“Rakyat hari ini sudah pandai membuat keputusan sama ada untuk memilih parti yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan mereka atau sebaliknya.
“Ini sudah terbukti apabila Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau baru ini-ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Katanya, senario itu juga membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Saya percaya BN Terengganu akan memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang.
“Pelbagai bantuan sudah diagihkan kepada rakyat termasuk bantuan pendidikan, kebajikan dan sebagainya. InsyaAllah, rakyat akan bijak memilih,” katanya ketika berucap di Majlis Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, di Dewan Majlis Daerah Dungun, semalam (12 Mac).
Menurutnya, rakyat sudah beri percubaan kepada Pas pada 1999, tapi malangnya parti itu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Umno sentiasa bersedia berjuang untuk mempertahankan hak rakyat, tetapi Pas hanya untuk kepentingan diri sendiri selain untuk memperoleh kemenangan pilihan raya.
“Kekuatan Umno hari ini adalah hasil sokongan dan bantuan kerajaan pusat yang sentiasa prihatin mengenai apa jua masalah,” katanya.
Katanya, sebelum lahir lagi, seseorang insan itu sudah mendapat bantuan daripada kerajaan termasuk penjagaan rapi dari Klinik Desa atau Klinik Kesihatan berhampiran kediaman masing-masing.
“Jika ada mana-mana individu mendakwa tidak pernah mendapat bantuan, ia adalah satu perbohongan besar,” katanya.
Menurutnya, pembangunan untuk rakayat akan diteruskan semata-mata untuk keselesaan dan menjana ekonomi Terengganu.