Halaman

13 March 2011

Kilang Baja Bio-Organik mampu jimat kos RM10 juta.

Oleh: Suriati Ali


Kilang pemprosesan kelapa sawit TDM di Sungai Tong, Setiu.

Pembinaan Kilang Baja Bio-Organik, di Sungai Tong, Setiu, mampu menjimatkan kos import berjumlah RM10 juta setahun selain dapat membantu menangani isu pembuangan sisa tandan kosong dan effluent yang dihadapi sebelum ini.


Dato' Seri Ahmad Said melihat baja Bio-Organik di kilang milik TDM selepas merasmikannya di Sungai Tong Setiu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kilang milik TDM Berhad melalui TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) beroperasi awal bulan Mei tahun lalu, mampu mengeluarkan 24,000 metrik tan setahun atau 2,000 metrik tan sebulan untuk menghasilkan Baja Bio-Organik.

Katanya,setiap tahun TDMP memerlukan peruntukan sebanyak RM60 juta setahun untuk mengimport bahan itu dari luar negara. Apabila syarikat ini mampu menghasilkan sendiri baja, ia mampu menjimatkan kos sehingga RM10 juta setahun.

“Kerajaan negeri bangga dengan pencapaian ini kerana bukan saja mampu menaikkan imej pengurusan estet malah dapat menjimatkan wang dan menghasilkan buah kelapa sawit berkualiti serta bermutu tinggi.

“Pembinaan kilang pertama yang bernilai RM3.4 juta ini, nyata mampu menangani isu kos pelupusan tandan kosong dan effluent yang tinggi selain dapat mengawal pencemaran alam dan menguruskan sisa buangan ladang.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Baja Bio-Organik dan Medan Infodesa, di perkarangan Kilang Baja Bio- Organik Sungai Tong, Setiu, hari ini (13 Mac).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Haji Asha’ari Idris, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee, Pengerusi TDM Berhad,Datuk Haji Roslan Awang Chik dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kilang seumpama ini bakal dibina di Kemaman dalam tempoh terdekat, kos mengenainya masih dalam perancangan.



“Struktur bangunan mungkin lebih besar berbanding kilang di Sungai Tong kerana di daerah itu mempunyai ladang kelapa sawit yang lebih luas.

“TDM Berhad turut mempunyai ladang kelapa sawit seluas 40,000 hektar di kalimatan, Indonesia, yang dijangka mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh terdekat,”katanya.