Halaman

16 April 2011

Kakitangan Kemas perlu cemerlang

Oleh: Suriati Ali

Kakitangan Kemas perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kekuatan kerajaan meneruskan kelangsungan pembangunan negara mencapai matlamatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap yang juga Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Asha’ari Idris berkata, sebagai tonggak kepada kerajaan, warga kemas perlu menunjukkan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang supaya menepati kehendak kerajaan.

Katanya, dengan pelbagai perubahan yang dilakukan secara mendadak terutama dari aspek politik dan sosial, kakitangan Kemas disarankan tidak mudah keliru dan sentiasa terbuka dalam menerima sesuatu perkara.

“Seboleh-bolehnnya tugas mendidik anak bangsa di peringkat tadika akan peneraju dalam membentuk sahsiah dan keperibadian kanak-kanak selain tugasan sampingan yang dipertanggungjawabkan.

“Setiap perubahan perlu diterima secara terbuka termasuk sedia berkhidmat memastikan hasrat dan cita-cita pucuk pimpinan negara dapat disampaikan kepada semua generasi,” katanya.

Menurutnya, selain membantu kerajaan melaksanakan agenda yang dtetapkan, kakitangan Kemas juga perlu memastikan semangat perpaduan terus terjalin di semua peringkat bagi mengukuhkan kekuatan dan peranan orang Melayu.

“Perkara ini cukup penting bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku di negara kita khususnya di Terengganu. Ibarat kata pepatah `jangan menang sorak kampung tergadai,” katanya.





Pasar Bukit Tunggal kekalkan suasana harmoni

Oleh: Suriati Ali

Harga berpatutan dan sikap peramah yang ditonjolkan peniaga Pasar Bukit Tunggal, Kuala Nerus berjaya menambat hati ratusan pelanggan supaya terus `melekat’ dan menjadi pelanggan setia.

Walaupun deretan gerai yang disewa dengan pemilik persendirian itu berdekatan dengan jalan raya, ia tidak menjadi halangan kepada pelangggan untuk mencari pelbagai barangan basah dan keperluan dapur seperti ikan, sayuran, ayam, daging dan sebagainya.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kebanyakan peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri daripada penduduk tempatan, mereka cukup peramah apabila disapa pelanggan.

Jika sayuran dan pelbagai jenis barang yang diperlukan pelanggan tiada atau sudah habis, mereka tidak `lokek’ mempromosi atau memberitahu barang yang diinginkan itu terdapat di gerai rakan.

Suasana itu cukup harmoni kerana tradisi kerjasama, saling membantu, sepakat dan tolong menolong masih wujud jika dibandingkan di pasar basah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Bukit Tunggal, Haji Mazalim Endut atau lebih dikenali sebagai Haji Mazlan berkata, hubungan erat antara peniaga masih wujud di pasar ini kerana mereka mempunyai niat sama iaitu mencari rezeki halal dan tidak mahu ada sifat dengki dan busuk hati.

Katanya, faktor itu membuatkan mereka ceria ketika berniaga, secara tidak langsung membuatkan pasar ini terus dikenali ramai dan mendapat sambutan menggalakkan pelanggan tempatan dan luar daerah.

“Saya harap peniaga di pasar basah ini terus mengekalkan tradisi saling maufakat seperti yang diamalkan ini kerana pelanggan cukup selesa dan mengemarinya,” katanya.





Inap desa dinaiktaraf

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu akan menaiktaraf kemudahan di enam inap desa atau homestay di Terengganu sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.

Pengarahnya, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata pihaknya akan memberi penekanan terhadap inap desa yang turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong pada tahun lalu dengan mencatatkan pertambahan sehingga 44.13 peratus.

Katanya, beberapa program dan perlaksanaan diwujudkan di inap desa antaranya pembangunan infrastruktur, kursus pemantapan komunikasi kepada pengusaha inap desa dan pelbagai aktiviti di luar Terengganu.

“Pihaknya sudah mempunyai peruntukan bagi tujuan pembangunan infrastruktur, tetapi buat masa sekarang tidak boleh diumumkan lagi,” katanya.

