Golongan belia adalah diharapkan menjadi pendukung pembudayaan integriti.
Golongan belia di negeri ini diminta supaya tidak terpengaruh dengan berita-berita negatif mengenai pemimpin-pemimpin kerajaan yang disalurkan melalui media baru anti-kerajaan.
Sebaliknya, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, meminta golongan belia menapis terlebih dahulu maklumat yang diterima, agar mereka tidak dikelirukan oleh golongan yang mahu menjatuhkan pemimpin kerajaan.
“Golongan pembangkang memang berniat buruk dan sentiasa berusaha untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan melalui media baru yang pro kepada perjuangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pelbagai acara sempena Program Sukan Ria Bersama Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) peringkat DUN Rhu Rendang di Kampung Kijing, baru-baru ini.
Antara acara yang diadakan termasuk bolasepak pantai, pertandingan mewarna kaum ibu dan sukan rakyat. Program itu diadakan khusus bagi merapatkan hubungan silaturahim antara belia di kawasan DUN berkenaan.
Haji Nik Dir berkata, golongan belia perlu bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka termasuk Dana Bakti Remaja pada setiap tahun.
“Kerajaan juga menyediakan kemudahan sukan dan riadah seperti gelanggang rakyat di mana setiap DUN dibina dua gelanggang untuk remaja bersukan,” tambahnya.
Beliau berharap golongan belia akan mendaftar sebagai pemilih apabila mereka layak berbuat demikian dan memilih pemimpin yang mampu membela nasib mereka apabila tiba hari mengundi.