Guna Khidmat Jurulatih Luar Negara Lahir Atlet Cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan sukan di negeri ini disarankan menggunakan perkhidmatan jurulatih kebangsaan atau luar negara secara jangka pendek supaya dapat memperkemaskan latihan serta memperkenalkan kaedah baru kepada atlet yang bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun ini supaya mereka mampu beraksi dengan lebih cemerlang.

“Apabila menemui jurulatih kebangsaan dan luar negara yang sesuai dan bawa kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk kita akan timbangkan keperluan itu dan bawa masuk mereka dengan segera.
“Kita perlu lakukan dengan segera dan bijak memilih jurulatih berkenaan kerana tempoh yang ada dengan kejohanan sebenar tidak lama lagi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat di satu majlis, baru-baru ini.

Katanya, pendekatan mengambil jurulatih luar negara itu antara langkah bagi memberi pendedahan yang lebih baik dan membaiki prestasi atlet yang gagal menonjol dan mencapai sasaran pingat sebelum ini.

Selain itu, katanya mulai sekarang, jurulatih dan pengurus pasukan juga perlu mengadakan lebih banyak program memperkenalkan dan menemukan atlet masing-masing dengan pasukan kebangsaan atau luar negeri yang bersesuaian.

Beliau berkata, menerusi pendedahan latihan dan pertandingan bertaraf tinggi, atlet akan lebih bersedia, berkeyakinan dan mampu melonjak prestasi apabila bertanding di peringkat kebangsaan kelak.

Menurutnya, setiausaha persatuan juga perlu memberikan kerjasama bagi berunding dengan pasukan kebangsaan untuk merealisasikan hasrat itu.

Haji Rozi juga mengingatkan semua pihak memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Sukma Ke-14 dan meninggalkan dahulu perkara serta masalah yang boleh menghilangkan fokus persiapan itu.

“Agenda pemantauan perlu dijadikan agenda utama bagi semua pihak, baik MSNT, persatuan atau pegawai-pegawai supaya sebarang kekurangan dan kelemahan dapat diatasi secara segera dan bersama dengan berhemah,” katanya.






Produk Makanan Terengganu Tembusi Dubai

Oleh: Aida Abd Rahman


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Produk makanan Terengganu berjaya menembusi pasaran Dubai menerusi Ekspo Makanan yang diadakan selama empat hari bermula 27 Februari lalu di negara itu.

Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memperkenalkan lapan produk makanan daripada negeri ini termasuk kopi berasaskan belut untuk kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata pameran yang disertai buat kali kedua oleh Terengganu itu berjaya memperkenalkan produk makanan negeri ini di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Katanya, selain kopi berasaskan belut, turut mendapat permintaan pengedar di negara itu termasuk murtabak dan susu krim.

Dato’ Mohamed berkata, Dubai menjadi negara transit produk makanan halal yang disertai kira-kira 80 negara di seluruh dunia.

Katanya, kerajaan negeri menerusi YPU akan membuat tindakan susulan untuk mengetahui tindak balas pengedar makanan berkenaan untuk mengetahui produk yang mereka perlukan untuk pasaran di negara itu.

Beliau berkata, sebelum itu, Terengganu turut mengadakan lawatan ke Oman dan mengadakan pertemuan dengan dewan perniagaan negara itu mengenai perdagangan dua hala.

“Hasil pertemuan itu, Oman mempelawa pelabur-pelabur di Terengganu bagi melibatkan diri dalam industri minyak dan gas.

“Mereka juga berminat untuk ke Terengganu bagi melihat peluang-peluang pelaburan yang ada di sini dan boleh diketengahkan untuk kepentingan perdagangan bersama,” katanya.


Polis tambah anggota Julai depan.

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Polis Kontijen Terengganu akan menerima pertambahan anggota baru pada Julai depan dan sekali gus dapat membantu meningkatkan tahap pengurusan polis di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, pertambahan ini berikutan pelatih dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur akan tamat latihan pada Julai nanti.

“Kita jangka, Kontijen Terengganu turut mendapat pertambahan anggota baru yang akan diserapkan ke negeri ini,” katanya.

Menurut Dato’ Jamshah setakat ini tidak timbul isu kekurangan anggota, tetapi dengan adanya pertambahan baru dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Sehingga ini katanya, sejumlah 3,000anggota termasuk pegawai sedang bertugas di negeri ini dan berada pada tahap kecekapan yang baik dan memuaskan.

Dato’ Jamshah kemudiannya menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak kemalangan kerana bila berlaku perkara berkenaan banyak pihak terbabit dan tidak kurang yang menderita berpanjangan bila berlaku kematian dan sebagainya.