Halaman

15 April 2011

UCAPAN PENUH Y.B. DATO’ HAJI MAZLAN BIN NGAH, SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU

PADA MAJLIS PERASMIAN “ EXECUTIVE TALK “ BERSAMA PEGAWAI TADBIR NEGERI DAN KETUA-KETUA JABATAN NEGERI TERENGGANU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis “Bicara Eksekutif” bersama Pegawai-pegawai Tadbir Negeri dan Ketua-ketua Jabatan di Negeri Terengganu.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan pembangunan Negeri Terengganu.

Tanpa usaha gigih serta kerjasama padu daripada semua pihak dalam mengharungi cabaran dan rintangan di zaman yang penuh pancaroba ini, tidak mungkin kita akan sampai pada tahap yang sedang dan telah kita kecapi sekarang ini.

Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap, amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negeri. Usaha-usaha penambahbaikan yang telah terlaksana perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi bagi memenuhi ekspektasi rakyat.

Agensi Kerajaan perlu merancang dengan lebih rapi, dan teliti dalam menyediakan perkhidmatan terbaik berpandukan kepada dasar dan hala tuju yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pelaksanaan dasar dan hala tuju kerajaan yang cekap dan berkualiti sekaligus mencerminkan tadbir urus yang baik bagi sesebuah Jabatan dalam setiap pelaksanaan tugas dan tanggungjawabnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tadbir urus yang baik merupakan suatu proses, bermula dengan perancangan yang teliti, seterusnya pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan organisasi yang cekap, berkesan, adil dan saksama, telus, beramanah, berakauntabiliti dan berintegriti.

Pelaksanaan berkesan itu hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan stakeholders.

Penyelarasan antara jabatan amat penting bagi mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan oleh kerajaan di dalam pentadbiran dan pembangunan. Bagi mencapai matlamat tersebut, semua penjawat awam, khususnya di peringkat pengurusan atasan perlu memahami secara mendalam apa yang sepatutnya dilaksanakan bagi mencapai matlamat pembuat dasar.

Kita sebagai badan pelaksana dasar yang melaksanakan pelbagai program, tidak dapat lari daripada tanggungjawab dan akur kepada kehendak stakeholders terutamanya rakyat. Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, khususnya kepada penjawat awam, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat. Penjawat awam perlu memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat.

Ini kerana, sebab musabab kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Jika kita ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

Justeru itu, kita hendaklah menekankan budaya empati dalam perkhidmatan agar penyelesaian yang kita capai bagi setiap masaalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

Yang paling penting, penjawat awam perlu memahami denyut nadi rakyat dan berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gelana sebenar kehidupan seharian rakyat sebagaimana penekanan oleh Y.A.B Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dalam agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Oleh itu, tunjangkan dan tampilkanlah penjawat-penjawat awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi.

Dalam memberikan perkhidmatan, idealogi dan cara pendekatan kita mungkin berbeza, tetapi kita perlu berpegang dengan prinsip profesional dan berintegriti dalam kerjaya masing-masing.

Masyarakat sentiasa menuntut kita menunjukkan nilai-nilai yang terbaik. Mereka mengharapkan kita mengamalkan integriti paling tinggi. Tiada tempat dalam perkhidmatan awam ataupun agensi lain bagi mereka yang tidak berintegriti. Jangan mengambil jalan mudah untuk mengumpul kekayaan dengan menggunakan kaedah yang tidak sepatutnya.

Namun demikian, integriti bukan bermaksud penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa semata-mata. Integriti sangat komprehensif dan meluas. Integriti dalam pengurusan masa, integriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam membuat keputusan, integriti dalam komunikasi dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan pelanggan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tahun-tahun mendatang negara memerlukan komitmen daripada ketua jabatan untuk melakukan “Transformasi Minda”. Transformasi ini menuntut kita supaya beralih dari paradigma lama, bagi membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan penciptaan serta pemerkasaan intelektual dan profesionalisme.

Budaya lapuk perlu dipinggirkan sambil meneroka bidang-bidang baru melalui kekuatan iltizam dan perubahan dalam cara berfikir dan bertindak. Dalam menongkah arus transformasi, cabaran yang kita hadapi pada masa ini amat berat, khususnya dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang bersepadu dan meningkatkan prestasi secara menyeluruh. Akan tetapi, ia bukanlah satu alasan untuk kita berputus asa sedangkan warga perkhidmatan awam telah dibekalkan dengan kelengkapan yang mencukupi untuk menghadapi cabaran ini.

Untuk lebih cemerlang, budaya pemikiran ini perlu diberikan nafas baru, dengan mengamalkan budaya pemikiran secara produktif supaya dapat menghasilkan idea-idea yang baru yang lebih inovatif berbanding dengan hanya memberikan fokus penambahbaikan idea-idea lama, yang mungkin tidak dapat bertahan apabila berdepan dengan arus perubahan yang mencabar.

Pengamalan budaya pemikiran secara kreatif dan inovatif akan membuka ruang-ruang baru, serta akan dapat menjayakan agenda transformasi perkhidmatan. Sekiranya momentum ini dapat digandakan, saya percaya agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu akan tercapai.

Anggota-anggota perkhidmatan awam perlu menyedari bahawa perkhidmatan kita merupakan agen perubahan dan keupayaan untuk membawa perubahan ini. Perubahan hanya boleh dibuktikan dengan pemikiran yang kreatif dan bersifat inovatif. Selain melalui kursus bagi peningkatan ilmu, penyediaan suasana persekitaran dan cara kerja yang kondusif menggalakkan keupayaan berfikir secara strategik, perlu diberi keutamaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan saya, saya menggesa kepada semua supaya bekerja ke arah untuk menjelmakan apa yang Kerajaan Negeri cita-citakan. Marilah kita berusaha menyemarakkan budaya kerja berprestasi tinggi serta berusaha gigih membangunkan sahsiah dan kualiti kerja kita ke tahap yang optimum bagi mencapai kehendak “Stake Holder”.

Harapan saya selaku Ketua Pentadbir Peringkat Negeri Terengganu, marilah kita bersama-sama:

‘Kombinasikan segala sumber yang ada’ ‘Rancangkan proses yang tersusun’ ‘Laksanakan program seikhlas hati demi mencapai matlamat bersama’

Sekali lagi saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua peserta program “Bicara Eksekutif” bersama Pegawai-pegawai Tadbir Negeri dan Ketua-ketua Jabatan di Negeri Terengganu.

Sekian, Wabillahitaufiq walhidayah
Wassallamualikum warahmatullahi wabarakatuh.