Menurutnya, pelancong domestik menunjukkan peningkatan ketara dengan pertambahan sebanyak 68 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

“Pelancong asing pula menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus pada tempoh sama mungkin disebabkan pelbagai krisis di luar negara dan bencana alam.

“Pihak kami akan mempergiatkan usaha dan promosi bagi mencapai matlamat 25 peratus lagi jumlah pelancongan pada tahun ini. Antaranya termasuk membawa masuk lebih ramai pelancong Brunei dan Korea dengan menjelaskan kelebihan jika tinggal di inap desa,” katanya.

Berdasarkan perangkaan, pelancong dari Indonesia, Singapura, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Belanda mencatat jumlah yang paling tinggi mengunjungi negeri ini.




Taraf pendidikan tinggi bukan kriteria utama pemilihan calon PRU 13

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak meletakkan taraf pendidikan tinggi sebagai kriteria utama pemilihan calon-calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -13 nanti.

Bagaimanapun, calon berkenaan perlulah di kalangan mereka yang mudah membawa diri dan disenangi oleh penduduk setempat walaupun hanya memiliki tahap pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) .

“Walau ada PhD pun tidak guna juga, sesetengah (wakil rakyat) itu ada SPM pun kalau pandai bawa diri, boleh diterima oleh rakyat. Itu lebih utama,” kata beliau ketika ditanya mengenai calon PRU ke -13, pada ketika sidang media, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Dato’ Seri Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata setiap pemimpin yang mahu menjadi calon juga tidak boleh bersikap seperti peraih durian yang hanya muncul mengikut musim buah berkenaan membuahkan hasil sahaja.

“Kita mahu calon yang bukan seperti `tok peraih’ durian, musim berbunga dia datang, lepas berbuah dia lari balik semua. Lepas itu musim bunga dia datang balik.

“Calon ini perlulah orang yang sudah berkhidmat dalam tempoh yang lama, kenal hati budi, kenal rakyat dan kenal tangga rumah orang, itu yang mustahak. Sebab itu, sekarang ini bukan soal kelayakan sahaja, tetapi mesra dengan pengundi itu paling utama,”katanya.

Menurutnya, sesetengah pengundi itu mempunyai kemampuan,, tetapi lebih bersikap mahu `bermanja’ dengan orang politik dan wakil rakyat. Jika tidak menghiraukan pengundi, walaupun kita memiliki Phd sekalipun, ia tidak akan memberi kesan pada PRU kelak.

Malah, beliau juga akan memastikan calon yang dicadangkan nanti mampu memberi kemenangan kepada parti dan bukan yang menjadi liabiliti kepada parti.

Katanya, pemilihan calon juga mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada unit Cawangan Khas Polis, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Jabatan Hal Ehwal Khas serta beberapa agensi lain.





Jangan beremosi negatif bila keluar mengundi

Oleh: Pencari Keadilan

Mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad menasihatkan rakyat Sarawak supaya bijak serta tidak terbawa-bawa dengan emosi apabla keluar mengundi hari ini.

Beliau menasihatkan pengundi di Bumi Kenyalang itu agar tidak terbawa-bawa dengan perasaan benci dan marah apabila keluar mengundi.

Mengikut laporan akhbar Berita Harian hari ini, Dr Mahathir berkata apabila kita marah, kita buat keputusan yang selalunya tidak baik.

Kenyataan mantan Perdana Menteri itu amat tepat sekali dan ‘terkena’ batang hidung ramai rakyat Terengganu apabila mereka cuba ‘mengubah selera’ pada Pilihan Raya Umum 1999.

Disebabkan terpengaruh dengan pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mereka mengundi calon parti pembangkang dan akhirnya Barisan Nasional (BN) kalah di Terengganu.

Pas mengambil alih pemerintahan negeri ini dari BN dan bermulah detik-detik hitam dengan peristiwa pemimpin Pas merampas bangunan Wisma Darul Iman, kereta Exco, balai raya serta dan dewan sivik.

Di bawah pemerintahan Pas, Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) bermaharajalela dan menghalau kanak-kanak dari kelaas Tadika.

