Halaman

17 March 2011

Konsep Sekolah Menengah Imtiaz diperluas

Oleh: Suriati Ali


Imtiaz Antarabangsa terbuka kepada masyarakat tempatan dan luar Terengganu yang ingin mendalami ilmu secara bijaksana selain mempelajari kaedah menghafaz al-Quran berserta sebutan bacaan.

Konsep Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu yang memperkenalkan hafazan al-Quran sebagai mata pelajaran wajib akan terus diperluaskan kepada masyarakat luar dengan memperkasakannya sebagai Imtiaz Elit dan Imtiaz Antarabangsa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata Imtiaz Elit akan diberi tumpuan kepada pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang memperoleh keputusan cemerlang.

“Manakala Imtiaz Antarabangsa terbuka kepada masyarakat tempatan dan luar Terengganu yang ingin mendalami ilmu secara bijaksana selain mempelajari kaedah menghafaz al-Quran berserta sebutan bacaan.

“Lembaga Yayasan Terengganu (YT) telah berbincang mengenai perkara ini dan hanya menunggu keputusannya sahaja. Sekiranya pihak berkaitan menyatakan persetujuan, konsep ini akan dimulakan awal tahun depan,” katanya.

Program Hafazan yang dijalankan di Sekolah Menengah Imtiaz adalah kesinambungan daripada program `Pintar al-Quran’ diperkenalkan pada 1999 bertujuan melahirkan genarasi Ulul Albab dan `Membumikan al-Quran’ dalam diri pelajar .

Oleh itu, bagi memastikan program hafazan yang dilaksanakan dapat disebatikan dalam diri setiap pelajar, maka satu modul hafazan telah diperkenalkan bagi membolehkan masa yang singkat iaitu dari jam 7.40 pagi hingga jam 9.40 pagi pada setiap hari digunakan secara semaksima mungkin.

Imtiaz juga menggunakan pakai konsep Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar (BIFFAS) bertujuan mempertingkatkan lagi mutu hafazan setiap pelajar.

“Haji Muhammad Ramli, berkata rakyat perlu bersyukur kerana pemimpin di Terengganu cukup cakna terhadap pendidikan. Tumpuan itu diberikan sejak di awal usia lagi, di mana kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sudah mampu menghafaz 23 surah lazim.

“Apabila memasuki sekolah tadika pula, mereka diajar membaca al-Quran sehingga berjaya khatam. Dengan pendekatan itu, setiap tahun kita mampu mencatatkan 4,000 hingga 5,000 setahun kanak-kanak yang berjaya khatam,” katanya.




TDM Berhad bina hospital baru.

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Development Management (TDM) Berhad, akan membina sebuah hospital pakar swasta baru membabitkan perutukan RM120 juta di Kuantan, Pahang.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Roslan Awang Chik berkata hospital setinggi tujuh tingkat, yang dijangka siap pembinaannya tahun depan, bakal dilengkapi dengan kemudahan teknologi perubatan moden dan terkini.

"Apabila siap kelak, pembinaan ini mampu menaikkan lagi imej syarikat dan Terengganu kerana berupaya membina hospital swasta terbesar di wilayah Pantai Timur.

“Hospital itu cukup penting, kerana ruang bangunan Kuantan Medical Centre yang ada sekarang semakin terhad disebabkan permintaan pelanggan semakin tinggi setiap tahun,” katanya.

Sebelum ini TDM sudah mempunyai tiga buah hospital bersaiz sederhana iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital di Terengganu, Kuantan Medical Centre di Kuantan dan Kelana Jaya Medical Centre di Selangor.

Roslan berkata adalah menjadi matlamat TDM untuk kekal sederhana dengan konsep pakar perubatan komuniti yang menawarkan penjagaan kesihatan tanpa elemen-elemen kemewahan.

"Dengan kata lain, perkhidmatan yang ditawarkan menitikberatkan pelanggan atau pesakit dan seterusnya mampu dinikmati oleh orang ramai.

“Perkhidmatan yang ditawarkan di semua hospital milik TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital negara-negara maju,” katanya.

Dalam hal ini, TDM terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk menawarkan khidmat kepada orang ramai, katanya.




16 March 2011

Tahap pengangkutan awam dipertingkat.

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri menerima suntikan bantuan kewangan sebanyak RM112.05 juta melalui pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) Kerajaan Pusat untuk membina Terminal Bersepadu di Kuala Terengganu dalam usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, peruntukkan berkenaan juga digunakan untuk membina terminal baru di Dungun, Besut, Kemaman dan Marang.

“Turut tersenarai dalam mempertingkatkan tahap pengangkutan awam ialah menaiktaraf termina di Setiu, pembinaan terminal ‘park & ride’ dan pusat transit di Hulu Terengganu serta hentian bas,” katanya.

