Halaman

18 March 2011

TFM Perkenal DJ Kampus

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Radio Malaysia Terengganu FM (Tfm) mengambil inisiatif mengadakan program khas untuk pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi menarik golongan ini mendengar info melalui Tfm.

Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, konsep program adalah hiburan bermaklumat yang bersiaran secara langsung dengan pengisian 70 peratus hiburan dan 30 peratus berupa maklumat terkini.

Katanya, Tfm juga akan mewujudkan kelab pendengar dikalangan penuntut IPTS/IPTA supaya mereka dapat bertukar pandangan dan lebih bersikap proaktif serta berani melontarkan pandangan positif sebagai pelapis masa depan negara.

“Mereka diberi peluang mengendalikan Tfm melalui rancangan DJ Kampus yang akan bersiaran setiap Khamis (malam) selama sejam empat puluh minit yang membawa info aktiviti kampus, pendapat siswa, karya dan permintaan lagu,” katanya.

Melaluinya juga, akan diselit isu-siu semasa terutama perkembangan semasa yang berlaku di kampus serta bahan-bahan yang boleh mendekatkan masyarakat dengan institusi berkaitan.

Selain itu kata Dr. Nawiyah, meraka yang terpilih mengendalikan siaran akan diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta latihan amali di studio melalui kursus serta perbengkelan.

“Rancangan berkonsepkan hiburan santai ini dilihat mampu mendekati golongan muda dengan pendekatan yang bijak dan kreatif,” katanya.