Halaman

14 April 2011

Pegawai tadbir negeri jadi penghubung kerajaan, rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sebarang arahan daripada kerajaan negeri dan pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bukan bertujuan menyusahkan ketua-ketua jabatan dan para pegawai tadbir negeri, sebaliknya ia bertujuan memantapkan jentera pentadbiran kerajaan.

Dalam hal ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pegawai tadbir negeri merupakan penghubung antara pentadbiran negeri dengan rakyat.

“Dalam suasana dunia yang makin mencabar, penjawat awam perlu begerak seiring dengan tuntutan semasa. Penjawat awam perlu pro-aktif, kreatif dan inovatif serta berkemampuan melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan kualiti pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama sempena program Bicara Eksekutif YAB Menteri Besar dengan Pegawai Tadbir Negeri dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Timbalannya, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Setiausaha Politik Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar berkata, warga pentadbiran kerajaan negeri perlu memiliki tenaga dan minda berwawasan yang boleh mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih cemerlang.

“Bagi sesebuah badan pentadbiran kerajaan negeri, kepuasan akan dapat dirasai oleh setiap tenaga warga kerja apabila kejayaan untuk membawa pembangunan yang dirancang sama ada kecil atau besar mencapai matlamat dan berkesan mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, setelah tiga tahun kerajaan negeri memperkenalkan pendekatan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (MPPNT)”, ramai penjawat awam sudah dapat mempertahankannya tanpa sebarang keraguan.

“Cabaran bagi penjawat awam kini melipatgandakan usaha untuk memperjelaskan pendekatan MPPNT kepada rakyat dengan cara yang berhemah supaya ia dapat diyakini dan difahami oleh rakyat,” katanya.