Halaman

11 April 2011

Didik generasi baru melalui ajaran al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Penghayatan melalui ajaran al-Quran dan al-Sunnah dilihat kriteria paling berkesan dalam usaha mendidik generasi baru menghayati keperluan dunia hari ini yang sentiasa mencabar selain mewujudkan benteng pertahanan diri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Muhammad Ramli Nuh, berkata pendekatan itu bukan sahaja mampu memperkukuhkan iman seseorang individu malah mengelak keadaan berpecah belah dalam masyarakat.

Katanya, didikan agama yang lemah dan tidak berpandukan kepada ajaran Islam yang sebenar menjadi punca mengapa masalah sosial berterusan berlaku di kalangan masyarakat hari ini walaupun pelbagai usaha membanteras dilaksanakan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Kita tidak mahu generasi muda dan belia terus hanyut pelbagai aktiviti yang merosakkan masa depan seperti terlibat dalam gejala penagihan dadah, merempit, kes rogol, samun, meragut dan sebagainya.

“Oleh itu, pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pemimpin setempat, Pihak Berkuasa Tempatan, pihak sekolah perlu tampil dan serius mengatasi masalah ini,” katanya ketika berucap di majlis ilmu, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian dan keagamaan sama ada di peringkat sekolah, kampung dan daerah perlu diperbanyakkan bertujuan melembutkan hati mereka supaya tidak terus sesat dengan aktiviti songsang.