Halaman

12 April 2011

MRSM KT perkenal program khidmat masyarakat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu memperkenalkan program khidmat masyarakat bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar di beberapa sekolah berhampiran maktab berkenaan, sejak bulan lalu.

Bagi tujuan itu, 50 pelajar dari lima buah sekolah menengah dipilih mengikuti tuisyen secara percuma yang diadakan di maktab berkenaan pada setiap hari Sabtu sebulan sekali.

Pelajar berkenaan ditempatkan dalam dua kelas manakala tiga mata pelajaran kritikal diajar kepada mereka iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Pengetua MRSM Kuala Terengganu, Encik Mohamad Ali Mohamad, berkata lima sekolah yang dipilih menyertai program itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Mengabang Telipot, SMK Kompleks Gong Badak, SMK Sultan Mizan Zainal Abidin, SMK Batu Rakit dan SMK Padang Kemunting.

Beliau berkata, pihaknya berharap program tersebut yang dimulakan tahun ini akan mendekatkan warga MRSM Kuala Terengganu dengan masyarakat tempatan serta membantu meningkatkan mutu pembelajaran pelajar tersebut.