Halaman

11 April 2011

Program ETA dapat pujian, diiktiraf duta

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis, yang diiringi Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Lembah Bidong baru-baru ini.

Program English Teaching Assitant (ETA) yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini sejak 2006 mula mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, termasuk Duta Amerika Syarikat.

Program tersebut bukan saja mampu meningkatkan penguasaan pelajar sekolah menengah di negeri ini, malah membantu melonjakkan Terengganu dalam pelbagai peperiksaan awam sejak kebelakangan ini.

Teganukita difahamkan, melalui konsep pembelajaran ETA, pelajar kini lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa tersebut.

Melalui program itu, 10 hingga 12 sekolah menengah di negeri ini dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis, yang diiringi Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Lembah Bidong, bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai program berkenaan.

Berdasarkan taklimat mengenai program berkenaan, Dato’ Seri Jamaluddin melahirkan rasa bangga dan kagum dengan usaha yang dilakukan Kerajaan Terengganu, bagi membantu pelajar menguasai subjek bahasa Inggeris.

Menyedari program berkenaan memberi banyak manfaat, pihak Kedutaan Malaysia ke Amerika Syraikat bercadang mengambilnya sebagai model dan bercadang memperluaskannya ke sekolah lain seluruh negara.

Bagi tujuan itu, pihak kedutaan merangka kertas kerja berkaitan dan ia akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat.

Inilah sebahagian daripada usaha murni yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini di mana sebahagiannya tidak dilakukan di negeri lain.



Justeru itu, tidak hairanlah jika negeri ini mencapai keputusan cemerlang pada setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan dan ini menjadikan kita dicemburui negeri-negeri lain.

Sebagai tanda penghargaan, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih atas segala usaha yang dilakukan pemipin kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.