Halaman

19 March 2011

Resolusi martabatkan bahasa Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman


Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011.

Tujuh resolusi dicapai sempena Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011 , baru-baru ini, dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan.

Presiden Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Profesor Madya Dr Hashim Othman berkata seminar anjuran PPBM Cawangan Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran Terengganu itu memberi fokus kepada penambahbaikan dasar bahasa dan pembudayaan bahasa Melayu itu sendiri.
Katanya, resolusi turut meminta kerajaan mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar untuk semua mata pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam.

“Kementerian Pelajaran juga perlu mengadakan bengkel dan kursus secara berterusan agar pembelajaran bahasa Melayu yang memikat dapat direalisasikan pada peringkat sekolah rendah dan menengah serta melatih kemahiran bahasa Melayu tinggi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Selain itu, Kementerian Pelajaran juga perlu menyediakan Latihan Dalam Perkhidmatan kepada guru bagi membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi di samping menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga diminta menggerakkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit buku ilmu dan menyokong kuat kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dalam mengimport ilmu melalui terjemahan.

Malah, usaha menerbitkan perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu perlu dilakukan manakala seni dipergiatkan bagi mengembangkan budaya belajar melalui wahana teknologi maklumat dan komunikasi.

Bagi menjayakan resolusi itu, Dr Hashim berkata, pemimpin terutamanya wakil rakyat dan pegawai kerajaan perlu menguasai dan menggunakan bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi.

“Kerajaan juga diharap dapat mengiktiraf PPBMM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong dan membantu usaha positif kerajaan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan pakar bahasa Melayu tempatan dan dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan China pada seminar tiga hari bermula Isnin lalu itu.

Seminar yang pertama kali dianjurkan di Terengganu disertai 250 peserta dari tiga negara iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia.