Halaman

18 March 2011

Festival Kenyir hidang aktiviti menarik

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia, Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Festival Kenyir selama lima hari dengan menyediakan pelbagai acara menarik bermula 8 April depan.

Pengurus Besar Ketengah, Encik Hamzah Ngah berkata festival yang diadakan sempena ulang tahun ke-38 Ketengah itu sebagai langkah awal persiapan Tasik Kenyir untuk menjadi kawasan bebas cukai pada tahun depan.
Katanya, festival yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga bertujuan mempromosikan lagi Tasik Kenyir dengan pengenalan produk-produk baru.

"Produk yang terdapat di pusat pelancongan terkemuka itu seperti Kenyir Island Hopping melibatkan pulau-pulau yang dibangunkan dengan Taman Rama-rama, Taman Herba, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Buah-buahan Tropika," katanya.

Antara acara menarik yang akan diadakan sepanjang festival itu termasuk pertandingan perahu naga, pertandingan Muay Thai, kejohanan jet ski, International Kenyir Lake Triathlon, pertandingan bot kawalan jauh, pertandingan motosikal dan kereta klasik, dan pertandingan ayam serama.

Encik Hamzah berkata, krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal Upin dan Ipin juga akan diundang untuk memeriahkan festival berkenaan sebagai tarikan pengunjung kanak-kanak selain pertandingan mewarna.

"Sebanyak 70 gerai pameran juga disediakan kepada pengunjung yang akan disertai oleh usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana, agensi kerajaan dan swasta," katanya.

Katanya, festival itu dijangka dihadiri oleh 20,000 pengunjung dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said.