Halaman

26 April 2011

Pentadbiran negeri dirombak bulan depan

Oleh: Aida Abd Rahman


YB Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Seramai 39 pegawai tadbir negeri terlibat dalam rombakan pentadbiran Kerajaan Terengganu yang berkuatkuasa mulai 1 Mei ini

Arahan pertukaran tersebut ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Mazlan Ngah yang dikeluarkan Pejabat SUK mulai semalam.

Mengikut surat arahan pertukaran jawatan yang diedarkan kepada semua ketua jabatan kerajaan negeri, Pegawai Daerah Besut, Haji Tuan Mamat Tuan Ngah, dilantik sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu.
Manakala Pengarah PTG, Haji Osman Muda, dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).menggantikan dato’ Haji Zakaria Awang yang bersara wajib.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) , Encik A Rahim Jusoh dilantik sebagai Pegawai Daerah Besut manakala Haji Omar Mat (Ketua Penolong Pentadbir Tanah, Besut) ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Terengganu menggantikan Haji Mat Arsad Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama (Khidmat Pengurusan).

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Integrity And Strategic Institute (T-ISSI), Encik Mohd Elias Nik dilantik sebagai Timbalan Pengarah PTG (Pengurusan) manakala Encik Wan Ismail Sahaimi Wan Omar (Ketua Penolong Pentadbir Hulu Terengganu) dilantik sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, Haji Jahani Ismail, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggantikan Encik Wan Mohd Anuar Wan Endut, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah PTG (Pendaftaran).

Pegawai Jawatan Kumpulan pejabat SUK, Encik Wan Khalid Wan Jusoh dilantik mengisi kekosongan jawatan Penolong Pengarah Jabatan Bekalan Air Negeri Terengganu.

Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi) Encik Azhar Jusoh dilantik Setiausaha DUN manakala Encik Zulkafeli Omar bertukar sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu daripada jawatan Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Kerajaan (Korporat).

Encik Mohd Razif yang kini memegang Ketua Penolong Pegawai Daerah Setiu ditukarkan kepada Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Perkhidmatan).

Haji Anuar Awang yang kini Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pengurusan MBKT bertukar ke Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, manakala Encik Mohd Daud (Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang) bertukar sebagai Ketua Pegawai Operasi T-ISSI dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Ariffin Abdullah pula bertukar sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang.



MBNT sasar wujud 1,000 pertubuhan belia

Oleh: Suriati Ali



Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mensasarkan untuk mewujudkan 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri ini pada tahun ini.

Pengerusinya, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata ia akan digerakkan melalui pendekatan satu kampung satu pertubuhan belia dengan menarik penglibatan golongan muda dalam kepimpinan dan kegiatan sukarelawan.

“MBNT akan turut membantu memperkasakan semula sebahagian daripada 324 pertubuhan sedia ada selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai generasi muda aktif berpersatuan.

“Pertubuhan yang diwujudkan kelak bakal menaungi warga belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun di setiap kampung dengan pelbagai pengisian yang mampu meningkatkan potensi diri mereka.

“Penubuhan ini penting bagi membolehkan peruntukan daripada kerajaan mahupun pihak swasta dapat disalurkan terus kepada golongan sasar bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Encik Mat Yusof berkata, Terengganu mempunyai beberapa pertubuhan yang boleh dijadikan model kepada pemimpin belia dalam mencapai keberkesanan kepimpinan agar setiap badan yang diasaskan mempunyai hala tuju yang jelas.

“Sebagai contoh, pertubuhan belia MAYC Teluk Ketapang, Seberang Takir boleh dijadikan garis panduan dalam kepimpinan belia kerana badan itu telah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan sempena Hari Belia.

“Persatuan Rangkaian Pemuda Pemudi Rawai (RAPERA), Marang yang telah beberapa kali mendapat anugerah di peringkat negeri mahupun kebangsaan iaitu pada 1998, 2005 dan 2008 juga perlu dicontohi,” ujarnya.



Semak kemasukan ke tingkatan enam melalui ‘online’

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu memasuki tingkatan enam di sekolah-sekolah menengah seluruh negeri boleh menyemak keputusan sama ada mereka layak atau sebaliknya, melalui ‘online’, mulai 2 Mei ini.

Penolong Pengarah Pengurusan Tingkatan Enam Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hamid Yahya, berkata pelajar yang mahu berbuat demikian boleh melayari laman web http://www.moe.gov.my

Beliau berkata, mereka yang layak dikehendaki memulakan persekolahan pada 9 Mei depan.

Tahun ini, JPN tidak lagi mengeluarkan surat tawaran kemasukan ke tingkatan 6 seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.



Jarak dekat Pulau Kapas, daratan beri kelebihan tingkat sektor pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman



Ciri geografi Pulau Kapas, Marang yang terletak berhampiran daratan dengan jarak hanya 6.5 kilometer memberi kelebihan kepada Terengganu bagi menganjurkan acara sukan ekstrem bertaraf dunia sebagai platform menarik kedatangan pelawat dalam dan luar negara ke negeri ini.

Penganjuran Kapas-Marang International Swimathon 2011 antara aktiviti teras dalam kalendar pelancongan negeri yang masuk edisi ke-11 sejak 1996, menjadikan pulau terkenal dalam peta pelancongan dunia itu sebagai destinasi pilihan terawal di Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata penganjuran kejohanan antarabangsa itu menjadi alternatif terbaik bagi memperkenalkan destinasi pulau peranginan terunggul di negeri ini, pesisiran pantai yang landai dan bersih serta Pantai Peranginan Kelulut kepada pelawat.

“Kejohanan itu menjadi antara acara berteraskan destinasi bagi memperkenalkan destinasi dengan kaedah penganjuran acara yang menarik lebih ramai pelancong bersempena `Visit Terengganu’.

“Ia sekaligus menjenamakan destinasi di Terengganu sebagai lokasi penganjuran sukan rekreasi dan ekstrem bertaraf dunia serta produk eko pelancongan negeri seperti pulau dan pantai yang tidak mungkin dapat ditemui di mana-mana negeri lain,” katanya.

Sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta yang berdaftar pada kejohanan kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Afrika Selatan, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Sementara itu, mulai tahun depan, kerajaan negeri berhasrat menambah disiplin pertandingan Kapas-Marang International Swimathon dengan acara larian sejauh kira-kira 50 kilometer, bermula dari Pantai Rantau Abang ke Pantai Kelulut, Marang.



Datuk Abdul Rahin berkata, acara baru itu bertujuan memperkenal keindahan pantai Terengganu serta kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, iaitu sepanjang 244 kilometer.

Katanya, kejohanan yang melibatkan dua acara yang dijalankan pada hari yang sama itu bakal menawarkan hadiah yang meningkat sekali ganda, berbanding kejohanan pada tahun ini yang mengumpul hadiah keseluruhan RM43,900.

Cabaran Kapas-Marang International Swimathon 2011 merupakan acara tahunan yang dianjurkan kerajaan Terengganu dan dikendalikan oleh Trisports Events Management Sdn. Bhd.




25 April 2011

JBPM berjaya selamat harta benda bernilai RM16.3 bilion

Oleh: Esah Abdullah



Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM16.3 bilion dalam kejadian kebakaran di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JBPM, Haji Amer Yusof, berkata daripada jumlah berkenaan RM131 juta harta benda dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran di Terengganu.

“Manakala taksiran kerugian seluruh negara sebanyak RM756.7 juta dan taksiran kerugian di negeri ini berjumlah RM13.3 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Terengganu di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Terengganu, Encik Md Salleh Sarbini; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Terengganu, Puan Hanisah Ahmad dan Penolong Pengurus Kanan Contruction Industri Development (CIDB) Encik Ahmad Abdullah.

Haji Amer berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya menerima sejumlah 29,341 panggilan kebakaran seluruh negara dan sejumlah 1,050 panggilan telah direkodkan di negeri ini.

“Daripada jumlah kebakaran yang dicatatkan telah membabitkan 89 kematian dan 82 mangsa yang cedera manakala di Terengganu mencatatkan tiga kematian,” katanya.

Haji Amer berkata kebiasaan kebakaran berpunca daripada kelalaian manusia dan menjadi tanggungjawab bersama anggota masyarakat untuk mewujudkan situasi selamat dalam setiap aspek kehidupan harian.

Seminar sehari itu membabitkan pembentangan empat kertas kerja yang disertai 500 peserta dari seluruh negara termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Pahang dan tuan rumah Terengganu.



60,000 pelajar sekolah menengah terima netbook tahun ini

Oleh: Esah Abdullah

Seramai 60,000 pelajar sekolah menengah seluruh negeri akan menerima netbook tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM60 juta.

