Mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, menasihatkan semua wakil rakyat dan kepimpinan Umno bahagian yang tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang, supaya terus bekerja untuk parti keramat itu, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, sebagai pekerja parti, mereka perlu mendahulukan maruah dan kepentingan parti melebihi daripada maruah peribadi masing-masing bagi menterjemahkan seruan transformasi politik Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pada masa yang sama, Ketua Umno bahagian Besut itu turut mengingatkan semua pemimpin Umno negeri ini bahawa jawatan mereka dalam parti bukan tiket untuk laluan sebagai calon, sebaliknya jika tidak terpilih, mereka perlu bekerja bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih pucuk Presiden parti.
Ingatan ini sepatutnya disematkan di fikiran setiap pemimpin Umno sama ada di peringkat bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda mahu pun Puteri. Kita tidak mahu sejarah pahit berulang disebabkan kealpaan pemimpin berebut untuk menjadi calon.
Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi pastinya kita mahu parti Umno yang menunjangi BN terus menerajui pemerintahan negeri ini.
Dalam hal ini sikap “Biar putih tulang, jangan putih mata” tidak sepatutnya ada pada diri pemimpin Umno di semua peringkat.
Jika sikap ini dibiarkan tertanam dalam diri, tidak mustahil parti dan BN akan berputih mata selepas Pilihan Raya Umum ke-13, nanti.
Oleh itu, pesanan Dato’ Seri Idris seperti dalam laporan akhbar Berita Harian hari ini, tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu menjadi pegangan setiap pemimpin Umno.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam ucapan beliau di majlis-majlis yang diadakan di seluruh negeri juga tidak jemu-jemu memberi pesanan yang sama, “Adat orang berkampung, kampung dipertahankan. Adat orang bernegeri, negeri akan dipertahankan,”.
Rakyat Terengganu sudah merasai pelbagai kepayahan sewaktu berada di bawah pemerintahan Pas, sebelum ini.
Justeru itu, pemimpin Umno perlu menunjukkan pengorbanan mereka agar mereka sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang bermaruah dan berprinsip.
Pemimpin Umno tidak perlu menjadi ‘duri dalam daging’ kerana jika negeri ini terlepas ke tangan pembangkang, sudah pasti mereka akan dikutuk oleh rakyat jelata.