Halaman

13 March 2011

Kedai runcit dan bengkel automotif dipermodenkan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan memperkenalkan dua program iaitu ‘Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan Pemodenan Bengkel Automotif (Atom) untuk memodenkan peruncit dan pengusaha bengkel di negeri ini.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, program Tukar bertujuan memodenkan pekedai runcit tradisional serta meningkatkan daya saing dalam persekitaran peruncitan yang kompetitif.

Manakala di bawah program Atom untuk mentransformasikan sektor perkhidmatan dan pembaikan automotif yang bertaburan dan tidak tersusun.

“Program ini memberi penekanan kepada peruncit dan pengusaha bengkel yang memenuhi syarat kelayakkan yang ditetapkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKK),” katanya.

Katanya, kementerian menetapkan kuota untuk PPDNKK melaksanakan 28 premis Tukar dan 16 premis Atom dan tiga pihak terbabit dalam program ini ialah PPDNKK (pemudahcara), Mydin/Carrefour (konsultan) dan Bank Rakyat (pembiaya).

“Proses pelaksanaan akan melalui lima fasa iaitu pemilihan premis/peserta; cadangan ubahsuai/kajian; semakan kedudukan kewangan premis, pemilihan premis yang layak dan akhirnya keputusan mesyuarat pelaksana,” katanya.

Menurutnya, setiap peserta yang berjaya, layak mendapat pinjaman antara RM20,000 hingga RM75,000 daripada Bank Rakyat dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun.

“PPDNKK akan berusaha mencapai matlamat melalui kuota yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada Jun depan,” katanya.

Setakat ini katanya, prestasi program sudah 25 peratus siap dan mendapat maklum balas 46 premis peruncit dan 31 premis bengkel seluruh negeri dan pemilihan akan dibuat pada akhir bulan ini.

“Walaupun mendapat sambutan tinggi dari peruncit dan pemilik bengkel berbanding kuota yang ditetapkan, hanya peserta yang benar-benar memenuhi syarat sahaja akan diberi keutamaan,” katanya.