Halaman

17 March 2011

Litar khas untuk `mat rempit’ dibangunkan tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tetap akan meneruskan perancangan mewujudkan litar lumba di lokasi khas yang sesuai pada tahun ini bagi menangani masalah kegiatan lumba haram di kalangan `mat rempit’ yang masih berlaku di beberapa `jalan panas' di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata kerajaan peka dengan masalah yang melanda golongan belia negeri ini yang seperti tidak berkesudahan dan akan memastikan perancangan mewujudkan litar sebagai tempat belia terbabit melepaskan kemahuan mereka berlumba akan menjadi kenyataan.
Katanya, usaha mewujudkan litar itu juga bertepatan dengan hasrat mencungkil bakat baru dalam sukan permotoran dan membentuk mereka menjadi pelumba profesional yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya melihat apabila kumpulan remaja ini berhimpun di jalan raya, sebahagian kecil sahaja atau tidak lebih 10 peratus daripada mereka yang merempit dan menunjukkan aksi, sementara yang sebahagian besar lagi hanyalah sekadar menjadi `penonton setia’.

“Mereka ini sebenarnya `bersosial sambil bermotosikal’ terutama pada hujung minggu akibat tiada aktiviti yang mahu dilakukan,” katanya yang sudah mempunyai perancangan kawasan itu.

YB Rozi berkata, kebanyakan remaja berkenaan bukanlah dari latar kehidupan yang tidak baik, malah mereka berpakaian kemas dan elok belaka tetapi mereka emilih untuk memenuhi masa mereka dengan perkara yang sia-sia dan boleh menyusahkan orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan negeri tetap memandang serius masalah itu dan merancang pelbagai alternatif untuk mengalih tumpuan mereka daripada terus melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

Antara usaha yang dijalankan adalah mengadakan pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan seperti `Terengganu City Night Game’ di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu yang menarik penyertaan lebih 5,000 remaja pada setiap kali penganjuran sebulan sekali itu dilaksanakan.

“Kita juga mewujudkan satu gelanggang futsal di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk kemudahan remaja bersukan. Malah, Kerajaan Pusat juga menyediakan kemudahan itu di setiap Parlimen bagi tujuan yang sama,” katanya.