Imtiaz Antarabangsa terbuka kepada masyarakat tempatan dan luar Terengganu yang ingin mendalami ilmu secara bijaksana selain mempelajari kaedah menghafaz al-Quran berserta sebutan bacaan.
Konsep Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu yang memperkenalkan hafazan al-Quran sebagai mata pelajaran wajib akan terus diperluaskan kepada masyarakat luar dengan memperkasakannya sebagai Imtiaz Elit dan Imtiaz Antarabangsa.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata Imtiaz Elit akan diberi tumpuan kepada pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang memperoleh keputusan cemerlang.
“Manakala Imtiaz Antarabangsa terbuka kepada masyarakat tempatan dan luar Terengganu yang ingin mendalami ilmu secara bijaksana selain mempelajari kaedah menghafaz al-Quran berserta sebutan bacaan.
“Lembaga Yayasan Terengganu (YT) telah berbincang mengenai perkara ini dan hanya menunggu keputusannya sahaja. Sekiranya pihak berkaitan menyatakan persetujuan, konsep ini akan dimulakan awal tahun depan,” katanya.
Program Hafazan yang dijalankan di Sekolah Menengah Imtiaz adalah kesinambungan daripada program `Pintar al-Quran’ diperkenalkan pada 1999 bertujuan melahirkan genarasi Ulul Albab dan `Membumikan al-Quran’ dalam diri pelajar .
Oleh itu, bagi memastikan program hafazan yang dilaksanakan dapat disebatikan dalam diri setiap pelajar, maka satu modul hafazan telah diperkenalkan bagi membolehkan masa yang singkat iaitu dari jam 7.40 pagi hingga jam 9.40 pagi pada setiap hari digunakan secara semaksima mungkin.
Imtiaz juga menggunakan pakai konsep Baca, Ingat, Faham, Fikir, Amal dan Sebar (BIFFAS) bertujuan mempertingkatkan lagi mutu hafazan setiap pelajar.
“Haji Muhammad Ramli, berkata rakyat perlu bersyukur kerana pemimpin di Terengganu cukup cakna terhadap pendidikan. Tumpuan itu diberikan sejak di awal usia lagi, di mana kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sudah mampu menghafaz 23 surah lazim.
“Apabila memasuki sekolah tadika pula, mereka diajar membaca al-Quran sehingga berjaya khatam. Dengan pendekatan itu, setiap tahun kita mampu mencatatkan 4,000 hingga 5,000 setahun kanak-kanak yang berjaya khatam,” katanya.