Pemimpin Kerajaan Pas pula mengagihkan projek kerajaan kepada kroni mereka saja dan sanak saudara serta orang kanan parti diberi tanah tapak rumah dan pertanian.

Rakyat yang menyokong Pas tidak dibela nasib mereka dan tidak banyak pembangunan dilakukan di zaman pemerintahan parti itu.

Rakyat Terengganu pastinya masih ingat betapa peritnya mereka semasa berada di bawah pemerintahan Pas dan pesanan Dr Mahathir supaya rakyat bijak memilik kerajaan ini akan mereka ingat sampai bila-bila.

Tentunya rakyat Terengganu tidak akan biarkan ‘pisang berbuah dua kali’.



15 April 2011

Tindakan tegas MBKT jika ganggu kelancaran lalu lintas

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengguna kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati termasuk di tempat yang tidak sepatutnya sehingga mengganggu lalu lintas di bandar ini bakal berdepan dengan tindakan tegas daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Setiausaha MBKT, Haji Samiun Salleh, berkata tindakan tegas itu termasuk mengunci dan menunda kenderaan berkenaan sebagai usaha mendidik pengguna supaya lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, tindakan tegas itu lebih berkesan berbanding mengeluarkan saman kerana kebanyakan mereka yang menerima saman itu mampu membayar jumlah kompaun RM5 yang perlu dijelaskan dalam tempoh tiga hari ia dikeluarkan.

“MBKT perlu tegas bagi memastikan tiada aduan daripada pengguna lain yang tidak berpuas hati kerana berdepan dengan kesesakan akibat sikap pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati di tempat tidak sepatutnya.

“Mereka mendakwa seperti MBKT tidak menjalankan tugas penguatkuasaan dengan tegas dan kita perlu menguatkuasakan undang-undang bagi mengelak kesesakan terutama di kawasan tumpuan ramai di bandar ini,” katanya.

Haji Samiun berkata, antara lokasi yang diberi keutamaan adalah Jalan Pejabat, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Air Jernih dan kawasan parkir rezab di Bandar Kuala Terengganu.

Kenderaan pesalah yang dikunci bakal berdepan dengan kompaun sebanyak RM100, manakala jika ditunda akan dikenakan RM150 di bawah Seksyen 99 Akta 333 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, kenderaan yang ditunda perlu dituntut di Setor Balai Raya MBKT, Bukit Kecil selepas menjelaskan kompaun yang dikenakan. Jika gagal berbuat demikian, kenderaan itu berdepan dengan tindakan disita.




Persidangan Imac anjuran UniSZA

Oleh:Aida Abd Rahman

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menganjurkan Persidangan Pengurusan Antarabangsa (Imac) berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, esok (16 April).

Program dua hari di bawah Fakulti Pengurusan Perniagaan UniSZA itu bertujuan mewujudkan potensi kreatif di kalangan peserta yang boleh menyumbang ke arah pembangunan perniagaan yang berorientasikan inovatif.
Dalam kenyataan kepada media, program julung kali itu membawa tema `Inovasi dan Kreativiti dalam Pengurusan : Isu, Peluang dan Cabaran’.

Persidangan itu yang terbuka kepada umum itu bertepatan ketika negara dalam era peralihan menuju Model Baru Ekonomi (MEB).




Puteri Kemaman anjur Mini Karnival Sukan

Pelbagai acara sukaneka dan pertandingan bola jaring diadakan sempena Program Mini Karnival Sukan Puteri Umno Parlimen Kemaman, yang diadakan di Padang Astaka Cukai, hari ini.

Program anjuran bersama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Program tersebut bertujuan memberi peluang ahli-ahli pergerakan itu beriadah dan mengeratkan tali silaturahim antara mereka.

Sempena program itu juga Pergerakan Puteri Bahagian Kemaman mengambil kesempatan mendaftar ahli-ahlinya yang layak, sebagai pemilih bagi membolehkan mereka layak mengundi.

Menteri Besar dalam ucapan ringkasnya sewaktu merasmikan progam itu meminta ahli-ahli Puteri yang belum mendaftar sebagai pemilih supaya berbuat demikian secepat mungkin.