Selain itu katanya, pembinaan jalan KT-Bypass yang dirancang sebelum ini akan diteruskan bagi memastikan sistem rangkaian jalan yang sistematik dan teratur untuk pembangunan kawasan bandar baru Bukit Besar.

Pembinaan jalan ini juga dapat menghubungkan ke Jambatan Pulau Sekati, Jalan Tok Kong ke Bukit Guntong seterusnya ke Jambatan Losong Feri dan Bukit Datu.

“Beberapa jalan sokongan lain akan dibina termasuklah Jalan Gong Nangka ke Bukit Kor, Marang; Jalan Mak Jintan, Setiu ke Batu Rakit, Kuala Terengganu; Jalan Pecah Rotan ke Kampung Lingai di Kuala Terengganu serta menaiktaraf Jalan tanjung Baru, Lerek, Kepah di Hulu Terengganu dan jalan Kubu ke Felda Chadur di Marang,” katanya.

Katanya, di samping pembangunan ekonomi , pelaksanaan sistem jalan yang baik dan teratur boleh dijadikan altenatif penguraian trafik kepada pengguna jalan raya.




Penerbangan umrah tiga kali setahun dari LTSM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu merancang mengadakan penerbangan untuk mengerjakan umrah secara berkala, tiga bulan sekali dari Kuala Terengganu ke Jeddah selepas melancarkan penerbangan pertama menerusi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pada 18 Mac (Jumaat) ini.

Penerbangan pertama melibatkan kumpulan penerima Anugerah Umrah yang terpilih selepas terlibat dengan operasi Haji musim lepas yang bermula pada 16 Oktober dan berakhir dengan penerbangan balik 17 Disember lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peluang menunaikan umrah itu juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan kapisiti muatan 450 tempat duduk disediakan bagi satu penerbangan.

“Penerbangan Anugerah Umrah ini merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada media, hari ini (16 Mac).

Penerbangan pada Jumaat ini dijadualkan kira-kira jam 5.10 petang dan penerbangan balik pada 29 Mac.

Beliau berkata, program ini menjadi jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat AD Charter Services Sdn.Bhd yang telah mengendalikan Operasi Haji Musim 2010 lalu.

Syarikat berkenaan bersetuju pula menawarkan satu penerbangan umrah secara terus Kuala Terengganu Jeddah dengan harga tiket penerbangan subsidi pada kadar RM1,500 termasuk cukai lapangan terbang dengan pakej umrah pada kadar minimum RM3,800 seorang termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan oleh setiap agensi, isitu pakej biasa, sderhana dan kelas pertama, di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Selain itu, terdapat empat agensi yang disenaraikan mengikut `track record’ yang baik dan emmuaskan untuk menguruskan umrah iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, Imtiyaz Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd dan TH Travel & Services Sdn Bhd.

Pada musim haji yang lalu, sebanyak tujuh penerbangan dari LTSM membawa 2,387 jemaah haji yang terdiri daripada 1,545 jemaah i Terengganu selain Kelantan (647), Pahang (109) dan 86 jemaah dari lain-lain negeri .




TDM Berhad peroleh 25,000 hektar di Indonesia

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Development Management (TDM) Berhad berjaya memperoleh 25,000 hektar dari pakej tanah seluas 40,000 hektar di Kalimatan, Indonesia untuk di tanam kelapa sawit.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Roslan Awang Chik, berkata tanah di Kalimantan itu sedang giat diusahakan secara berperingkat-peringkat dan seluas 3,000 hektar telah pun selesai dimajukan tahun lepas.

Katanya, kita menjangkakan sehingga tahun ini 7,000 hingga 8,000 hentar tanah di lokasi itu akan dapat ditanam dengan kelapa sawit dan pihaknya telah memperoleh hasil sawit pertama baru-baru ini.

Langkah-langkah sudah pun diperkenalkan demi mencapai sasaran ini termasuk melalui program penanaman semula dengan mengunakan klon-klon kelapa sawit yang dapat memberikan hasil lebih banyak dan pertanian teliti menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Sasaran lain adalah terima guna Kod Amalan Pertanian Baik (COGAP) untuk mencapai objektif Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO), memulihkan semula pokok kelapa sawit dengan baja, memperbaiki proes pemindahan tanaman dan menambah keupayaan kilang-kilang,” katanya.

“Langkah seterusnya, diambil untuk meningkatkan kadar pengekstrakan, kualiti minyak dan isirong kelapa sawit dengan menambahbaik aliran proses serta operasi di kedua-dua kilang milik TDM di Sungai Tong, Setiu dan Kemaman,” katanya.



