Halaman

15 March 2011

UMT tampil bantu penuntut miskin

Oleh: Esah Abdullah


YB Muhammad Ramli Nuh menyampaikan bantuan kepada Nurul Shuhada.

Seorang penuntut, Nurul Shuhada Abdul Razak,25, dari Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, ditakdirkan menjadi ketua keluarga dalam usia muda dan mengambil alih tugas kedua ibu bapanya menjaga enam adik setelah hilang tempat bergantung.

Mungkin akibat dari bebanan hidup dan tekanan yang ditanggung, beliau yang berada dalam tahun dua di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang Perakaunan tidak dapat mengekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebagaimana yang berjaya dilakukan ketika semester pertama.

“Apabila keadaan ini berlaku kepada pelajar, pihak universiti akan membuat penyiasatan mencari punca sebenar dan pelajar ini telah mengalami kemurungan akibat kehilangan kedua ibu bapanya ,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr. Yahya Ibrahim.

Katanya, UMT melalui tabung kebajikan dan tabung zakat telah menghulur bantuan RM1,000, barangan keperluan harian dan sebuah basilkal di rumah Nurul Shuhada di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, petang semalam (14 Mac).

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Nurul Shuhada anak kedua dari lapan beradik dan jarang bercerita masalah keluarga kepada orang termasuk pemergian ayah dan diikuti ibunya yang hanya selang sebulan pada tahun lalu, memberi kesan mendalam kepadanya kerana perlu menjaga enam adik yang masih kecil.

Hati Nurul sedikit terubat apabila neneknya Hajah Kembang Muhamad, 68, yang tinggal di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu kerap datang menjenguk mereka terutama pada hari bersekolah.

Arwah bapanya, Abdul Razak Salleh bekerja sendiri meninggal dalam tidur pada Mei tahun lalu manakala arwah ibunya Rohani Mamat pula seorang suri rumah terjatuh di bilik air sebelum sakit dan disahkan meninggal dunia sebulan kemudian.

Mereka adik-beradik enggan berpisah dan tinggal di rumah peninggalan arwah iaitu Mohd Supian, 26, bekerja di kedai makan; Mohd Syafarin, 23, orang kurang upaya (OKU); Mohd Shafik, 22, pelajar Politeknik Sultan Mizan, Dungun; Nurul Hidayah, 21, penuntut di Kolej Teknologi Bestari (KTB ) Setiu; Mohd Syazwan, 16, di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu dan Mohd Shahril, 10 serta Mohd Zulkifli, 8, pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Jiring.

Sementara itu YB Haji Muhammad Ramli sedang berbincang dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk melihat bentuk bantuan yang diperlukan dan setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan bulanan RM300.