Halaman

18 March 2011

Pelajar IMTIAZ bakal jadi golongan ulul-Albab

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Haji Muhammad Ramli menyampaikan sijil kepada peserta Khatam al-Quran Program Tadarus al-Quran Sempena Cuti Sekolah yang diadakan di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri yakin pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ bakal menjadi generasi ulul-Albab berdasarkan kecemerlangan mereka di bidang hafazan dan akademik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh, berkata sejak kebelakangan ini pencapaian sesetengah pelajar IMTIAZ amat luar biasa di mana ada antara mereka sudah mampu menghafaz al-Quran setelah dua tahun belajar di situ.

“Bayangkan betapa hebatnya mereka kerana kerajaan negeri meletakkan sasaran agar mereka mampu menghafaz al-Quran selepas tiga tahun belajar di IMTIAZ iaitu menghafaz 10 juzuk setahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penutup Tadarus al-Quran Sempena Musim Cuti Sekolah di Masjid Kristal petang semalam.



Beliau berkata, tahun lalu lima pelajar IMTIAZ sudah mampu menghafaz 30 juzuk sewaktu berada di tingkatan lima manakala tahun ini sudah ada seorang pelajar mampu berbuat demikian.

“Kita jangkakan lebih ramai pelajar tingkatan dua boleh menghafaz 30 juzuk al-Quran menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pelajar yang mampu menghafaz al-Quran lebih awal daripada matlamat yang ditetapkan itu turut melakarkan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diadakan di sekolah.



“Manakala dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula mereka mencatat keputusan 9 A. Boleh dikatakan hamper separuh daripada pelajar IMTIAZ mendapat keputusan sama ada 9 A atau 8 A dalam peperiksaan PMR baru-baru ini,” ujarnya.

Haji Muhammad Ramli berkata, pelajar berkenaan diharapkan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan mereka menjadi menjawat pelbagai jawatan profesional dan mampu menghafaz al-Quran.