Pameran mistik belum dapat kata putus

Oleh: Suriati Ali

Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) masih belum dapat memberi keputusan mengenai cadangan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran mistik di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dijangka pada bulan depan.

Ahli Jawatankuasa MFNT Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Terengganu Dato’ Dr Alias Abdullah pada 13 Mac lalu bagi membincangka berkaitan itu.

"Jawatankuasa MFNT masih belum membuat keputusan yang muktamad sama ada boleh diteruskan atau sebaliknya. Sebagai penyelesaian ia akan dibawa kepada Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskannya," katanya.

Dato’ Haji Shaikh Harun yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata, pameran mistik itu merupakan satu perkara baru di mana didapati ada imbasan berkaitan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

"Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini tidak membenarkan pameran berhubung dengan perkara-perkara mistik seperti keranda, jin, kepala syaitan dan perkara-perkara lain.

“Pameran seumpama itu merupakan pertama kali diadakan di Semenanjung Malaysia di mana sebelum ini pernah diadakan di negara Brunei Darussalam.

"Jadi kita kembalikan perkara ini kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan memang wajar serta relevan sekali kerana pihak kebangsaanlah yang akan mengeluarkan kata putus mengenai pameran itu," katanya.

Shaikh Harun berkata, Dr Alias selaku Mufti kerajaan Terengganu akan membawa perkara ini ke persidangan mufti-mufti seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Katanya, Dr Alias akan berbincang terlebih dahulu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku urusetia dan diharap persidangan itu diadakan secepat mungkin.



UMT keluar RM19,000 di bawah tabung kebajikan dan zakat

Oleh: Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membelanjakan RM14,000 di bawah tabung kebajikan dan RM5,000 tabung zakat universiti itu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr. Yahya Ibrahim berkata, UMT sentiasa prihatin terhadap masalah pelajarnya dan akan hulur bantuan kepada pelajar terbabit.

“Sumbangan yang dihulurkan kepada pelajar –pelajar yang bermasalah ditimpa musibah seperti kematian ibu atau bapa dan juga akibat kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menyerah sumbangan kepada salah seorang penuntut UMT, Nurul Shuhada Abdul Razak, di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus baru-baru ini.

Katanya, tiga bulan pertama tahun ini, 40 pelajar menerima sumbangan di bawah tabung kebajikan UMT dengan pelbagai bentuk bantuan seperti wang tunai, barangan keperluan harian, basikal dan sebagainya.

Prof Dr Yahya mengulas masalah yang dihadapi Nurul Shuhada pelajar jurusan perakaunan yang kematian kedua ibu bapanya pada pertengahan tahun lalu yang sekali gus menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran kerana terpaksa mengalas tanggungjawab menjaga enam orang adiknya.

“Kita tidak mahu pelajar kita tercicir dalam pelajaran akibat masalah peribadi atau musibah yang berlaku dengan memantau prestasi setiap pelajar dari masa kesemasa serta cuba merungkainya melalui pelbagai cara,” katanya.

Katanya, UMT menggunakan beberapa pendekatan termasuk memberi peluang mereka luahkan apa yang terpendam di hati, disusuli dengan kunjungan ke rumah dan berkomunikasi dengan keluarga pelajar terbabit.

Katanya, bantuan yang dihulurkan oleh UMT bukan setakat wang tunai, barangan keperluan harian malah tiket penerbangan pergi balik kepada pelajar yang berada di Sabah dan Serawak kerana kematian ibu atau bapa.

“Ada juga berlaku pelajar meninggal di Universiti dan kita akan beri bantuan kepada keluagranya untuk mengurus jenazah serta pengangkutan sekali,” katanya.

“Menjadi tanggug jawab semua pihak sama ada pihak universiti dan kerajaan membantu pelajar bermasalah agar dapat meneruskan pelajaran dalam keadaan yang tenang,” katanya.




Azizulhasni dinobat Olahragawan Negara 2010

Oleh: Aida Abd Rahman


Mohd Azizulhasni Awang, jaguh berbasikal trek negara memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan 2010.

Sebagaimana ramalan, Mohd Azizulhasni Awang, jaguh berbasikal trek negara memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan 2010 dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2010 yang berlangsung di Grand Ballroom Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, malam ini (15 Mac).

Ikon sukan negara yang berasal dari Dungun itu mengekalkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya buat pertama kali pada 2009.
Sementara ratu skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David menggunguli anugerah Olahragawati Kebangsaan buat kali kelapan pada tahun ini.
Berkenan berangkat ke majlis dan menyampaikan anugerah itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Baginda diiringi Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong.

Mohd Azizulhasni ketika berucap sekepas menerima anugerah itu menganggap kemenangan sebagai olahragawan negara buat kali kedua itu seumpama hadiah yang mengubat kekecewaannya kerana tidak dapat bertanding pada kejohanan dunia pada akhir bulan ini akibat kemalangan yang dialaminya di Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester bulan lalu.

