Halaman

14 March 2011

Kerajaan beri subsidi barangan RM10.32 bilion

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan telah memberi subsidi RM10.32 bilion ke atas tujuh barangan kegunaan harian rakyat di negara ini sepanjang tahun lalu semata-mata untuk memastikan harga barangan berkenaan sentiasa terkawal dan stabil.

Antara barangan tersebut termasuklah Gula (RM789 juta), Tepung Gandum (RM89 juta), Minyak Masak (RM813 juta), Beras ST15 (RM486 juta), Petrol RON95 (RM3.13 bilion) Diesel (RM3.59 bilion) dan LPG (RM1.43 bilion).

Demikian kata Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepunggunaan Negeri Terengganu (PPDNKK), Encik Abdul Ghani Harun di majlis Taklimat Tribunal Tuntutan Pengguna kepada penjawat awam, di Wisma Darul Iman.

Beliau juga menarik perhatian pengguna supaya mempunyai kesedaran mengkritik tentang mutu, nilai sesuatu barangan dan perkhidmatan serta bertindak dengan penuh tanggung jawab sosial.

“Satu pengguna satu suara di mana pengguna mampu mempengaruhi dan menentukan harga serta penawaran barangan dalam pasaran yang kompleks,” katanya.

Katanya, pengguna juga berkuasa memastikan penipuan, penyelewengan dan penindasan oleh peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya melalui peningkatan pengetahuan, memperkuatkan jati diri dan mengamalkan hak mereka sebagai pengguna.

“Terdapat lapan perkara yang menjadi ‘hak’ pengguna termasuklah untuk mendapat keperluan asas, membuat pilihan, mendapat maklumat, ganti rugi, perkhidmatan, barangan yang selamat,menyuarakan pendapat , pendidikan dan mendapatkan alam sekitar yang bersih dan selamat,” katanya.

Katanya, pengguna perlu bertindak secara bersepadu dalam menuntut hak dan bergerak seiring secara efektif serta mewakil satu golongan yang kuat dan disegani tanpa mengira latar belakang.