Halaman

11 April 2011

Isu jam omega – Kenapa Anwar perlu melenting ?

Oleh: Pencari Keadilan

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berang dan ‘naik minyak’ apabila ditanya oleh wartawan mengenai jam tangan Omega yang dikaitkan dengan video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuching, semalam, beliau telah menyalahkan pihak media kerana mengemukakan soalan panas itu dan menyifatkannya tidak ada kaitan dengan sidang akhbar yang diadakan.

Pemimpin pembangkang yang memasang angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri itu tidak sepatutnya bersikap kasar dengan wartawan yang hanya menjalankan tugas mereka untuk mencari kebenaran.

Jika betul beliau tidak terlibat dengan isu video seks itu, tunjukkanlah sahaja jam tangan Omega miliknya yang didakwa berada dalam simpanan keluarga beliau, supaya isu itu terus berakhir.

Jangan pula kerana hendak menyembunyikan kebenaran, pemimpin pembangkang itu melepaskan geramnya kepada wartawan yang semata-mata bertugas melaporkan berita benar, sahih dan tepat mengikut Etika Kewartawanan, supaya rakyat tahu peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Banyak pihak sudah meminta Anwar supaya membuktikan beliau tidak terlibat dengan isu video berkenaan dengan cara menunjukkan bukti jam Omega yang ditemui bersama-sama dengan pelacur berkenaan, bukan milik beliau.

Malah, ada pihak yang meminta supaya beliau membuat pengakuan secara bersumpah bagi membersihkan namanya dan membuktikan dia tidak terlibat dengan perlakuan keji tersebut.

Malangnya sehingga kini, beliau masih gagal melakukan kedua-dua saranan itu, sebaliknya terus mengelak dan berdolak dalik apabila diaju wartawan dengan persoalan itu.

Nampaknya Anwar mengalih tumpuan daripada membicarakan soal video seks dan jam Omega yang dikaitkan dengan isu tersebut, sebaliknya ‘menyerang’ Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya di Sarawak.

Begitulah, sikap pemimpin pembangkang itu yang suka berdolak dalik dan tidak mahu mengambil tindakan ‘gentleman’ bagi membuktikan beliau tidak bersalah. Sampai bila beliau mahu bersikap begini?

Pastinya rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Sarawak sudah kenal siapa Anwar Ibrahim...