Halaman

14 April 2011

SUK minta agensi kerajaan rancang pembangunan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Semua agensi kerajaan di negeri ini diarah supaya merancang projek pembangunan dengan lebih rapi, teliti dan selaras dengan hala tuju kerajaan negeri, bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada penduduk tempatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata setiap agensi kerajaan sama ada peringkat negeri mahu pun Pusat, perlu merujuk kepada Struktur Pembangunan Negeri dan Rancangan Kerajaan Tempatan, agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

“Saya dapati ada agensi kerajaan di negeri ini yang melaksanakan pembangunan jabatan mereka tidak mengikut Struktur Pembangunan Negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan pegawai tadbir dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negeri.

“Usaha-usaha penambahbaikan yang telah terlaksana juga perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi bagi memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, tadbir urus yang baik merupakan suatu proses, bermula dengan perancangan yang teliti, seterusnya pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan organisasi yang cekap, berkesan, adil dan saksama, telus, beramanah, berakauntabiliti dan berintegriti.

“Pelaksanaan berkesan itu hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan stakeholders,” katanya.

Justeru itu, katanya, penyelarasan antara jabatan amat penting bagi mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan oleh kerajaan di dalam pentadbiran dan pembangunan.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, semua penjawat awam, khususnya di peringkat pengurusan atasan perlu memahami secara mendalam apa yang sepatutnya dilaksanakan bagi mencapai matlamat pembuat dasar,” katanya.

Dato’ Mazlan berkata, sebagai badan pelaksana dasar yang melaksanakan pelbagai program, penjawat awam tidak dapat lari daripada tanggungjawab dan akur kepada kehendak stakeholders, terutamanya rakyat.

“Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, khususnya kepada penjawat awam, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat.

“Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Jika kita ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut,” ujarnya.