Pemenang pingat emas acara keirin di Sukan Asia itu juga tidak lupa mendedikasikan kemenangannya kepada semua pihak yang banyak mencorak kejayaannya terutama jurulatih, John Beasley serta isteri, ahli keluarga, MSN, Persatuan Sukan Berbasikal Negara, Majlis Sukan Negeri Terengganu serta pihak media.

Malah, atlet negara yang menjadi prospek utama meraih emas pada Sukan Olimpik London tahun depan itu juga sempat mengucapkan takziah kepada warga Jepun akibat kejadian tsunami dan berharap semua pihak mengambil ikhtibar daripada bencana yang meragut banyak nyawa itu.

Sebalik anugerah yang berprestij itu, mungkin ramai yang tidak menyedari ada sesuatu yang menarik berlaku di pentas utama, apabila ketika anugerah Olahragawan Kebangsaan disampaikan, Mohd Azizulhasni menjadi individu keempat sebagai anak Terengganu yang berdiri di pentas yang sama bagi menjayakan majlis berprestij itu. Malah, tidak dinafikan lagi, masing-masing adalah watak penting dan memainkan peranan tersendiri dalam pentadbiran dan pembangunan sukan negara.

Maka tidak hairanlah jika sebalik kejayaan yang diraih anak Terengganu dalam bidang sukan di pelbagai peringkat sama ada negara, mahupun dunia, di sekelilingnya terdapat sokongan dan komitmen yang tidak berbelah- bahagi di kalangan anak Terengganu sendiri.

Gambaran itu juga tepat untuk Terengganu terus mengekalkan momentum kejayaan dalam pelbagai bidang sukan dan bertepatan sebagai kuasa besar sukan negara. Ayuh Terengganu. Terus mara!


15 March 2011

Tabung penyakit kronik bantu 220 pesakit sejak ditubuhkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Tabung Penyakit Kronik yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu sejak tahun lalu sudah memberi manfaat kepada 220 pesakit yang menderita pelbagai penyakit berbahaya dan memerlukan perhatian segera.

Daripada jumlah itu, pesakit jantung (71 kes), buah pinggang (57 kes), kanser (36 kes) dan lain-lain kes termasuk bantuan peralatan dan sokongan melibatkan 56 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata berdasarkan rekod, peruntukan diterima menerusi tabung itu sejak September tahun lalu berjumlah RM2 juta dan kira-kira RM360 ribu sudah dibelanjakan sehingga Februari lalu.

Katanya, tabung itu diwujudkan atas kesedaran kerajaan melihat pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan.

“Rayuan-rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri. Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan di dada akhbar tempatan dan media elektronik bagi mendapat belas kasihan dan simpati orang ramai.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun menyediakan berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun skim dan bantuan itu dalam kadar maksimum dan agak terhad,” katanya.

Katanya, menyedari kelemahan itu kerajaan mengambil langkah segera dengan menubuhkan tabung berkenaan yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat yang layak dan boleh memohonnya melalui pemimpin di kawasan masing-masing.




PIBG bantu tugas guru

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri terus berusaha memperkasakan sekolah-sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melalui pelbagai bantuan dan program yang menjurus ke arah meningkatkan tahap pencapaian pelajar.

“Sekolah adalah sebuah institusi penting , juga sebagai kilang melahirkan generasi berpendidikan dan kita boleh berbangga bila lebih ramai golongan professional akan wujud dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, fokus sekarang untuk mendidik golongan pelajar lebih mencintai ilmu keagamaan agar mereka sentiasa memilih jalan positif serta mampu mengelak daripada terjerumus dalam gejala tidak sihat.

“Peranan ibu bapa begitu besar dalam membentuk peribadi anak-anak ketika di rumah di samping tugas guru bila mereka berada di sekolah,” katanya di majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran kepada PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, hari ini (15 Mac).

Terdapat 13 buah sekolah dalam DUN Batu Rakit iaitu empat buah SMK dan sembilan SK, masing-masing menerima RM1,000 (SK) dan RM2,000 (SMK) dengan jumlah keseluruhan RM17,000.

“Ramai kalangan ibu bapa hari ini ingin menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama (SMA) dan untuk memenuhi permintaan berkenaan kerajaan wujudkan kelas khas hafaz di SMA negeri di samping sekolah Imtiaz,” katanya.

Katanya, mereka yang cemerlang dalam pelajaran tidak semestinya berjaya dalam kehidupan kerana kebolehan berkomunikasi dengan masyarakat dan mempunyai rangkaian kawan-kawan yang ramai adalah penting ketika berada dalam realiti kehidupan sebenar.