Pengarah Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pejabat Wilayah Timur, Encik Mohd Shafei Harun berkata, pemberian netbook 1Malaysia melalui program ‘Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan’ yang mula diperkenalkan kerajaan pada pertengahan tahun lalu.

“Semua pelajar yang mempunyai ibu bapa mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan layak menerima pengagihan netbook,” katanya di majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia untuk Pelajar Sekolah-sekolah Menengah (SM) dalam Parlimen Kuala Terengganu, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Hadir sama Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri, Haji Zubir Embong.

Katanya, pengagihan netbook ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan dijangkakan menjelang akhir Mei ini kesemua pelajar yang layak akan menerimanya.

Menurut Encik Mohd Shafei, sehingga ini dalam fasa pertama pihaknya berjaya mengagihkan netbook kepada 8,520 pelajar pada awal tahun ini dan dalam fasa kedua seramai 16,282 pelajar sudah berjaya menerima netbook ini.

“Manakala fasa ketiga dijangka akan dapat dilaksanakan pada awal Mei depan dan kini proses mengemaskini data pelajar sedang dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, bagi memudahkan program ini, SKMM mendapat kerjasama daripada Pejabat Pelajaran Negeri dan daerah bagi mendapatkan data pelajar melalui sistem maklumat pelajar di sekolah masing-masing.

Katanya, pelajar yang menerima netbook itu perlu mendaftar bagi mendapatkan kemudahan jalur lebar melalui pakej yang ditawarkan serendah RM25 sebulan bagi mereka yang belum mempunyai kemudahan internet di rumah.






EKSKLUSIF: DATO’ SRI NAJIB MENGULANGI SEJARAH TUN RAZAK KE PASAR BATU 6


Meja bulat daripada buluh dan boleh berpusing di bahagian tengah untuk hidangan makan bersama Perdana Menteri dan rakyat di Dun Manir sedang disiapkan oleh penduduk kampung.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Lawatan Program Turun Padang (PTP) YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ke Pasar Batu Enam, merupakan ulangan kepada peristiwa ayahanda beliau Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien yang pernah melawat dan bertemu peniaga di pasar berkenaan kira-kira 44 tahun yang lalu, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Waktu itu umur Tun Razak masih muda sekitar 35 tahun tetapi sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.


Yahya Tahir, masih ingat lagi lawatan Tun Razak ke Pasar Batu Enam tahun 1967

Seorang warga emas yang sentiasa berurusan di pasar itu, Pak Cik Yahya Tahir (umur sekitar awal 70 an) berkata, beliau masih ingat lawatan Tun Razak itu ke pasar berkenaan yang pada masa itu tidaklah secantik masa ini, sekadar gerai-gerai dan di atas tanah sahaja.
“Syukurlah, sekarang anak Tun Razak pula yang datang,” katanya gembira kerana sempat melihat sejarah itu berulang.
Seorang penduduk berhampiran pasar Ibrahim@Ismail bin Muda, 65 juga mengesahkan perkara itu dengan menceritakan bahawa dia masih ingat Tun Razak bertanya kepada seorang peniaga tentang harga selonggok besar ubi, lalu peniaga di situ menyatakan, “hok topok besar tu samas setopok ’.
Allahyarham Tun Razak mulanya agak tidak faham, sehinggalah diberitahu bahawa harganya ialah 50 sen selonggok, kata Ismail yang kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Nerus (Batu Enam), Encik Musaffa Ismail berkata, beliau akan berusaha mempastikan peniaga-peniaga datang awal sempena lawatan Perdana Menteri kira-kira jam 8.30 pagi kerana biasanya urusniaga di pasar Batu Enam rancak pada waktu 10.00 pagi ke atas.

Alias Aziz, PM akan minum di kedai makannya di pasar Batu Enam

Sementara itu, peniaga kedai makan nombor 1 , Alias Aziz tidak dapat membayangkan betapa gembira dan tidak sabarnya untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib minum pagi di kedainya pada 30 April nanti.
Sementara itu di Manir, jamuan makan secara tradisonal untuk Perdana Menteri dan rombongan bersama 15,000 rakyat duduk di kerusi panjang dan meja daripada buluh. Pentas utama dari kayu nibung dan atap daun pokok sagu.







Kastam lawat pejabat Unit Komunikasi Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman


Pengarah UKOM menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan KDRM.

Rombongan pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) melawat Unit Komunikasi Negeri (Ukom), dalam usaha merapatkan hubungan antara dua jabatan itu, selain berkongsi maklumat serta kepakaran di bidang penyiaran dan kemudahan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), di pejabat Ukom, pagi ini.

