Halaman

18 March 2011

PENERBANGAN UMRAH TERUS TERENGGANU– JEDDAH, PERTAMA DI MALAYSIA

Laporan oleh: Ruslan Abdul Rahman, Esah Abdullah dan Rahim Daud.


Bukan sahaja sejarah bagi negeri Terengganu, bahkan sejarah bagi Malaysia penerbangan umrah, terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah.



Sebelum ini tidak pernah penerbangan umrah dari lapangan terbang di luar Lapangan Terbang antarabangsa Kuala Lumpur dan inilah pertama kali berlaku di Malaysia, akui pihak Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).



Dato’ Kapten Nawawi juga orang Terengganu adalah ketua pilot membawa kapal MH 8324 yang akan membawa 451 jemaah dari Terengganu itu bersama dua orang pilot lain dan 13 orang anak kapal, berlepas kira-kira jam 5.25 petang sekejap tadi.



Menurut Dato’ Kapten Nawawi, mereka dijangka sampai di Jeddah kira-kira jam 10.15 malam ini (waktu Jeddah).

“Insya Allah cuaca sederhana kami semua akan selamat sampai,” katanya ketika ditemui di LTSM sebentar tadi.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat yang mewakili YAB Dato’ Seri Ahmad Said Menteri Besar Terengganu berkata, adalah menjadi hasrat Menteri Besar selepas ini setiap tiga bulan sekali penerbangan umrah terus ini dapat dijalankan dari LTSM-Jeddah.



“Insya Allah, kalau mendapat sambutan program seumpama ini akan diteruskan lagi. Menteri Besar akan berbincang dengan pihak MAS untuk menjayakan rancangan baik ini,” kata YB Haji Khazan kepada media sebelum berlepas bersama-sama dengan jemaah umrah anjuran Kerajaaan Negeri Terengganu dengan kerjasama MAS dan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH).

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah hadir sama menghantar jemaah di LTSM.