MB minta ibu bapa menabung untuk pendidikan anak-anak

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasek. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Ibu bapa di negeri ini diminta menabung sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membiayai pendidikan anak-anak, khususnya untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kebanyakan ibu bapa khususnya dari kalangan masyarakat Melayu tidak menabung untuk pendidikan anak-anak mereka.

“Orang Melayu akan minta bantuan kerajaan dan wakil rakyat setiap kali anak mereka masuk ke IPT. Ini berbeza dengan kaum Tionghua kerana mereka tidak pernah meminta bantuan wakil rakyat untuk membeli keperluan anak-anak ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasek, hari ini.

SMK merupakan sekolah terbaik di Terengganu bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT), Encik Roshali Taha.



Menteri Besar berkata, setiap kali musim kemasukan ke IPT, ibu bapa akan mengunjungi wakil rakyat di kawasan mereka untuk meminta bantuan kewangan bagi membeli keperluan anak-anak mereka memasuki IPT.

Beliau berkata, keadaan itu tidak akan berlaku jika ibu bapa menanbung sejak awal lagi bagi menyediakan bantuan kewangan untuk anak-anak mereka.



“Kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan kewangan untuk kemasukan ke IPT, tetapi ibu bapa masih lagi meminta daripada wakil rakyat,” katanya.

Katanya, sikap terlalu begantung kepada kerajaan dan wakil rakyat perlu dihapuskan dan masyarakat sepatutnya boleh berdikari dengan segala bantuan yang telah dicurahkan oleh kerajaan.

Sebagai ‘buah tangan’ kepada kejayaan sekolah tersebut muncul sekolah terbaik SPM2010, Menteri Besar meluluskan permintaan pihak sekolah untuk mendapatkan sebuah bas bagi kegunaan pelajar.



UCAPAN PENUH Y.B. DATO’ HAJI MAZLAN BIN NGAH, SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU

PADA MAJLIS PERASMIAN “ EXECUTIVE TALK “ BERSAMA PEGAWAI TADBIR NEGERI DAN KETUA-KETUA JABATAN NEGERI TERENGGANU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis “Bicara Eksekutif” bersama Pegawai-pegawai Tadbir Negeri dan Ketua-ketua Jabatan di Negeri Terengganu.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan pembangunan Negeri Terengganu.

Tanpa usaha gigih serta kerjasama padu daripada semua pihak dalam mengharungi cabaran dan rintangan di zaman yang penuh pancaroba ini, tidak mungkin kita akan sampai pada tahap yang sedang dan telah kita kecapi sekarang ini.

Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap, amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negeri. Usaha-usaha penambahbaikan yang telah terlaksana perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi bagi memenuhi ekspektasi rakyat.

Agensi Kerajaan perlu merancang dengan lebih rapi, dan teliti dalam menyediakan perkhidmatan terbaik berpandukan kepada dasar dan hala tuju yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pelaksanaan dasar dan hala tuju kerajaan yang cekap dan berkualiti sekaligus mencerminkan tadbir urus yang baik bagi sesebuah Jabatan dalam setiap pelaksanaan tugas dan tanggungjawabnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tadbir urus yang baik merupakan suatu proses, bermula dengan perancangan yang teliti, seterusnya pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan organisasi yang cekap, berkesan, adil dan saksama, telus, beramanah, berakauntabiliti dan berintegriti.

Pelaksanaan berkesan itu hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan stakeholders.

Penyelarasan antara jabatan amat penting bagi mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan oleh kerajaan di dalam pentadbiran dan pembangunan. Bagi mencapai matlamat tersebut, semua penjawat awam, khususnya di peringkat pengurusan atasan perlu memahami secara mendalam apa yang sepatutnya dilaksanakan bagi mencapai matlamat pembuat dasar.

Kita sebagai badan pelaksana dasar yang melaksanakan pelbagai program, tidak dapat lari daripada tanggungjawab dan akur kepada kehendak stakeholders terutamanya rakyat. Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, khususnya kepada penjawat awam, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat. Penjawat awam perlu memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat.