Penolong Kanan Pengarah Kastam Cawangan Perhubungan Awam JKDRM, Encik Mohd Nasir Yusoff mengetuai rombongan berkenaan. Rombongan itu disambut Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong.

Haji Shamsuddin yang mengalu-alukan kehadiran rombongan berharap lawatan itu bukan yang pertama dan terakhir, sebaliknya menjadi satu hubungan yang berpanjang dan mampu menjalinkan kerjasama strategik serta bertukar pendapat yang berguna bagi manfaat kedua-dua jabatan.

Beliau kemudiannya menerangkan latar belakang Ukom termasuk visi, misi dan matlamat penubuhan unit itu yang berperanan penting dalam mempertahankan kerajaan negeri, memartabatkan parti serta Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebagai ketua kerajaan dan institusi Pejabat Menteri Besar.

“Pelbagai produk dan perkhidmatan yang dihasilkan pegawai dan kakitangan Ukom dengan masing-masing mempunyai kemahiran, kepakaran dan juga pengalaman dalam bidang komunikasi, media serta penyiaran menerusi tiga unit iaitu, Media Baru atau Penerbitan, Seranta dan juga Audio Visual yang berpaksikan kepada kehendak dan juga dasar kerajaan.

“ Ukom melaksana dan menunjangi segala tanggungjawab bagi memastikan kerajaan negeri, parti Umno serta Menteri Besar dan Pejabat Menteri Besar itu sendiri dapat dipertahan dan diperteguhkan lagi,” katanya.

Sementara Encik Mohd Nasir berkata, Ukom dipilih sebagai lokasi kunjungan kali ini sebagai satu platform bagi mendapatkan pendedahan secara langsung dalam aspek penyiaran dan bidang ICT.


Penolong Kanan Pengarah Kastam Cawangan Perhubungan Awam, Encik Mohd Nasir Yusoff sedang menyampaikan ucapan alu-aluan sempena lawatan ke Ukom.

Katanya, Terengganu menjadi `bench marking’ bagi mendapatkan pendedahan itu dan kebetulan pula Ukom berperanan penting dalam merealisasikan sektor itu di Terengganu.

“Kami berharap pertemuan ini memberi kesan yang positif bukan hanya dapat beramah mesra dan merapatkan hubungan kita, bahkan dapat belajar kepakaran dan teknik penyiaran yang dikuasai pihak tuan untuk diaplikasikan di Kastam pula,” katanya.




Peruntukan RM29 juta untuk Program Bakti Remaja

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperutukkan RM29 juta sepanjang tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program untuk belia dalam usaha membentuk golongan itu supaya lebih dinamik, progresif, dan berketrampilan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya mensasarkan lebih 30,000 belia akan menyertai Program Bakti Remaja anjuran bersama Majlis Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri dan Biro Tatanegara Negeri.

“Pada masa sama, program sampingan turut dirangka bagi menarik lebih ramai belia menyertai persatuan sedia ada selain mewujudkan persatuan baru di kalangan masyarakat.

“Kira-kira 1,000 persatuan atau pertubuhan belia diwujudkan melalui 1 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 1 Belia dengan melibatkan semua kawasan Parlimen di Terengganu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 513 pertubuhan belia berdaftar manakala 200 lagi dalam proses kelulusan.

“Bantuan peruntukan pengurusan akan diagihkan selewat-lewatnya Jun depan bagi mana-mana pertubuhan belia berdaftar dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.




Belia dipelawa hadir sambutan Hari Belia

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 3,000 belia di negeri ini di jangka hadir sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu pada 20 Mei ini di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pelbagai program diadakan termasuk, pertandingan futsal, pekan budaya, City Night Game dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat remaja.

“Pada masa sama, setiap daerah turut memainkan peranan masing-masing dengan menganjurkan aktiviti berilmu dan boleh mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat,” katanya.

Antaranya Hulu Terengganu bakal menganjurkan Forum Perdana, Marang (Sentuhan Rohani bersama Agensi Dadah Kebangsaan), Besut (Gotong Royong Perdana) dan Setiu (Seminar Kepenggunaan Belia)

Manakala daerah Kemaman pula menganjurkan Program Mesra Belia dan Dungun bakal mengadakan aktiviti Belia Prihatin.

Pada tahun lalu, program sama diadakan di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu dan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.