Menteri Besar berbincang sesuatu dengan pegawai kanan kerajaan sebaik tiba untuk merasmikan Program Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan Pegawai Tadbir Negeri dan Ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, Kemaman. - Foto: Syed Abdul Rahman.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan selaku pembuat dasar tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya jika kehendaknya tidak dapat diterjemahkan dengan baik oleh penjawat awam.
Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya peka dengan tuntutan semasa kerajaan negeri yang sudah pasti menjurus ke arah kehendak kempimpinan negara (Kerajaan Pusat).
“Sebagai pegawai, kita lebih berkemampuan menyelesaikan masalah kerana kita adalah sistem yang memiliki kemampuan tersebut. Sebab itulah umum menggelar kita sebagai jentera kerajaan...kita mampu merubah keadaan sama ada dalam memperkasakan pentadbiran atau mensejahterakan rakyat, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena program Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan Pegawai Tadbir Negeri dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Timbalannya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Menteri Besar berkata, tuntutan global sekarang ini memerlukan kakitangan kerajaan yang komited terhadap tugas masing-masing dan pengalaman kerja mereka perlu digembelingkan agar dapat melonjakkan produktiviti kerja semaksimum mungkin.
“Sebagai jentera pelaksana, pentadbiran kerajaan mesti kemas, kukuh dan tegas. Tetapi, ketegasan kita janganlah sampai menghakis kemesraan kepada rakyat kerana ramai yang bergantung kepada perkhidmatan yang kita berikan,” katanya.
Beliau berkata, tugas penjawat awam adalah untuk mencelikkan rakyat supaya mereka tahu betapa besarnya usaha kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat agar timbul rasa kesyukuran.
Menteri Besar meminta penjawat awam supaya memberi kerjasama yang sebaik mungkin kepada kerajaan semasa dan akan datang.