Ini kerana, sebab musabab kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Jika kita ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

Justeru itu, kita hendaklah menekankan budaya empati dalam perkhidmatan agar penyelesaian yang kita capai bagi setiap masaalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

Yang paling penting, penjawat awam perlu memahami denyut nadi rakyat dan berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gelana sebenar kehidupan seharian rakyat sebagaimana penekanan oleh Y.A.B Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dalam agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Oleh itu, tunjangkan dan tampilkanlah penjawat-penjawat awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi.

Dalam memberikan perkhidmatan, idealogi dan cara pendekatan kita mungkin berbeza, tetapi kita perlu berpegang dengan prinsip profesional dan berintegriti dalam kerjaya masing-masing.

Masyarakat sentiasa menuntut kita menunjukkan nilai-nilai yang terbaik. Mereka mengharapkan kita mengamalkan integriti paling tinggi. Tiada tempat dalam perkhidmatan awam ataupun agensi lain bagi mereka yang tidak berintegriti. Jangan mengambil jalan mudah untuk mengumpul kekayaan dengan menggunakan kaedah yang tidak sepatutnya.

Namun demikian, integriti bukan bermaksud penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa semata-mata. Integriti sangat komprehensif dan meluas. Integriti dalam pengurusan masa, integriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam membuat keputusan, integriti dalam komunikasi dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan pelanggan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tahun-tahun mendatang negara memerlukan komitmen daripada ketua jabatan untuk melakukan “Transformasi Minda”. Transformasi ini menuntut kita supaya beralih dari paradigma lama, bagi membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan penciptaan serta pemerkasaan intelektual dan profesionalisme.

Budaya lapuk perlu dipinggirkan sambil meneroka bidang-bidang baru melalui kekuatan iltizam dan perubahan dalam cara berfikir dan bertindak. Dalam menongkah arus transformasi, cabaran yang kita hadapi pada masa ini amat berat, khususnya dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang bersepadu dan meningkatkan prestasi secara menyeluruh. Akan tetapi, ia bukanlah satu alasan untuk kita berputus asa sedangkan warga perkhidmatan awam telah dibekalkan dengan kelengkapan yang mencukupi untuk menghadapi cabaran ini.

Untuk lebih cemerlang, budaya pemikiran ini perlu diberikan nafas baru, dengan mengamalkan budaya pemikiran secara produktif supaya dapat menghasilkan idea-idea yang baru yang lebih inovatif berbanding dengan hanya memberikan fokus penambahbaikan idea-idea lama, yang mungkin tidak dapat bertahan apabila berdepan dengan arus perubahan yang mencabar.

Pengamalan budaya pemikiran secara kreatif dan inovatif akan membuka ruang-ruang baru, serta akan dapat menjayakan agenda transformasi perkhidmatan. Sekiranya momentum ini dapat digandakan, saya percaya agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu akan tercapai.

Anggota-anggota perkhidmatan awam perlu menyedari bahawa perkhidmatan kita merupakan agen perubahan dan keupayaan untuk membawa perubahan ini. Perubahan hanya boleh dibuktikan dengan pemikiran yang kreatif dan bersifat inovatif. Selain melalui kursus bagi peningkatan ilmu, penyediaan suasana persekitaran dan cara kerja yang kondusif menggalakkan keupayaan berfikir secara strategik, perlu diberi keutamaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan saya, saya menggesa kepada semua supaya bekerja ke arah untuk menjelmakan apa yang Kerajaan Negeri cita-citakan. Marilah kita berusaha menyemarakkan budaya kerja berprestasi tinggi serta berusaha gigih membangunkan sahsiah dan kualiti kerja kita ke tahap yang optimum bagi mencapai kehendak “Stake Holder”.

Harapan saya selaku Ketua Pentadbir Peringkat Negeri Terengganu, marilah kita bersama-sama:

‘Kombinasikan segala sumber yang ada’ ‘Rancangkan proses yang tersusun’ ‘Laksanakan program seikhlas hati demi mencapai matlamat bersama’

Sekali lagi saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua peserta program “Bicara Eksekutif” bersama Pegawai-pegawai Tadbir Negeri dan Ketua-ketua Jabatan di Negeri Terengganu.

Sekian, Wabillahitaufiq walhidayah
Wassallamualikum warahmatullahi wabarakatuh.