Halaman

15 March 2011

Amalan terpuji, petua penghafaz

Oleh: Suriati Ali

Berkat usaha dengan mengamalkan amalan-amalan terpuji, meninggalkan perkara mungkar, menjauhi amalan terkutuk, mentaati ibu bapa dan sentiasa patuh dengan ajaran Allah S.W.T antara petua yang sentiasa diamalkan penghafaz al-Quran.

Jika semua itu gagal dipatuhi, mustahil seorang penghafaz mampu mengingati setiap ayat dalam mana-mana surah sehingga mampu menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran.

Peserta, Mohd Jalaluddin Al Fahmi Jusoh, 23 dari Manir, Kuala Terengganu, berkata dia mengakui setiap penghafaz al-Quran memerlukan displin yang tinggi sekiranya serius ingin mencapai kejayaan.

Katanya, kejayaan kali kedua ini adalah berkat doa dan dorongan semua pihak terutama ibu dan bapa yang tidak putus-putus memberi semangat.

“Saya akan membuat yang terbaik dengan melaksanakan persediaan awal bagi menaikkan imej Terengganu dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang bakal disertai nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, Kompeks Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi (14 Mac).

Menurutnya, dia membiasakan diri untuk bangun di awal pagi iaitu bermua 2 pagi sehingga 4 pagi, semata-mata ingin mencari ketenangan sewaktu menghafaz al-Quran, walaupun terpaksa mengorbankan waktu tidur.

“Cukup beruntung jika sesiapa yang bangun pada waktu itu untuk melaksanakan pelbagai amalan terpuji kerana sudah tentu banyak memperoleh keberkatan,” katanya.

Jueziatul Husna Ariffin, 25, berkata dia mula menghafaz al-Quran sejak berusia 16 tahun dan mendalami ilmu itu di Institut a-Quran Terengganu (IQ).

“Tanpa berkat kesabaran, hasil doa dan dorongan suami, ibu serta bapa, mungkin saya tidak mampu mencapai kejayaan seperti hari ini,” katanya.